“Ibu saya seorang yang miskin. Apakah boleh saya memberi zakat kepadanya?” Tanya satu pemanggil pada talian.

Suasana tiba-tiba menjadi hening. Pendakwah yang ditanya itu tunduk lalu menggelengkan kepalanya. Setelah panggilan selesai, tiba masanya jawapan diberikan.

“Astaghfirullah, cuba yang bertanya tadi renung kembali soalannya. Ibunya miskin sedangkan dia sendiri punya zakat untuk diberikan.

“Tidak wajib zakat ditunaikan kecuali daripada orang kaya dan berharta. Tidakkah kamu sedar betapa salahnya soalanmu?!” Jawab sang pendakwah.

Beliau menyambung. “Saya tidak mahu menjawab soalan ini secara fiqhi. Bahkan saya mahu menjawabnya daripada fikiran dan benak hati.

“Nabi SAW sendiri menyebutkan dalam sabdanya yang mulia. Tangan yang lebih tinggi (memberi) lebih baik daripada yang rendah (menerima).

“Bagaimana mungkin kamu mengangkat tanganmu lebih tinggi daripada kedudukan dan martabat ibumu yang melahirkan dan membesarkanmu dengan tangannya sendiri?

“Bagaimana tanganmu itu diangkat lebih tinggi daripada tangan ibumu yang mendukung dan menyusukan kamu? Apakah kamu tegar membiarkan ibumu miskin sedangkan kamu diulit harta dan kekayaan dunia?

“Bagaimana kamu sanggup memikirkan mahu memberi zakat kepada ibumu kerana kemiskinannya?

“Sewajarnya ibumu lebih berhak menikmati seluruh kekayaanmu dan bukannya daripada zakat yang merupakan hasil basuhan dosamu!” Sang pendakwah menjawab tegas dalam tangisan yang cuba ditahan.

Syaraful Hayah kali ini cuba menjentik akal budi. Jawapan hukum kadangkala tidak berlaku secara literal dan langsung. Di sebalik sesuatu persoalan, ada hikmah yang perlu dijengah.

Apakah permasalahan sebenar yang perlu dijawab? Melihat dengan mata hati itulah penglihatan hakiki.

HAK KAUM KERABAT

Al-Quran telah memberikan panduan. Setiap satu frasa dan perkataan memberi makna serta inti pati tersendiri.

Lihat sendiri bagaimana Allah SWT memberikan hak dan peruntukan kepada kaum kerabat.

* Firman-Nya dalam Surah al-Isra’ ayat 26: “Berikanlah kepada kaum keluarga yang dekat akan haknya, kepada orang miskin dan orang yang dalam perjalanan serta janganlah kamu membelanjakan (hartamu) secara boros.”

* Firman-Nya dalam Surah al-Rum ayat 38: “Maka berikanlah kepada kerabat yang terdekat akan haknya, demikian (pula) kepada fakir miskin dan orang yang dalam perjalanan. Itulah yang lebih baik bagi mereka yang mencari keredaan Allah. Mereka itulah orang-orang beruntung.”

Dr Muhammad Ratib al-Nablusi pernah mengungkapkan dalam satu khutbahnya, iaitu Islam mewajibkan ke atas mereka yang mempunyai kesenangan harta untuk membantu pihak yang diuji dengan kesusahan dan kesempitan harta terutama daripada kalangan kaum kerabat.

Mereka inilah berperanan sebagai insurans kehidupan bagi ahli kerabat yang ditimpa kesusahan. Hak kaum kerabat ini bukanlah hanya terhenti pada aktiviti ziarah menziarahi, menyambung silaturahim atau mengunjung ketika sakit dan saat mati. Ini semua kewajipan asasi.

Namun, hak mereka itulah yang paling wajar diperhati. Hak lebih utama daripada hanya sekadar sebuah kewajipan.

Allah SWT meletakkan hak terhadap fakir miskin dan ibnu sabil itu berkaitan dengan harta. Isyarat sama juga diberikan dalam ayat al-Quran apabila ia dimulakan dengan menyebut golongan kaum kerabat sebagai keutamaan dalam memberi keluasan harta.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Nahl ayat 90: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu berlaku adil dan ihsan serta memberikan (hak) kepada kaum kerabat…”

Jika ayat yang mengandungi arahan berlaku adil dan ihsan itu terhenti sekadar itu sahaja, maka ia sudah cukup memberi makna serta maksud yang jelas.

Tetapi hikmah Allah SWT mengkhususkan penyebutan memberikan hak kepada kaum kerabat kemudiannya itulah yang mempunyai makna lebih mendalam.

Hak mereka ini bukanlah sesuatu ihsan yang dilakukan semata-mata secara sukarela atau pilihan. Tetapi ia adalah suatu tuntutan dan kewajipan yang malangnya dipandang enteng.

JANGAN LETAK SEMUANYA DALAM SATU BEKAS

Kecenderungan segelintir hanya menumpukan soal zakat semata-mata apabila berkaitan dengan tanggungjawab berbakti adalah sesuatu yang wajar diperhati semula.

Zakat punya asnafnya yang tersendiri dan kelompok tertentu. Bukan menafikan atau menidakkan pandangan fikah yang membolehkan zakat diberikan kepada ahli keluarga mahupun kaum kerabat terdekat. Namun, mereka ini telah diperuntuk hak kebaktian yang teristimewa dan tersendiri.

Ibarat pepatah yang masyhur dalam dunia pelaburan iaitu, ‘don’t put all eggs in one basket’ yang bermaksud jangan diletakkan semua pelaburan dalam satu dana atau satu tempat sahaja bahkan ia perlu dipelbagaikan.

Jika begitulah halnya dalam pelaburan dunia, maka jalan pelaburan akhirat juga harus sama. Syurga itu bukan hanya dimiliki dengan semata-mata satu jalan. Jalan menuju syurga itu lebih banyak daripada apa yang disangkakan.

Hayatilah pesanan Baginda SAW menerusi sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Tabrani, Ibn Hibban dan al-Hakim serta disahihkan olehnya serta dipersetujui al-Zahabi:

“Apabila seorang Mukmin itu dimasukkan ke dalam kuburnya bahawasanya demi jiwaku yang berada di tangan-Nya! Dia akan mendengar bunyi derapan kaki kaum keluarga yang pulang dari pengebumiannya. Jika dia seorang Mukmin maka solat akan berada di atas kepalanya, zakat berada di sebelah kanannya, puasa akan bersedia di sebelah kirinya. Adapun perbuatan dan amalan kebaikan serta ihsan kepada manusia akan berada di celah kedua-dua kakinya.

“Maka azab datang dari atas kepalanya. Seraya itu solat pun berkata: Tidak ada jalan masuk bagimu di sini. Azab datang pula dari sebelah kanannya lantas zakat berkata : Tidak ada jalan masuk bagimu. Azab datang pula dari sebelah kiri. Puasa berkata: Tiada ruang bagimu di sini. Azab mencuba lagi dari sebelah bawahnya. Maka amalan kebajikan, kebaikan dan ihsan kepada manusia berkata: Tidak ada ruang bagimu masuk dari arah ini juga…”

Nah, apakah ada pembelaan azab pedih yang lebih baik daripada segala amalan ini?

Analoginya mudah iaitu jika kita dibela oleh seorang peguam terhandal di mahkamah, kita pasti akan merasa kemenangan sudah menyebelahi.

Bayangkan, jika kita dibela bukan daripada satu, bahkan empat atau lima orang peguam handalan yang berbeza dan semuanya menyokong dan ingin memastikan kemenangan dengan bukti yang jelas akan kebenaran diri kita!

Jika syurga Allah itu menjadi buruan dan dambaan, maka setiap satu asbab, peluang dan usaha pasti tidak akan kita persiakan.

Rebutlah amalan yang bakal menjadi pembela pada saat mulut tidak mampu lagi menutur bicara.