Dahulu senarai ahli kumpulan WhatsApp hanya setakat 100 orang sahaja tetapi kini ia boleh diisi maksimum hingga 256 individu. Tanpa disedari banyaknya ‘ganjaran’ bakal dinikmati pengirim asal atau yang pertama.

Perlu diakui selain daripada berita-berita sensasi sama ada fitnah atau sebaliknya yang tular secara maya dalam platform media sosial, penyebaran gambar-gambar separa lucah turut disebarkan dan Khamis adalah antara hari yang paling sibuk.

Apabila dibuka gambar-gambar dalam galeri telefon bimbit pastinya terdapat banyak gambar bersama dialog sensasi. Rasanya tidak perlu dihuraikan kerana ramai yang arif mengenainya.

Kadang-kadang apabila terdapat seorang dua yang menegur, pasti ada yang ‘sentap’. “Kita hanya hendak bergurau, janganlah ‘poyo’ sangat!,” Itu antara jawapan yang biasa diberikan.

Persoalannya, katakanlah individu dalam gambar-gambar itu adalah anak, isteri, adik, kakak kita sendiri; adakah kita sanggup dan rela untuk menularkannya? Jika tidak sanggup begitulah juga dengan mangsa-mangsa berkenaan yang semestinya mempunyai sanad ahli keluarga masing-masing.

Jika ada yang tidak bersetuju dengan penulis, maka diharapkan agar mereka memuat naik status sebegini dalam Facebook masing-masing. Antara cadangannya:

  • “Saya amat berharap apabila tibanya hari Khamis, tolonglah ambil gambar anak-anak perempuan dan isteri, edit dan buatlah dialog lucah. Saya langsung tidak marah kerana saya tahu ia adalah sekadar gurauan, jenaka adalah ubat terbaik untuk hati yang sedang duka lara.”
  • “Saya pohon jika ahli keluarga maut kerana terlibat dalam kemalangan ngeri, tolonglah sebarkan gambar mereka, saya rela demi pengajaran!”

Krisis yang dialami umat Islam pada masa ini sebenarnya telah ditegur oleh Rasulullah SAW kira-kira 1,400 tahun lalu. Baginda bersabda: “Tidak sempurna iman kamu sehinggalah kamu suka sesuatu kepada saudara kamu sama seperti apa yang kamu suka untuk diri kamu sendiri,” - Sahih Bukhari dan Muslim.

Allah SWT juga telah menyediakan garis panduan mencukupi kepada hamba-Nya iaitu al-Quran dan sunah Rasul-Nya. Apa yang menjadi masalah ialah hamba-hamba-Nya tidak memanfaatkan sepenuhnya ‘manual’ yang disediakan. Malah apa yang paling menyedihkan apabila umat Islam seakan-akan malu untuk menjadikan al-Quran dan sunah sebagai operating system diri.

Menginsafi daripada tragedi tersebut, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (YWUI) untuk tahun ketiganya bergabung dengan 10 media utama di negara ini menganjurkan World#QuranHour (WQH) 2018 pada 22 Ramadan, bersamaan dengan 7 Jun depan.

Semalam bertempat di Ibu pejabat Kumpulan Utusan di Kuala Lumpur diadakan taklimat sinergi media yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak. Yang turut hadir ialah wakil Kumpulan Media Karangkraf, Kumpulan NSTP, Astro, Kumpulan Media Prima, The Star, RTM, Bernama, TV Alhijrah dan IKIMfm.

WQH adalah kemuncak kepada program #QuranHour sepanjang tahun yang membawakan inisiatif berinteraksi dengan al-Quran iaitu ‘baca, faham dan amal’ melalui model 114 surah dengan pendekatan Quran, Tadabbur dan Tazakur (QTT).

Hasil yang diharapkan adalah berlakunya perubahan kerangka pemikiran dan anjakan paradigma dalam kalangan keluarga iaitu ayah, ibu, anak-anak, datuk dan nenek yang membentuk komuniti dalam negara ini serta masyarakat dunia.

Tahun ini Surah al-Hujurat dipilih sebagai surah utama WQH. Surah ke-49 yang mempunyai 18 ayat itu mengandungi panduan pembentukan umat berakhlak. Ia akan difahami (tadabbur dan tazakur) dengan empat surah lain iaitu Surah al-Fatihah sebagai Ummul Quran, Surah al-Baqarah sebagai puncak al-Quran, Surah Yasin sebagai Qalbu al-Quran dan Surah Luqman sebagai misi sepanjang tahun untuk membina keluarga.

Gabungan lima surah berkenaan dihasratkan menjadi penyelesaian bersifat divine intervention kepada suasana pertikaian kerana perbezaan, penggunaan teknologi dan terhakisnya nilai-nilai mulia dalam keluarga, organisasi, komuniti, negara dan dunia.

Pada 2017 jangkauan #QuranHour di media sosial mencapai 357 juta berbanding hanya 87 juta jangkauan pada 2016. Penganjur berharap tahun ini WQH mendapat 1 bilion jangkauan dalam pelaksanaannya di 100 buah negara pada 22 Ramadan ini.

1. My Family #QuranHour #savingfamilies - berjalan sepanjang tahun

2. My Community #QuranHour - berjalan sepanjang tahun

3. World#QuranHour 
- 22 Ramadan, bersamaan 7 Jun 2018

4. Arafah #QuranHour 
- 9 Zulhijah

5. Malaysia #QuranHour - 30 Ogos sempena kemerdekaan

6. My #QuranHour - 365 hari setahun