Kawasan yang terkenal dengan permaidani benang kapas ini masih lagi menjadi tempat tinggal ramai seniman berkemahiran dalam pelbagai teknik pembuatan barangan kesenian Islam seperti kerja kayu, kerja logam, pembuatan barangan kemas dan tenunan.

Bandar ini mempunyai sejarah tersendiri tentang bagaimana ia memperoleh nama al-Kayrawan. Selepas kawasan ini dimiliki oleh tentera Islam Byzantine, pemerintah atau lebih dikenali sebagai pengasas kawasan ini bernama Ibnu Hudaydi memilih sebuah kawasan tinggi yang diberi nama al-Karn (puncak bukit).

Ia adalah sebuah kawasan strategik dalam aspek pertahanan dan selamat daripada banjir, namun tidak ada kediaman di tempat tersebut sebelum itu. Pada sekitar tahun 670, Khalifah Muawiyah mengambil al-Karn daripada Ibn Hudaydi dan menyerahkannya kepada pemerintah baharu iaitu Uqba bin Nafi’.

Uqba menukar pusat pemerintahan dari atas bukit itu ke kawasan datar yang subur sebelum memberi nama al-Kayrawan. Sejak itu, tempat ini tidak pernah sunyi. Ia sentiasa melalui pelbagai cabaran politik dan ketenteraan yang secara langsung merancakkan aktiviti perkembangan budaya serta intelektual di bandar tersebut.

 

SENI BINA TERPENTING

Seni bina terpenting di Kayrawan yang menjadi warisan kesenian Islam sehingga hari ini ialah Masjid Besar Kayrawan, diasaskan pada abad ketujuh Masihi oleh pengasas Kayrawan. Masjid ini telah mengalami beberapa perubahan struktur sepanjang dinasti pemerintahan Islam bermula dari Umayyah, Abbasiyah, Aghlabiyah dan Hafsiyah sehingga ke hari ini.

Masjid ini secara umumnya kelihatan seperti kubu yang besar dan kukuh. Ia juga menjadi tempat bagi para cendekiawan Islam berkumpul, berbincang, menurunkan sanad ilmu dan mengembangkan intelektual dunia Islam.

Kepentingan Masjid Besar Kayrawan sebagai sebuah pusat menuntut ilmu dikatakan setaraf dengan universiti di Perancis pada waktu itu.

Beberapa sarjana dan cendekiawan Islam terkenal dari Kayrawan ialah Ziyad bin Khalfun dan Ishak bin Imran dalam bidang perubatan, manakala dalam bidang Fikah pula ialah Hanafi bin Muhammad dan Yahya bin Salam.

Dalam aspek kejuruteraan, sistem pengairan yang digunakan sewaktu zaman Umayyah diperbaharui selari dengan peningkatan jumlah penduduk. Sistem bekalan air dipertingkatkan ketika pemerintahan Dinasti Fatimiyyah dengan menyalurkan air dari kawasan takungan air di atas bukit ke kawasan bandar.

Pemerintah Kayrawan juga menggunakan sistem takungan air yang merupakan satu inovasi baharu pada waktu itu ketika pemerintahan dinasti Aghlabiyah.

Kerancakan aktiviti perniagaan dan pembelajaran di Kayrawan menjadikan kawasan ini padat penduduk. Seorang penulis yang menulis tentang bandar ini pada abad kesembilan Masihi merekodkan bahawa seseorang akan bergeser bahu dengan pelbagai bangsa di bandar ini seperti orang Rom, Parsi, Mudar dan banyak lagi.

Kayrawan mencapai puncak kegemilangan sebagai bandar budaya Islam ketiga terpenting dalam dunia Islam pada abad kesembilan selepas Madinah dan Kufa.