Hal ini bertepatan dengan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Baihaqi daripada Abdullah bin Masud r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Antara tanda-tanda (dekatnya) hari kiamat adalah seseorang yang sering melalui laluan masjid tetapi dia tidak pernah solat walaupun hanya dua rakaat di situ dan dia hanya mengucapkan salam kepada orang yang dikenali sahaja.”

Imam Nawawi menyatakan hukum memberi salam dalam kitabnya, Minhaj seperti berikut: Memulakan salam hukumnya sunat dan menjawab salam hukumnya adalah wajib.

KEISTIMEWAAN UMAT MUHAMMAD

Salam adalah satu kelebihan yang Allah SWT berikan kepada umat Nabi Muhammad SAW, kelebihan ini menyebabkan umat Islam diangkat darjat oleh-Nya di dunia dan akhirat.

Bahkan orang Yahudi mengetahui kelebihan ini sehingga menimbulkan hasad dengki dalam diri mereka, sebagaimana hadis yang diriwayatkan Imam Ibnu Majah daripada Aishah r.a.: “Tidaklah orang Yahudi itu merasa hasad terhadap kamu, sebagaimana rasa hasad mereka terhadap amalan salam dan ucapan amin yang kamu amalkan.”

Sebenarnya memberi salam itu menunjukkan keperibadian seorang Muslin yang tawaduk, sekali gus menunjukkan kecintaan kepada saudaranya yang lain.

Ucapan salam:

  • Menggambarkan kebersihan hati daripada sifat dengki, dendam, benci, sombong dan memandang rendah terhadap orang lain.
  • Salam merupakan hak kaum Muslimin antara satu dengan lain.
  • Punca tercapainya rasa saling mengenali, keberkatan, bertambahnya rasa kasih sayang dan kecintaan.
  • Penyebab memperoleh kebaikan, punca seseorang masuk syurga.

ADAB BERI SALAM

Menyebarkan salam adakah satu bentuk inisiatif menghidupkan sunah Rasulullah SAW. Sehubungan dengan itu, bagi menghidupkan kembali sunah memberi salam dalam kalangan Muslimin, maka perlu diketahui beberapa adab memberi salam :

1. Memberi salam mengikut keutamaan umur dan situasi.

  • Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari daripada Abu Hurairah r.a.: “Orang muda hendaklah memberi salam pada yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai.”
  • Ibn Battal mengatakan: disyariatkan orang muda mengucapkan salam kepada orang tua kerana kedudukan orang tua lebih mendahului dari sudut usia. Orang yang muda usianya diperintahkan agar menghormati dan tawaduk di hadapan orang lebih tua.

2. Berjabat tangan dan mengucapkan salam ketika bertemu.

  • Adab salam yang diajarkan oleh Islam, jika sesama Muslim bertemu maka digalakkan agar mengucapkan salam disertai dengan berjabat tangan, hal ini akan mengeratkan kasih sayang sesama Muslim.
  • Menerusi hadis diriwayatkan Imam Thabrani: “Jika seorang Mukmin bertemu dengan Mukmin yang lain lalu mengucapkan salam kemudian berjabat tangan dengannya, maka berguguran dosa-dosa mereka berdua seperti daun-daun yang berguguran daripada sepohon pokok.”

3. Menjawab salam dengan lebih baik atau yang seumpama dengannya.

  • Menjadi tuntutan agama bagi orang yang menerima salam hendaklah menjawab dengan lebih baik daripada orang yang memberi salam kepadanya.
  • Firman Allah dalam Surah al-Nisa’, 86: “Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu.”

4. Berusaha mengucapkan salam dengan lebih sempurna.

  • Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi: “Bahawasanya seseorang telah datang menemui nabi lalu mengucapkan assalamualaikum, nabi bersabda: untuknya 10 kebaikan. Kemudian yang lain datang dan mengucapkan assalamualaikum warahmatullah. Maka nabi bersabda: untuknya 20 kebaikan. Setelah itu datang seorang yang lain pula, lalu mengucapkan assalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh, nabi bersabda: untuknya 30 kebaikan.”
  • Firman Allah 
dalam Surah al-Nur, 27: 
“Wahai orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya; yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, supaya kamu beringat 
(mematuhi cara dan 
peraturan yang 
sopan itu).”

PEDOMAN

  • Islam adalah agama yang sangat menjunjung tinggi adab pergaulan sesama Muslim
  • Ucapan salam menggambarkan kebersihan 
hati daripada sifat dengki, dendam, benci, sombong dan 
rasa memandang rendah 
kepada orang lain
  • Lazimi ucapan salam ketika bertemu kerana ia merupakan satu sunah Rasulullah SAW dan syiar Islam yang kian dipinggirkan.