Perkara itu dinyatakan sendiri oleh Ketua Muasasah Tewafah Asia Tenggara, Sheikh Muhammed Amin Hassan Andarqiri sambil memaklumkan be­ri­ta gembira itu, hasil mesyuarat­ pihaknya dengan menteri dan pengurusan di Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi beberapa hari lalu.

“Alhamdulillah, jemaah Malaysia, kita belajar daripada mereka. Pada mesyuarat bersama menteri dan wakil menteri, kita sentiasa diberitahu bahawa adalah elok jika semua jemaah adalah seperti jemaah haji Malaysia.

“Kita berasa amat berbangga bekerjasama dengan Lembaga Ta­bung Haji (Tabung Haji) kerana mereka mempunyai banyak pen­ga­laman menguruskan jemaah haji.

“Setiap tahun kita telah melihat penambahbaikan dan kema­juan dalam pengurusan jemaah haji Malaysia, begitu juga jemaahnya yang bagus. Apabila sebut sahaja tentang jemaah Malaysia, orang semua sudah tahu tentang kebaikannya,” katanya kepada wartawan Malaysia di pejabat Muasasah Asia Tenggara di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Rombongan Haji Malaysia 1438 Hijrah, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman serta pengurusan tinggi rombongan haji Malaysia.

Sheikh Muhammed Amin men­jelaskan, kerajaan Arab Saudi telah me­ningkatkan keselesaan kepada jemaah, khususnya sewaktu ope­rasi Masyair di Arafah, Mudzalifah dan Mina seperti khemah baharu, penyediaan ge­ne­rator tambahan, per­maidani, selain kemudahan kebajikan ya­ng lain.

“Tahun ini, kita te­lah melakukan banyak penambahbaikan untuk memastikan seluruh jemaah iaitu hampir dua juta menerima perkhidmatan yang diberikan ke­rajaan Arab Saudi,” katanya dengan membe­ritahu Muasasah Asia Tenggara menguruskan lebih 300,000 jemaah dari negara Asia Tenggara.

Mengenai khidmat kesihatan, beliau memberitahu bahawa pera­latan mencukupi, hospital manakala anggota perubatan telah pun bersiap sedia menghadapi musim ha­ji ini di semua lokasi strategik.

“Ini juga melibatkan pasukan keselamatan yang akan memberikan perlindungan terbaik ke­pada jemaah. Kita ma­hu memastikan seluruh jemaah haji, terutama dari Asia Tenggara seperti Malaysia dapat melakukan ibadah tanpa masalah,” ujarnya.

Sheikh Muhammed Amin turut memaklumkan bahawa dengan memakai aplikasi e-Hajj yang diperkenalkan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, proses mengurus jemaah semakin mudah dan membantu pihak muasasah.

Bercakap tentang pengangkutan jemaah haji terutama semasa operasi Masyair, katanya, pihak muasasah menyediakan bas yang lebih baik dan baru.

“Kita bukan bekerja sendiri, kita bekerjasama dengan Tabung Haji sudah lama. Kita sudah macam satu pasukan, 'satu mata’, satu hat dan satu semangat,” tegas Sheikh Muhammed Amin. – UTUSAN