Rentetan itu, ia menunjukkan seolah-olah wujudnya konflik perundangan antara syariah dengan sivil. Sedangkan, ia sepatutnya dielakkan supaya suasana harmoni yang dibina oleh kerajaan selama ini tidak terganggu.

Justeru, Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Malaysia, Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berpandangan bahawa adalah penting untuk institusi atau organisasi yang diwujudkan oleh kerajaan menghormati bidang kuasa masing-masing.

Ini kerana beliau percaya setiap institusi atau organisasi awam diwujudkan dengan matlamat untuk memastikan wujud keharmonian berpanjangan dalam negara dan masyarakat.

“Dalam konteks ini, institusi kehakiman sama ada syariah atau sivil perlu menghormati keputusan yang bukan hanya dibuat oleh mereka tetapi termasuk badan agama berautoriti yang diwujudkan kerajaan.

“Pendekatan sedemikian perlu supaya wujud keharmonian perundangan tidak hanya dalam dan luar institusi itu tetapi juga masyarakat umum,” katanya ketika ditemui di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor, baru-baru ini.

Beliau adalah antara panel Bicara Persada ke-38 bertajuk, Anak Tak Sah Taraf: Melindungi Maruah atau Mematuhi Syariah anjuran Jabatan Canselori dengan kerjasama Institut Islam Hadhari dan Pusat Kepimpinan Wanita UKM.

Panel lain ialah Pensyarah Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam UKM, Prof. Madya Dr. Zaini Nasohah; Timbalan Pengarah Eksekutif Pusat Strategi UKM, Prof. Madya Dr. Fariza Md. Sham; dan ahli Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof. Datuk Zakaria Stapa.

Kemelut tersebut wujud berikutan keputusan Mahkamah Rayuan baru-baru ini membenarkan anak luar nikah pasangan beragama Islam menggunakan nama bapa masing-masing atau bapa biologi.

Mengulas lanjut, Mohd. Na’im percaya setiap keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan Mahkamah Rayuan berhubung isu tersebut ada hujah masing-masing.

“Kedua-dua institusi tersebut ingin menjaga maruah dan aspek itu adalah antara perkara yang terkandung dalam maqasid syariah. Jadi, kita kena hormati.

“Dalam masa sama, kita harap Mahkamah Persekutuan dapat memperbetul keadaan tersebut dan supaya institusi berautoriti itu dapat membuat keputusan yang betul pada masa hadapan,” katanya.

TANGANI STIGMA MASYARAKAT

Selain itu, Zaini memberitahu, kemelut berkenaan wujud kerana stigma masyarakat umum terhadap masa depan anak tidak sah taraf tersebut.

“Gambaran yang ada sekarang ini, anak tidak sah taraf akan tersisih, susah nak hidup, tiada tempat dalam keluarga dan bermacam-macam tanggapan negatif lagi. Sedangkan dalam ajaran Islam, isu hak anak tidak sah taraf itu telah lama dibincangkan secara panjang lebar oleh ilmuwan Islam silam,” katanya.

Zaini berkata, adalah tidak dinafikan bahawa anak tidak sah taraf itu tidak boleh dinasabkan kepada bapa biologinya tetapi masih boleh dinasabkan kepada ibu dan saudara sebelah ibu.

Soal tanggungan pendidikan dan keperluan-keperluan lain hidup anak tidak sah taraf tersebut bawah ibu dan jika ibunya tidak mampu, maka ia menjadi tanggungjawab saudara sebelah ibunya.

“Kalau tidak mampu juga, Malaysia mempunyai organisasi zakat seperti baitulmal negeri yang bertanggungjawab membantu umat Islam memerlukan bantuan,” katanya.

Begitu juga dalam soal pemilikan harta keluarga anak tidak sah taraf. Apa yang dimomokkan selama ini adalah anak tersebut akan miskin atau hilang hak ke atas harta tersebut.

Sedangkan hukum syarak tidak pernah menyatakan sedemikian. Memang benar anak itu tidak layak menuntut atau menerima harta pusaka bapa biologinya tetapi dia berhak ke atas harta pusaka ibunya.

“Tetapi jika betul bapa biologinya seorang yang bertanggungjawab dan amanah, dia boleh buat hibah atau wasiat harta miliknya untuk anak tersebut,” katanya.

Namun begitu, Fariza berkata, isu anak tidak sah taraf tersebut tidak akan menjadi bebanan kepada masyarakat Islam jika ibu bapa dan yang bakal berkahwin memahami firman Allah SWT dalam Surah al-Israa: 32 iaitu: “Dan janganlah kamu mendekati zina; Sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan keji dan suatu jalan yang buruk.”

Jadi, tidak hairanlah apabila beliau menyatakan bahawa polemik yang berlaku itu adalah petanda menunjukkan majoriti umat Islam sudah lupa kepada ayat al-Quran tersebut.

“Apa yang diputuskan Mahkamah Rayuan itu sudah di hujung sedangkan ayat al-Quran tersebut menyuruh kita bertindak lebih awal dengan memberi penekanan iaitu janganlah kamu mendekati zina.

“Ibu bapa atau yang bakal berkahwin harus ingat, natijah melawan perintah Allah SWT akan ditanggung sepanjang hidup bukan hanya diri sendiri tetapi anak cucu kita,” katanya.