Walaupun begitu, agihan dana zakat bukan lagi bersifat sekadar memberi untuk keperluan dua atau tiga hari, tetapi matlamatnya adalah untuk membebaskan penerima zakat asnaf fakir dan miskin daripada belenggu kemiskinan.

Dalam mencapai objektif tersebut, beberapa program disusun bagi memfokuskan asnaf yang berpotensi antaranya Program Pembangunan Ekonomi dalam kalangan asnaf fakir miskin dan mualaf. Pihak Baitulmal MAINS percaya ada dalam kalangan asnaf yang boleh digilap keupayaan mereka.

Bawah program itu, bantuan modal perniagaan disediakan untuk penerima bulanan baitulmal yang proaktif. Bimbingan secara berkelompok juga diadakan bagi meningkatkan ekonomi keluarga mereka dengan hasil kemahiran dimiliki melalui perniagaan yang dijalankan.

Pada masa ini beberapa usahawan asnaf telah berjaya dan mampu berdikari menerusi peruntukan asnaf fakir, miskin dan mualaf untuk diteladani asnaf yang lain.

ALLAH TIDAK SUKA ORANG MALAS!

Penulis ingin berkongsi bagaimana Baitulmal MAINS telah membantu seorang asnaf zakat iaitu seorang miskin bandar yang akhirnya berjaya keluar daripada kemiskinan.

Individu tersebut ialah, Juminah Kambali, 42, atau lebih mesra dengan panggilan Kak Ju yang tinggal di Seremban 2, Negeri Sembilan sejak 1998. Beliau diisytiharkan bankrap akibat tidak mampu melunaskan bayaran ansuran rumah pada 2007.

Tiada langsung harta yang boleh digadai, tiada sesiapa yang tampil pada saat itu bagi mendapatkan semula rumahnya yang bakal dilelong.

Kecekalan adalah ubat kepada penderitaan. Acap kali hidup kita teruji dengan pelbagai cabaran. Demikianlah yang terpaksa ditempuh wanita ini.

Ibu tunggal ini tidak mudah menyerah kalah kepada nasib tanpa usaha apatah lagi dia terpaksa menyara tiga orang anak yang masih kecil ketika itu.

“Saya tahu untuk hidup kita harus bekerja. Allah sendiri tidak menyukai orang yang malas dan hanya tahu meminta-minta,” itulah menjadi pegangan Kak Ju.

Lantas dia memikirkan jalan terbaik mencari rezeki dan bertekad untuk bangun dan terus berusaha. Dengan kemahiran memasak, dia menjual nasi lemak, kuih-muih secara kecil-kecilan dan menjaja di sekolah serta kilang.

GIGIH MEMAJUKAN DIRI

Apabila mendapat tahu Baitulmal MAINS menyediakan bantuan perniagaan untuk asnaf yang berpotensi, dia terus mendaftarkan diri sebagai peserta kursus bimbingan usahawan dan memohon peralatan bernilai RM5,500 bagi memajukan perniagaan yang diusahakan pada 2012.

Selain itu, Kak Ju turut mengikuti kursus bimbingan secara berkala bagi meningkatkan nilai dan kualiti produknya sambil menambah pengetahuan keusahawanan.

Selepas dua tahun menjalankan perniagaan, dia sudah semakin kreatif dan memahami kehendak pelanggan dengan menjual kuih-muih sejuk beku dan roti sosej bagi mempelbagaikan produk.

Dalam masa yang sama, Baitulmal MAINS turut menyalurkan wang saraan bulanan sebanyak RM200 mulai 2007 dan bantuan pendidikan berbentuk yuran persekolahan serta pakaian sekolah anak-anaknya.

Hari ini, Kak Ju sudah mampu tersenyum lebar dan menceburi bidang perniagaan lebih besar iaitu menyediakan perkhidmatan katering dan penyediaan cenderamata bagi majlis kenduri di Seremban yang menerima sambutan amat menggalakkan.

Dia hanya berniaga dari rumah dan tidak memerlukan kedai bagi mengurangkan kos pengurusan.

Pada akhir 2014, dia sendiri hadir ke Baitulmal MAINS dan meminta untuk dikeluarkan namanya daripada senarai penerima bulanan asnaf miskin.

Menurutnya, dia telah mampu berdikari dan pendapatan yang diperoleh agak baik. Kiraan yang dibuat Baitulmal MAINS juga menunjukkannya telah melebihi had kifayah yang ditetapkan di Negeri Sembilan.

Berkat wang zakat kehidupannya terbela.

Mudah-mudahan Allah terus memberikan peluang dan harapan seumpama ini bukan sahaja kepada Kak Ju tetapi juga asnaf lain yang sanggup berusaha gigih untuk keluar daripada kemiskinan.

Jumlah penerima bantuan Januari hingga September 2017 :

  •  194 orang menerima bantuan kewangan/peralatan
  •  140 orang menerima bantuan kursus kemahiran
  •  RM457,173.16 dana zakat diagih untuk Program Pembangunan Ekonomi Asnaf