Mudirnya, Shuzaimee Aidy Samsudin berkata, langkah mengajar pelajarnya menulis al-Quran sejak awal Ramadan bagi membantu mereka menghafaz 30 juzuk al-Quran dalam tempoh tiga tahun.

“Di Kedah terdapat kira-kira 67 pusat pengajian tahfiz yang berdaftar dan boleh dikatakan Maahad Darul Mustafa adalah yang pertama mengajar pelajar kita menulis al-Quran selain menghafaz.

“Sebenarnya sejak awal penubuhan Maahad Darul Mustafa kira-kira tiga tahun lalu, kita sudah merancang mengajar menulis al-Quran, tetapi disebabkan kos yang tinggi untuk mendapatkan al-Quran dicetak kosong, jadi rancangan itu terbantut begitu sahaja.

“Walau bagaimanapun kita hanya dapat merealisasikan hasrat untuk mengajar menulis al-Quran setelah mendapat sumbangan daripada sebuah syarikat baru-baru ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Shuzaimee, sukatan pelajaran baharu itu juga diperkenalkan sebagai mempersiapkan pelajar Maahad Darul Mustafa untuk mendapatkan Sijil Tahfiz Malaysia (STM) daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kelak.

“Sejak STM diperkenalkan lebih lima tahun lalu, hanya sebilangan kecil yang berjaya mendapatkan sijil perakuan Jakim itu. Ini kerana selain diuji menghafaz, calon peperiksaan juga perlu menjawab soalan yang ditanya secara lisan dengan menulis ayat al-Quran.

“Ramai yang terkandas di situ, oleh itu saya mahu mempersiapkan pelajar di sini dengan memberi pendedahan awal kepada mereka. Mulai awal Ramadan lalu, mereka memperuntukkan selama sejam setiap hari untuk menulis dua muka surat ayat al-Quran,” ujarnya.

Katanya, sukatan baharu yang diperkenalkan itu mendapat sambutan baik dalam kalangan pelajarnya dan secara tidak langsung me­ngubah suasana kelas yang sebelum ini lebih berfokus untuk menghafaz 30 juzuk al-Quran.

Shuzaimee yang juga Pengerusi Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran (Pinta) Kedah memberitahu, pihaknya berhasrat mendapatkan lebih banyak wakaf al-Quran yang dicetak kosong bagi membolehkan pelajar di pusat pengajian tahfiz di negeri ini berpeluang mempelajari menulis ayat suci itu.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya memerlukan RM500 sehari untuk membiayai keperluan iftar, moreh dan sahur bagi 100 orang sepanjang Ramadan ini.

Tambahnya, orang ramai yang mahu menghulurkan bantuan boleh menyalurkan ke akaun Maahad Darul Mustafa atas nama Pusat Pengajian Tahfiz Al-Quran Lil Banin di nombor 02105010020876 (Bank Islam) atau hubungi Shuzaimee Aidy di talian 019–5927529 atau 012–4477466.