Bukan sahaja sanggup menghabiskan masa berjam-jam bagi menyempurnakan kesemua misi ujian dalam setiap tingkatan (level) cabaran, pemain juga rela mengeluarkan sejumlah wang bagi memenuhi minat sama ada mendapatkan salinan cakera padat atau membayar kos sewaan komputer di pusat Internet.

Namun malangnya, menampilkan watak animasi dengan pelbagai rupa dan perbuatan pelik, permainan yang tidak diketahui misi dan agenda di sebalik cabaran itu dilihat kurang sihat kerana mampu mempengaruhi minda pemain.

Melihat kepada trend itu mendorong pelajar tahun akhir Kuliah Informasi dan Teknologi Maklumat (ICT), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Muhammad Hafizuddin Muhammad Hasni, 24, bersama rakan kumpulannya, Muhammad Adib Asri Rosli, 24, menghasilkan aplikasi komputer Islamik dengan konsep sama yang dinamakan Muslim Legend: Salahuddin al-Ayyubi.

Muhammad Hafizuddin berkata, selain menggalakkan pemain mengisi masa lapang dengan cabaran berfaedah, aplikasi yang dihasilkan juga memberi pelajaran dan pengajaran kepada pemain mengenai sejarah silam umat Islam.

“Kalau kita perhatikan permainan berkonsep pertempuran ini seperti menjadi kegilaan ramai, tetapi malangnya kebanyakan permainan yang terdapat di pasaran dihasilkan oleh orang bukan Islam mengikut watak dan kriteria masing-masing.

“Permainan seperti ini memang menarik, namun sekadar menghabiskan masa tanpa memberi sebarang faedah kepada pemain. Oleh itu, kami cuba menghasilkan sebuah aplikasi Islamik dalam usaha mendedahkan sejarah Islam menerusi kaedah tidak langsung.

“Ditambah pula, ramai yang tidak suka membaca buku sejarah kerana dianggap membosankan, justeru menerusi permainan ini selain mengatur strategi, pemain juga dapat mengetahui rentetan daripada kisah pejuang Islam,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui ketika Pertunjukan Projek Tahun Akhir (FYP), sempena program ICT On Web (IOW) Kuliah ICT, UIAM baru-baru ini berkata,

Masih pada tahap permulaan, Muhammad Hafizuddin berkata, aplikasi itu akan ditambah baik dari semasa ke semasa dengan menyediakan lebih banyak tingkatan perlawanan dan tokoh pejuang Islam lain.

“Buat permulaan ini kita menumpukan kepada pejuang Salahuddin al-Ayyubi, Insya-Allah kita merancang untuk menghasilkan lebih banyak tokoh pejuang Islam secara bersiri kesinambungan daripada permainan ini,” katanya.