Melihat foto kanak-kanak kecil kurus kering umpama ‘mayat hidup’ terpampang pada dada akhbar pastinya merobek hati seorang insan yang mengaku dirinya sebagai Muslim.

Kehidupan masyarakat Islam di Yemen amat menyedihkan. Bukan sahaja bekalan makanan, air bersih serta bekalan perubatan yang merupakan perkara asas sangat ditagih, namun satu keperluan tidak kurang penting diperlukan oleh masyarakat di Yemen adalah sebuah penempatan yang jauh lebih baik.

Meskipun dilabelkan sebagai sebuah penempatan oleh pertubuhan dunia, namun begitu perkara itu hanya indah khabar daripada rupa. Tempat berlindung yang dibina daripada bahan buangan, plastik, guni atau ranting kayu adalah tidak selayaknya diiktiraf sebagai sebuah penempatan.

Sampah sarap merata tempat dan tahap kebersihan dikategorikan sebagai menyedihkan ternyata memburukkan lagi kehidupan masyarakat Islam di negara bergolak tersebut.

Perkara tersebut dikongsi oleh dua petugas media yang berkhidmat dalam misi pertama bersama Malaysian Relief Agency (MRA) di bumi Yemen, Wan Kamarudin Wan Ibrahim dan Azizul Naszri Alias.

Hampir dua minggu berada di Yemen, apa yang dilihat oleh mereka berdua bersama empat lagi petugas MRA dalam misi itu adalah situasi kesukaran keterlaluan yang terpaksa dihadapi hampir keseluruhan masyarakat di negara tersebut.

Berlepas dari tanah air pada 7 April lalu dan memasuki negara itu menerusi Aden, apa yang disaksikan kumpulan misi MRA adalah sebuah kehidupan amat menyedihkan.

Tanpa keperluan asas yang cukup, krisis kebuluran di Yemen disifatkan lebih teruk daripada apa yang berlaku di Somalia atau Sudan.

Sekitar dua pertiga daripada 28 juta populasi rakyat di negara itu berhadapan satu masalah daripada lima kekangan utama dari aspek bekalan air bersih, ketiadaan makanan, masalah tempat tinggal, sanitasi serta masalah kesihatan.

Malah hampir 10 juta orang rakyat Yemen berada pada tahap kritikal iaitu kombinasi daripada lima aspek kekangan utama tersebut.

Ekoran tahap kebersihan terabai, maka penularan penyakit berjangkit mudah berlaku dalam masyarakat seperti denggi, malaria, polio serta penyakit kulit kronik.

“Sejumlah 7 juta rakyat Yemen berhadapan masalah kebuluran pada masa ini. Permasalahan yang berlaku di negara bergolak ini adalah lebih teruk daripada apa yang berlaku di Gaza atau Syria.

“Apa yang ada adalah kemusnahan akibat peperangan. Kemusnahan dan kemunduran berlaku di hampir seluruh wilayah di negara tersebut terutama di sebelah selatan,” kata Wan Kamarudin.

Tambahnya, selain dibayangi aspek keselamatan diri dan risiko tinggi ketika berada di negara itu, beratus-ratus ‘check point’ terpaksa ditempuhi.

Katanya, kebanyakan pasar raya, hotel dan perumahan hancur musnah akibat pertempuran antara pihak tentera kerajaan yang sah dan puak Syiah Houthi.

Sementara itu Azizul berkata, masalah pelarian tempatan juga merumitkan lagi keadaan di negara bergolak tersebut apabila terdapat lebih 2 juta orang pelarian tempatan yang berpindah randah.

Menurutnya, lebih daripada sejuta pelarian yang cuba balik semula ke kampung halaman di wilayah masing-masing namun gagal, sebaliknya terpaksa berteduh di bangunan-bangunan runtuh tanpa sebarang kemudahan asas.

“Sekitar setengah juta pelarian dari Utopia, Sudan dan Somalia berada di negara ini kerana sebelum ini mereka merasakan selamat, namun menjadi sebaliknya apabila konflik berdarah di Yemen berlaku sekitar September 2014,” katanya. - Gambar ihsan MALAYSIAN RELIEF AGENCY (MRA)