Raut mukanya tidak menampakkan rasa gentar atau takut menghadapi kematian. Dia begitu gagah walaupun maut sedang menantinya beberapa saat lagi. Dia tersenyum mengimbau kembali peristiwa-peristiwa yang dilalui sehingga ditangkap dan dihukum gantung.

Dia berpuas hati dengan apa yang dilakukannya selama ini. Ketika dibenarkan bersolat subuh, dia sujud begitu lama mengadu dan berdoa kepada Allah SWT agar Allah mengampuni segala dosanya selama ini serta memohon kepada-Nya supaya negara dan rakyat bebas daripada belenggu penjajahan.

Suasana amat hening, kedengaran tangis sendu menyelubungi orang di sekelilingnya. Mereka menatap lelaki berusia 80 tahun itu dengan wajah muram. Air mata masing-masing tidak dapat ditahan, luruh bagaikan mutiara berguguran. Bagi mereka yang berada di sekitar kawasan penjara dan di tempat-tempat lain, turut merasainya, semua sedar bahawa sudah sampai ketika dan waktunya lelaki itu akan menjalani hukuman gantung sampai mati.

Beritanya tersebar ke seluruh pelosok negara. Masing-masing mengangkat tangan menadah ke langit, memohon keampunan daripada Allah dan agar memberi darjat yang tinggi kepada lelaki itu dan ditempatkan bersama-sama dengan orang yang soleh.

Beberapa saat kemudian, suasana pagi yang hening itu dipecahkan dengan suara tangis bersahut-sahutan ketika mereka melihat lingkaran tali tiang gantung menjerut leher pahlawan mereka, Umar Mukhtar.

Pejuang yang digelar Singa Padang Pasir itu kembali kepada Penciptanya pada 16 September 1931 di Kota Solouq, Libya. Selesai sudah perjuangannya melawan penjajah Itali, tetapi perjuangannya tetap diteruskan oleh anak watan.

SUMBANGAN UMAR MUKHTAR

Umar dipandang sebagai simbol kepahlawanan bagi rakyat Libya terhadap penjajah Itali yang mencengkam negara itu pada Oktober 1911. Dia menjadi perintis yang mencetuskan semangat rakyat Libya bangkit menentang Itali. Gelora perjuangannya berjaya melahirkan ramai mujahid seperti Ramadan As-Swaihli, Mohammad Farhat Az-Zawi, Al-Fadeel Bo-Omar, Solaiman Al-Baroun dan Silima An-Nailiah.

Usaha Itali menguasai Libya dilakukan dengan menyerang dan menguasai kota-kota di bahagian pantai seperti Tripoli, Benghazi, Misrata dan Derna secara berturut-turut, lalu satu demi satu jatuh ke tangan penjajah Itali.

Meskipun demikian, Umar kerap kali menjadi penghalang kepada penjajah. Perjuangan mereka mewujudkan beberapa pertempuran hebat. Misalnya, pertempuran yang terjadi di Al-Hani, Tripoli pada 23 Oktober 1911, Ar-Rmaila di Misrata, Al-Fwaihat di Benghazi pada Mac 1912 dan Wadi Ash-Shwaer di Derna.

Dalam pertempuran besar di Al-Gherthabiya, Sirt pada April 1915. Itali kehilangan ribuan tentera. Meskipun begitu, akhirnya wilayah-wilayah yang dipertahan oleh mujahidin jatuh ke tangan penjajah. Jatuhnya wilayah demi wilayah membuatkan para pejuang meninggalkan rumah dan menuju ke pergunungan. Mereka tidak pernah berdiam diri, terus merancang pelbagai strategi menyerang balas.

PEMIMPIN MUJAHIDIN

Pada 1922, Umar membentuk satu kumpulan para mujahidin dan menggegarkan kembali operasi perjuangan menentang Itali. Dia mengumpulkan kembali mujahidin di The Green Mountain (Aj-Jabal Al-Akdar), bahagian tenggara Libya.

Hal ini terjadi setelah tamatnya Perang Dunia Pertama dan pada masa itu, penjajah Itali terfikir bahawa mereka mampu untuk membenamkan sepenuhnya perjuangan rakyat Libya.

Namun, jangkaan itu silap. Perjuangan yang tercetus kembali itu membuatkan penjajah tertekan. Mereka enggan membiarkan perjuangan menuntut kebebasan itu merebak. Lalu Badolio yang terkenal dengan kekejamannya ditugaskan untuk menumpaskan Umar dan pasukannya. Bahkan diizinkan untuk membunuh rakyat Libya yang memberi sokongan kepada mujahidin.

Tidak beberapa lama kemudian, diktator Musolini menghantar komandan yang lebih zalim daripada Badolio bernama Rodolfo Grasiani. Dia mengambil alih tugas Badolio dan membentuk pasukan khas untuk menumpaskan Umar. Grasiani bersetuju dengan syarat tiada peraturan yang dapat menghalangnya daripada melakukan pelbagai tindakan ke atas Libya termasuk melanggar peraturan-peraturan antarabangsa.

Rancangan Grasiani dipersetujui sepenuhnya oleh Musolini kerana dia berpegang kepada prinsip ‘jika tidak bersamaku, maka mereka adalah lawanku’. Dengan demikian, untuk menguasai Libya, pelbagai kaedah dan cara dihalalkan, tidak lagi mempedulikan sebanyak mana kos yang terlibat dan berapa banyak mangsa tidak berdosa dikorbankan.

TINDAKAN KEJAM

Tindakan pertama Grasiani di Libya ialah:

  • Memutus, menyekat dan mencegah segala bentuk hubungan dengan mujahidin dan negara-negara jiran yang memberi bantuan membekalkan senjata serta juga maklumat kepada para pejuang Libya.
  • Membina kawat berduri sepanjang 300 kilometer setinggi dua meter dan lebar tiga meter dari pelabuhan Bardiyat Slaiman di utara Libya hingga ke Al-Jagboub di tenggara negara itu.
  • Pada akhir November 1929, sebahagian besar rakyat Libya dipaksa hidup di kem-kem dan kehidupan mereka sangat mengerikan. Ribuan rakyat Libya mati kelaparan, banyak juga yang mati ditembak atau digantung kerana disyaki membantu perjuangan para mujahidin pimpinan Umar.

MULA TEWAS

Mujahidin yang bertahan di daerah pergunungan terus berjuang menentang penjajahan Itali. Bagaimanapun, pada 1931 mujahidin kehabisan bekalan makanan dan perubatan.

Umar jatuh sakit dan ramai mujahidin memintanya untuk berhenti berjuang serta meninggalkan Libya dengan berlindung di negara jiran yang bersimpati dengan perjuangan mereka.

Bagaimanapun, beliau menolak tawaran tersebut dan tetap meneruskan perjuangannya. Atas kegigihan dan keberanian melawan Itali, dia digelar sebagai ‘Singa Padang Pasir’ meskipun pada akhirnya, usia senja tidak mampu membuatnya bertahan untuk memikul senjata meneruskan perjuangan.

Dia ditangkap dan dijatuhi hukuman gantung. Pendakwaan dan hukuman tetap dilakukan tanpa mempedulikan undang-undang antarabangsa seperti ditetapkan dalam Perjanjian Geneva iaitu menimbangkan tahap kesihatan Umar dan usianya yang lanjut, membolehkan beliau dikecualikan daripada hukuman tali gantung.

Selepas 20 tahun, akhirnya Itali mampu berkuasa di Libya sehingga 1943 sahaja akibat kekalahan negara itu dalam Perang Dunia Kedua. Begitulah secara ringkas kisah Umar yang berjuang hingga ke titisan darah terakhir. Kisahnya telah difilemkan.

Hanya suatu pertanyaan yang perlu kita jawab dari lubuk hati paling dalam: “Ada lagikah kepahlawanan seperti yang ditunjukkan oleh Umar ini di negara umat Islam sekarang?”