Beliau yang telah kembali ke pangkuan Yang Maha Esa semasa menyampaikan tazkirah dalam satu majlis ilmu di sebuah masjid di Kota Damsyiq, Syria pada 21 Mac 2013 menyatakan bahawa dia tersilap dalam membuat telahan terhadap seorang lelaki berhubung perkara kecil iaitu memotong janggut.

Tindakannya membuat kesimpulan sendiri terhadap lelaki tersebut telah mengundang hidayah Allah SWT untuk dirinya bagi membetulkan kesilapan yang telah dilakukan.

Membuka bicara berhubung kejadian dengan lelaki tersebut, beliau menyatakan, terdapat seorang lelaki yang sering hadir ke kelas pengajiannya, namun tidak lagi kelihatan pada bulan Ramadan.

“Saya lihat, dia tidak lagi hadir pada bulan Ramadan ini. Saya harap dia daripada golongan orang-orang yang beramal soleh.

“Suatu hari, saya ternampak dia mempunyai janggut yang lebat, namun pada satu hari lain, saya melihat dia menipiskan janggutnya. Nampak dia telah memotong janggutnya dengan begitu nipis.

“Ekoran itu, saya mengkritik perbuatannya di dalam hati dengan berkata, sebelum ini kamu mempunyai janggut yang lebat tetapi kenapa kamu mencukurnya? Sekiranya dari awal kamu memang berketerampilan seperti itu, tidak mengapa. Tetapi kenapa baru sekarang?,” katanya kepada jemaah yang hadir ke majlis pengajiannya itu.

Jelasnya, dia tidak bercakap perkara yang terdetik di dalam hatinya itu secara berdepan dengan lelaki tersebut, tetapi sekadar diluahkan dalam hati.

Namun tegasnya, perasaan tidak puas hati yang sekadar terdetik di dalam hati tersebut telah mengundang Allah SWT untuk membetulkan dirinya terhadap kesilapan dilakukan itu.

“Allah SWT ingin mendidik dan mengajar saya supaya beradab berhubung kesilapan tersebut. Suatu hari, saya diuji seperti mana yang telah saya melakukan kritikan kepada lelaki tersebut,” katanya.

Allah menguji diri beliau dengan kejadian di sebuah kedai gunting apabila tukang gunting tersilap memotong janggutnya sehingga nipis.

Semasa kejadian itu, katanya, dia tidak terdaya untuk berbuat apa-apa apabila tukang gunting menggunting janggutnya begitu nipis berbanding kebiasaan.

“Semasa kejadian itu berlaku, saya berasa kesal dengan tindakan tukang gunting itu. Namun kejadian itu telah mengingatkan saya dengan kesilapan yang telah saya lakukan sebelum ini.

“Ia tentang keburukan adab saya terhadap lelaki yang telah saya kritik sebelum ini. Lelaki itu tiada di sini sekarang. Tetapi saya akan mohon maaf kepadanya. Insya-Allah,” jelasnya.

Berikutan kejadian itu, dia menyeru umat Islam agar tidak sewenang-wenangnya melakukan kritikan dan menyibuk hal individu lain tanpa mengetahui kejadian sebenar.

“Wahai saudaraku, kita tidak perlulah mengkritik dan sibuk dengan hal orang lain terutama berkaitan hati. Lebih baik kamu menasihati secara berdepan, bertanya dan berbincang dengan baik.

“Saya telah pun diuji dengan perkara ini. Ketika saya mengkritik lelaki itu dengan menyangka saya berada di pihak yang betul, akan tetapi Allah telah menguji saya seperti mana yang saya kritik lelaki itu. Semoga Allah SWT mengurniakan adab kepada kita ketika bertaamul dengan hamba-Nya,” jelasnya.

Sumber: MutarjimClips