Bagaimanapun, dalam menjalani kehidupan dunia, adalah penting untuk menitikberatkan cara hidup yang dapat mencapai kejayaan akhirat.

Oleh itu, pengurusan wang dan harta yang baik merupakan antara faktor dapat menjamin kelangsungan hidup manusia sama ada dalam berkeluarga atau masyarakat seterusnya memperoleh keberkatan oleh Allah SWT. Sekali gus dapat menikmati kejayaan yang abadi.

Agama Islam amat menggalakkan umatnya supaya hidup bersederhana dalam berbelanja. Ini supaya umat islam tidak terlibat dalam kancah hutang yang melampau, penggunaan kad kredit secara tidak terkawal, serta sikap suka boros dan membazir.

Islam menganjurkan sikap bersederhana dan berhemah dalam mengurus sumber kewangan. Ia sebagaimana diriwayatkan daripada Abi Darda r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Daripada kebijaksanaan seorang lelaki ialah sikap berhemah dalam urusan hidupnya.” - Riwayat Ahmad

Justeru, terdapat banyak kaedah yang menjurus kepada aspek pengurusan kewangan secara berhemah dan antaranya adalah:

1. Menetapkan matlamat kewangan

Penetapan matlamat kewangan akan mewujudkan aliran kewangan yang teratur dan tersusun tanpa sebarang gangguan terhadap sumber sedia ada.

Ini akan mengelakkan daripada berlakunya pembaziran seterusnya mengawal selia perbelanjaan agar tidak berlebihan dan berbelanja untuk perkara yang tidak perlu.

Firman Allah SWT maksudnya: “Sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.” (al-Isra’:27)

2. Meningkat-kan ilmu pengurusan kewangan

Melalui agensi pengurusan kewangan sama ada kerajaan mahupun swasta, terdapat pelbagai bentuk informasi dapat diperoleh dengan mudah.

Agensi-agensi tersebut juga menyediakan seminar dan kursus pengurusan kewangan dan hutang dalam usaha memberikan pendidikan kepada seluruh masyarakat. Kita tidak perlu rasa malu atau segan untuk mempelajari ilmu kewangan yang boleh memberi manfaat kepada diri dan ahli keluarga.

Oleh itu, masyarakat perlu bertindak awal serta proaktif untuk menimba ilmu pengurusan kewangan ini. Teruskan usaha untuk meningkatkan pengetahuan berkaitan pengurusan kewangan yang akhirnya pengetahuan itu akan membantu menguruskan kewangan dengan baik.

3. Mengurus hutang dengan bijaksana

Setiap individu tidak akan terlepas daripada hutang seperti pembiayaan perumahan, kenderaan, pendidikan, dan peribadi. Oleh itu, kita perlu istiqamah untuk melunaskan segala hutang-piutang kerana ia bukan sahaja menjadi beban di dunia, malah juga di akhirat.

Rasulullah bersabda, maksudnya: “Orang kaya yang melambatkan pembayaran hutang adalah satu kezaliman.” - Riwayat Bukhari

4. Melibatkan ahli keluarga dalam pengurusan kewangan

Didik anak-anak untuk menyimpan lebihan wang saku sejak bangku sekolah dan dalam masa sama, asuh mereka agar berbelanja untuk perkara yang perlu sahaja.

Sumber Jabatan Agama Islam Selangor