Di hadapannya sudah kelihatan manusia berhimpit-himpit di atas platform. Dari cermin sisi pula, lautan manusia berpakaian ihram putih memenuhi kawasan stesen, beratur menanti giliran bergerak ke platform dan seterusnya menaiki tren.

Mohd. Azhar sedar apa yang bakal dilaluinya tidak sama dengan apa yang dilakukannya setiap hari di LRT laluan Kelana Jaya, tempat dia bertugas di Kuala Lumpur.

Meskipun pernah melalui pengalaman sama tahun lalu, namun dia tidak boleh bersikap ambil mudah. Sebarang kesilapan bukan sahaja menjejaskan kelancaran operasi, namun keselamatan jemaah juga terancam.

Lebih membimbangkan segala kesulitan dan sebarang kelewatan akan menjejaskan perjalanan ibadah haji lebih 350,000 jemaah yang bergantung kepada tren haji MMMSL sebagai pengangkutan utama.

“Tahun ini jemaah lebih ramai, pasti lebih mencabar. Namun dengan kerjasama pasukan, semuanya berjaya diatasi,” katanya.

Beliau menambah, meskipun mensyukuri peluang berkhidmat untuk Tetamu Allah, dia akur tanggungjawab digalas sangat besar.

“Bukan sahaja kami mesti memastikan Tetamu Allah selesa, namun kami juga perlu memastikan kerajaan Arab Saudi berpuas hati dengan khidmat diberikan,” katanya.

Mohd. Azhar yang berasal dari Kuala Lumpur merupakan antara 600 kakitangan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) yang diterbangkan ke Mekah bagi membantu operasi tren haji tahun ini.

Prasarana dianugerahkan kontrak mengendali MMMSL secara keseluruhan (Operasi, Kejuruteraan dan Pengurusan) selama tiga tahun bermula 2015.

Beliau berkata peluang yang diberikan itu bukan tiket untuk mendabik dada tetapi disyukuri dan dilakukan penuh amanah kerana dapat berbakti kepada Tetamu Allah.

Perasaan sama turut dikongsi Shamsuddin Nordin yang bertugas sebagai Penyelia Stesen di Stesen Arafah 2. Dengan lebih 300 kakitangan berada di bawah seliaannya, beliau perlu memastikan setiap seorang menjalankan tugas dengan penuh dedikasi demi keselesaan dan keselamatan Tetamu Allah.

Katanya, cabaran paling besar adalah mengawal pergerakan keluar masuk jemaah haji dari stesen ke 
dalam tren yang amat sesak.

“Saya sentiasa berdoa segala urusan kami dari sekecil-kecil tugasan sehingga ke tugasan bersama pihak tentera, polis dipermudahkan.

“Alhamdulillah, pada tahun ini semuanya berjalan lancar di Stesen Arafah 2, tidak ada kerosakan pada kemudahan. Jemaah dapat melakukan urusan ibadah haji bermula dari wukuf di Arafah, mabit di Muzalifah dan seterusnya melontar pada hari-hari Tasrik di Mina mengikut perancangan masing-masing,” katanya yang bertugas di laluan ERL di Kuala Lumpur.

Sementara itu M. Izzam Iradarth Brahim yang bertugas di Stesen Muzdalifah 1, berkata, bekerja dalam tempoh panjang sepanjang musim haji ini antara cabaran perlu ditempuhi.

“Kami akan memastikan lebih 6,000 tenaga kerja kumpulan sokongan terdiri daripada warga tempatan menjalankan tugas membantu jemaah seperti ditetapkan,” katanya.

Izzam menambah, tugas kali ini juga amat bermakna kerana secara tidak langsung dia dan rakan-rakan akan menyempurnakan segala kerja dan perancangan yang dilakukan penyelia mereka, Allahyarham Aminza Abdul Aziz yang meninggal dunia di Mekah baru-baru ini.

Seorang lagi pemandu tren, Hafizi Ali menganggap tugas mengendalikan tren haji berkenaan sebagai satu ibadah, khusus dalam menjamin keselamatan dan keselesaan jemaah haji.

“Ia satu ‘misi mulia’ yang belum tentu peluang seumpamanya dapat kita peroleh tanpa izin-Nya.

“Apabila tiba hari wukuf, pasti rasa sayu melihat jutaan ‘tetamu Allah’ berkumpul di Arafah, manakala kita membantu membawa mereka ke lokasi bagi menunaikan ibadah masing-masing. Ketika melihat lautan manusia itu, terdetik dalam hati betapa yakinnya kita terhadap kewujudan Allah.

“Timbul juga rasa insaf, begini agaknya keadaan kita apabila dibangkitkan semula pada hari kiamat sebelum dikumpulkan di Padang Mahsyar. Tiada beza kita sesama manusia ketika itu,” katanya.