Terdapat tiga cara mengerjakan ibadat haji seperti ditunjuk ajar oleh Rasulullah SAW:

Haji Tamattu’

  • Bermaksud melakukan umrah pada musim haji dan menunaikan semua amal ibadat haji yang berkaitan dengan umrah. Apabila tiba waktu haji, jemaah akan berihram haji pula dan menunaikan amal ibadat yang berkaitan dengan haji.

Haji Ifrad

  • Bermaksud mengerjakan ibadat haji sahaja pada musim haji dan melaksanakan semua amalan yang berkaitan. Umrah pula dilakukan setelah selesai melaksanakan haji.

Haji Qiran

  • Bermaksud mengerjakan haji dan umrah serentak pada musim haji, kemudian menunaikan semua amal ibadat berkaitan dengan haji. Umrah pula dikira telah selesai apabila selesai menunaikan haji.

          Dalam bab pemilihan cara mengerjakan ibadat haji ini, Islam ingin menggambarkan bahawa ia adalah agama yang sempurna ibadatnya dengan kesesuaian jiwa manusia yang berbeza antara satu sama lain.

  • Jika mampu berada lama dalam ihram, boleh pilih cara ifrad.
  • Jika tidak mampu berada lama dalam ihram, dia boleh pilih cara tamattu’.
  • Jika tidak mempunyai masa yang panjang untuk mengerjakan haji disebabkan kekangan kerja dan sebagainya dia boleh memilih cara qiran.

          Islam tidak menghalang seseorang itu untuk melakukan ibadat haji kepada Allah mengikut keadaan dan kesesuaiannya. Mengikut pengalaman tahun-tahun sebelum ini, majoriti jemaah haji Malaysia memilih cara Haji Tamattu’, diikuti Haji Ifrad dan Haji             Qiran.

PANDANGAN MAZHAB

  • Mazhab Syafie - melaksana-kan haji secara ifrad adalah lebih afdal (baik) berbanding cara yang lain.
  • Mazhab Hanafi - cara tamattu’ lebih afdal daripada yang lain-lain.
  • Jika jemaah memilih cara tamattu’ akan dikenakan Dam Tertib dan Taqdir, manakala cara ifrad tidak dikenakan dam.
  • Inti pati perbahasan dalam kalangan ulama mengenai afdal:

* Afdal tamattu’ kerana dikenakan dam.

* Afdal ifrad sebab lama masa jemaah haji berada dalam ihram.

Bagaimanapun, pandangan saya, jemaah haji boleh memilih cara mengerjakan haji mengikut kemampuan dan keselesaan masing-masing. Perlu diingatkan juga apabila jemaah haji sudah berniat ihram haji, mereka tidak boleh menukar niat ihram umrah.