Selepas kematian pengasas Darussyifa, Allahyarham Datuk Dr. Haron Din saya dilantik sebagai penasihat persatuan tersebut bersama-sama dengan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan pakar perubatan, Dr. Abdul Rahman Doi.

Setiap tahun Darussyifa menghasilkan graduan perubatan Islam setelah melalui proses pembelajaran teori dan praktikal selama setahun. Pelatih juga dikehendaki menghafal 33 ayat ruqyah yang menjadi bacaan asas ketika merawat pesakit.

Selain daripada ruqyah asas tersebut pelatih juga menjalani amali praktikal sama ada dalam bentuk bacaan atau penggunaan herba sebagai rawatan. Sehingga kini seramai 10,189 perawat diijazahkan Sijil Perubatan Islam Darussyifa dari seluruh negara.

Walaupun telah tiada, Haron memang sinonim dengan Darussyifa. Kedua-dua entiti ini sama sekali tidak dapat dipisahkan. Pengerusi Darussyifa Pusat kini diterajui oleh Abdul Rahman Ahmad yang meneruskan kesinambungan perjuangan Haron bersama pimpinannya pada peringkat pusat dan negeri.

Umum mengetahui keintelektualan dan kegigihan Allahyarham sebagai aktivis agama khususnya dalam bidang dakwah dan pengubatan Islam. Bagi saya, Allahyarham adalah individu yang banyak mencorak pemikiran saya dalam konteks pelaksanaan syariah di Malaysia.

Selain Allahyarham, dua tokoh lain ialah Prof Tan Sri Ahmad Ibrahim dan Prof Datuk Mahmud Saedon Awang Othman. Kedua-dua mereka juga telah mendahului kita menemui Yang Maha Esa. Saya mendoakan ketiga-tiga nama besar dalam perundangan Islam ini ditempatkan bersama roh orang beriman.

Usaha Allahyarham Haron memartabatkan perubatan Islam telah membuahkan hasil apabila Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari 2016 (Akta 775) telah memasukkan pengubatan Islam sebagai perubatan komplementari yang diberi pengiktirafan untuk diamalkan dan diberi ruang di beberapa hospital moden.

Akta 775:

  • Akta bagi mengawal selia perubatan tradisional dan komplementari di Malaysia termasuk perubatan Islam. Ia akan menjadikan perubatan Islam lebih tersusun bersistematik dan diuruskan sejajar dengan ajaran Islam.
  • Memberi lembaran baharu kepada perubatan Islam dan membolehkannya diiktiraf sebagai antara cabang perubatan yang diterima kerajaan.

MASIH RAGU-RAGU!

Walaupun perubatan Islam tersenarai antara perubatan komplementari, Kementerian Kesihatan sebenarnya masih ragu-ragu untuk memberi ruang untuknya dilaksanakan di hospital-hospital kerajaan.

Alasan diberikan:

  • Perubatan Islam berasaskan kepercayaan bukan berdasarkan bukti atau kajian saintifik.
  • Kementerian berpandangan kemudahan tidak perlu diberikan kepada perubatan Islam. Hanya apabila ada keperluan barulah pengamal perubatan Islam dipanggil untuk memberikan perkhidmatan.

Bagi saya, sikap begini tidak sejajar dengan hasrat penggubalan akta yang disebutkan di atas.

Apakah gunanya akta tersebut digubal dan diluluskan jika masih terdapat halangan untuk melaksanakan perkhidmatan yang disebutkan dalam akta berkenaan.

Seharusnya Kementerian Kesihatan menyediakan kemudahan yang perlu bagi melaksanakan perkhidmatan perubatan Islam ini tanpa sebarang alasan. Apatah lagi permintaan untuknya semakin hari semakin bertambah.

Malah dengan kemudahan yang disediakan, perubatan Islam di hospital dapat dipantau agar sebarang bentuk ‘rawatan’ bertentangan dengan hukum syarak dapat dikawal dan dibendung dengan kerjasama agensi lain seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri.

SALING MELENGKAPI

Perubatan moden dan Islam seharusnya saling lengkap-melengkapi antara satu sama lain. Bukan hasrat perubatan Islam ingin bersaing atau menandingi perubatan moden namun kedua-dua cabang ini mempunyai kebaikannya yang tersendiri.

Oleh itu rakyat seharusnya diberikan peluang untuk menikmati kebaikan daripada kedua-dua jenis perubatan ini.

Sebenarnya perubatan Islam bukanlah terhad kepada penyakit rohani semata-mata seperti sihir, santau dan sebagainya tetapi ia juga boleh berfungsi merawat penyakit-penyakit fizikal seperti barah dan kencing manis.

Walaupun kaedah rawatannya berbeza daripada rawatan moden, namun dalam banyak keadaan pesakit fizikal juga dapat diubati melalui perubatan Islam.

Namun begitu, satu mekanisme hendaklah digarap agar perubatan Islam yang diamalkan tersebut adalah bersumberkan kepada al-Quran, sunah, pengalaman para ulama dan pakar yang semuanya tidak bertentangan dengan hukum syarak.

Hal ini amat penting untuk diperhalusi supaya perkara-perkara khurafat dan syirik tidak berselindung bawah nama perubatan Islam.

Perkara ini amat penting kerana sejak kebelakangan ini terdapat ramai kalangan bomoh mendakwa mereka mengamalkan perubatan Islam tetapi hakikatnya melakukan perkara khurafat dan syirik.

Hanya dengan memakai songkok atau serban dan memulakan amalan dengan bismillah acapkali mereka memperdaya umat Islam dengan amalan jahat mereka.

tiada mudarat

Berbalik kepada isu pengamalan perubatan Islam di hospital kerajaan saya berpendapat sudah sampai masanya Kementerian Kesihatan memberikan ruang secukupnya kepada perubatan Islam.

Pihak hospital atau Kementerian Kesihatan tidak akan menanggung kerugian malah jika pesakit berjaya diubati ia akan menjimatkan perbelanjaan kerajaan merawat pesakit tersebut.

Saya tidak menjangkakan sebarang mudarat akan berlaku kepada pesakit kerana perubatan Islam tidak menggunakan bahan-bahan berbahaya atau beracun.

Apa yang penting ialah manfaat yang baik akan dapat dinikmati rakyat tanpa mengira ia bersandarkan perubatan moden ataupun perubatan komplementari lain termasuk perubatan Islam. Ia bukan perubatan alternatif tetapi komplementari yang melengkapkan perubatan moden.