Menginsafi kekurangan itu, baru-baru ini seramai 150 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pasir, Sungai Petani, Kedah menyertai Kursus Pengurusan Jenazah 2015 di Masjid Muhibuddin Sungai Pasir, Sungai Petani, Kedah.

Mereka diajar segala urusan sejak daripada mula mayat dijemput Ilahi hinggalah dikebumikan ke dalam liang lahad termasuk diajar mengenai kaedah menggali kubur, sesuatu yang jarang diketengahkan dalam mana-mana kursus sama sebelum ini.

Imam masjid itu, Ali Ahmad berkata, kursus seumpama itu sebenarnya tidak terhad kepada para pelajar sahaja tetapi sebaliknya perlu dipelajari oleh sesiapa sahaja dalam kalangan umat Islam.

“Walau bagaimanapun banyak pihak tidak begitu ambil berat mengenainya dengan memberi pelbagai alasan dan penyertaan pelajar kali ini amat baik sebagai dorongan kepada pihak lain untuk menyertainya pada masa hadapan.

“Inisiatif diambil oleh pihak sekolah untuk membawa pelajar ke masjid bagi mengikuti latihan ini banyak memberi manfaat bagi tempoh jangka panjang,” katanya.

Dua tenaga pengajar, Mohd. Hanapiah Daud dan Salmah Othman membimbing pelajar-pelajar tersebut, manakala penggali kubur, Mohamad Razdi Samsudin pula menunjuk ajar teknik mengorek kubur sebelum jenazah dikebumikan.

Sementara itu, seorang peserta, Muhamad Azri Sufi Azhar, 15, berkata, penyertaannya kali ini menjadi pengalaman yang tidak dapat dilupakan kerana terpilih menjadi mayat untuk dimandikan, dikafankan dan seterusnya dikebumikan.

“Mula-mula segan juga untuk berbuat demikian tetapi atas desakan daripada rakan-rakan, saya sanggup berbuat demikian iaitu sebagai seorang yang telah meninggal dunia,” katanya.

Menurutnya, dia dibalut dengan kain putih serba lengkap dan diletakkan di hadapan peserta lelaki dan perempuan.

Dalam pada itu, seorang pelajar wanita, Nur Amera Mohd. Sedikat, 15, berkata, inilah kali pertama dia mengikuti kursus pengurusan jenazah anjuran pihak sekolah dan masjid.

“Sebelum ini, saya tidak pernah melihat mayat dimandikan, kapan dan cara-cara kebumikan jenazah secara dekat, bila berada di sini, banyak ilmu saya peroleh,” katanya.

Pendapat itu dikongsikan oleh Mohd. Afif Izham Shamsudin, 15, yang mengatakan bahawa ilmu seumpama itu perlu dipelajari oleh sesiapa sahaja dan kalau ada peluang, dia ingin mengikutinya lagi.

“Ceramah disampaikan boleh dijadikan panduan untuk diri sendiri pada masa akan datang. Saya amat beruntung kerana berpeluang menyertainya,” katanya.

Guru agama sekolah itu, Mohd. Yusof Tahir memberitahu, tidak salah memberikan pendedahan mengenai pengurusan jenazah pada peringkat awal kepada para pelajar kerana selain kerja-kerja itu merupakan fardu kifayah, ia juga mampu menginsafkan bahawa setiap manusia bakal mengharungi kematian.

“Malah lebih elok lagi jika mereka dapat mempraktikkan ilmu yang diperoleh dengan sebaik-baiknya, seseorang tidak perlu merasa segan dan malu untuk melakukan kerja-kerja mengurus jenazah bila berada di kampung masing-masing,” katanya.

Tambahnya, kursus tersebut akan dijadikan sebagai acara tetap terutamanya kepada pelajar yang tidak sempat untuk mengikutinya dalam penganjuran berkenaan.