Namun, perkara penting yang ramai sering terlepas pandang adalah menilai semula segala amalan dilakukan pada masa lalu atau muhasabah diri.

Bukan hanya dalam urusan dunia, lebih penting muhasabah menuntut umat Islam untuk memikirkan perjalanan hidup sama ada semakin dekat dengan Allah SWT atau sebaliknya. Dalam hal ini kita perlu menyedari tentang kedudukan diri, dari mana kita datang? Kenapa kita hidup di dunia ini? Dan ke mana kita akan pergi?

Ingatlah bahawa Allah menyuruh setiap manusia mempersiapkan bekalan untuk dibawa pergi pada hari selepas kematian, sebagaimana firman-Nya bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri melihat dan memerhatikan apa telah dilakukannya untuk hari esok (akhirat), dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Teliti terhadap apa yang kamu kerjakan.” (al-Hasyr: 18)

Orang beruntung adalah orang beriman dan mereka yang bijak merebut peluang dalam kehidupan di dunia dalam meningkatkan amal-amal soleh. Ia bagi memastikan kebahagiaan hidup di akhirat.

Sabda Rasulullah SAW maksudnya: “Manfaatkanlah lima perkara sebelum datang lima perkara: masa mudamu sebelum datang masa tuamu, dan masa sihatmu sebelum sakitmu, dan masa kayamu sebelum masa fakirmu, dan masa lapangmu sebelum sibukmu, dan hidupmu sebelum matimu.” - Riwayat Baihaqi

KESAN KEKUATAN ATAU KELEMAHAN

Dengan bermuhasabah, kita akan dapat mengesan kekuatan dan kelemahan, ketaatan atau keingkaran. Justeru, setiap manusia mestilah berusaha memperbanyakkan amal soleh sebagai bekalan untuk hari akhirat. Sebaliknya janganlah usia dihabiskan dengan hanya mengumpulkan harta dan urusan dunia semata-mata.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Orang cerdas adalah orang yang mempersiapkan dirinya dan beramal untuk hari setelah kematian. Orang bodoh adalah orang menjadikan hawa nafsunya sebagai ikutan dirinya dan berangan-angan mendapat keredhaan Allah.” - Riwayat Tirmizi.

Dalam usaha memperoleh kemanisan dalam beramal setelah bermuhasabah, seseorang itu perlu mempunyai azam dan mujahadah yang kuat.

Tanpa azam dan tekad yang kuat tidak akan dapat merubah kebiasaan, apatah lagi perbuatan itu sudah membelenggu kehidupan sehingga merasa selesa dengan kedudukan serta tingkah lakunya walaupun hakikatnya salah.

Antara langkah perlu segera dilakukan tanpa bertangguh ialah bertaubat. Ia perlulah didasari dengan kefahaman dan keyakinan yang betul bahawa Allah bersifat Maha Mendengar, Pengampun, Pengasih lagi Maha Penyayang.

Selain itu, umat Islam perlu menyesali dosa-dosa, membenci perbuatan maksiat dan berazam melakukan amal soleh berpandukan ilmu serta syariat.

Seterusnya, mengambil peluang masih ada untuk melakukan amal soleh dan membetulkan niat serta tujuan dalam melakukan sesuatu perkara supaya diterima dan diredai Allah.