Tiga rakan baik itu, Kajikawa Sahoko, Nomura Yuuichi dan Miyashita Takahiro amat gigih menerangkan mengenai keindahan Islam, sekali gus membetulkan persepsi negatif mengenai agama itu yang tertanam dalam minda majoriti penduduk Jepun.

Dianggarkan jumlah rakyat Jepun yang kembali kepada agama fitrah iaitu Islam pada masa ini adalah sekitar 150,000 - 200,000 orang dan ia amat sedikit jika dibandingkan dengan jumlah penduduk negara itu kira-kira 130 juta orang. Jumlah pembinaan masjid juga meningkat dengan mendadak sejak kebelakangan ini dan jumlah warga Jepun memeluk Islam juga bertambah setiap hari.

Maklumat utama yang diterima oleh penduduk Jepun mengenai Islam adalah melalui berita-berita dalam media massa, yang kebanyakannya cenderung melabelkan Islam sebagai agama keganasan.

Inilah antara pemangkin mereka bertiga membetulkan persepsi yang mendakwa Islam itu agama keganasan melalui pengalaman mereka berkawan dengan ramai Muslim dan ketika berada di negara Islam.

Antara inisiatif proaktif mereka ialah mewujudkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Kansai Muslim Inbound dengan Kajikawa yang boleh berbahasa Arab menjadi Presiden, Nomura dan Miyashita pula bertindak sebagai Timbalan Presiden dan Pengarah.

FAHAMI KESULITAN

Mereka menyedari kesukaran Muslim di Jepun khususnya dalam soal makanan, NGO itu adalah platform mereka membantu Muslim dan menerangkan kepada komuniti mengenai halal, selain daripada salah faham lain mengenai Islam.

Antara matlamat mereka adalah membanyakkan kedai makanan halal untuk Muslim dan hampir setiap bulan mengadakan perjumpaan dengan pelabur-pelabur di Jepun menerangkan mengenai kepentingan industri halal, sekali gus menambah menu halal untuk Muslim dan tidak terkecuali dalam kalangan rakyat mereka sendiri.

Firman Allah SWT dalam Sural al-Baqarah: 168: “Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.”

Difahamkan daripada ayat itu, makanan halal adalah untuk sekalian manusia. Sebab itu, ayat itu dimulakan dengan “Wahai sekalian manusia...”. Ia berbeza dengan hukum khusus dalam Islam untuk Muslim sahaja seperti puasa, zakat dan solat yang biasanya dimulakan dengan “Wahai orang yang beriman..”

Namun bagi makanan halal, perintah Allah adalah untuk semua manusia. Ia bermaksud arahan terbuka sama ada beriman ataupun tidak. Arahan yang universal!

Melalui kata kunci halal. Saya dan rakan-rakan Muslim yang lain berdakwah menerangkan tentang keindahan Islam.

Di Jepun, isu makanan mampu menarik bukan Muslim ke arah Islam. Inilah kehebatan firman Allah, “Wahai sekalian manusia..”

Terdapat rakyat Jepun datang ke kedai halal Pakistan untuk menikmati makanan halal.

Walaupun kedai India turut menyediakan masakan kari sama, tapi mereka mencari yang halal. Insya-Allah ini antara petunjuk hidayah daripada Allah.

Kembali semula dengan kisah tiga rakan baik itu, hobi masa lapang mereka banyak berkisar mengenai keadaan Muslim di Jepun terutama halal. Di samping itu, mereka juga mencari peluang untuk melakukan perniagaan melaluinya.

Mereka bertiga lakukannya secara percuma kerana mereka adalah ‘sukarelawan’ Muslim. Ada juga kutipan dibuat tapi ia hanya untuk menampung harga sewa bilik, peralatan dan kos pengangkutan.

Saya hadir dalam hampir setiap majlis mereka sebagai sokongan moral. Kesungguhan mereka menolong Muslim amat mengagumkan. Saya juga hadir memberikan tunjuk ajar agar maklumat yang disebarkan adalah tepat dan betul. Motif kami sama iaitu menyampaikan maklumat sebenar mengenai Islam. Objektif mereka memperkenalkan Islam, saya pula mengenal pasti individu yang berminat memeluk Islam. Kombinasi yang baik antara kami.

Sejak kebelakangan ini, Kerajaan Jepun menggalakkan pertukaran maklumat sebegini dan lokasi penganjuran program kami di Dewan Orang Ramai Majlis Perbandaran Kishiwada Osaka ditanggung sepenuhnya oleh pihak kerajaan. Kami hanya perlu menyediakan pembentangan material dan tambang pergi serta balik.

Akhir sekali, doakan ketiga-tiga rakan saya itu agar diberikan hidayah untuk memeluk islam.

Doakan juga kami yang berdakwah di Jepun dilindungi, terus diberikan kekuatan untuk berdakwah, dimurahkan rezeki, ditambahkan ilmu dan dipimpin Allah ke jalan yang lurus. Amin!