SKIM bantuan itu diwujudkan bagi memberi bantuan kepada individu yang memerlukan bantuan. Maka ditetapkan beberapa ciri atau kriteria tertentu bagi menentukan sama ada individu itu layak menerima bantuan atau tidak. Antara kriterianya ialah jumlah gaji bulanan. Secara zahirnya, anda tidak layak memohon bantuan tersebut.

Namun begitu, kriteria itu bukanlah sesuatu yang muktamad. Ia sekadar penanda aras bagi memudahkan urusan. Keputusan muktamad akan diputuskan oleh pihak jawatankuasa yang akan menilai setiap permohonan.

Oleh itu, jika anda jujur dengan tidak menipu jumlah gaji, maka bantuan yang diberikan adalah harus diterima. Kemungkinan jumlah gaji anda melebihi syarat ditetapkan namun melihat kepada jumlah tanggungan, kemungkinan besar anda dinilai sebagai individu yang memerlukan bantuan.

Apa yang penting ialah ketelusan dan kejujuran. Pihak pemohon jujur memberikan maklumat manakala pihak agensi jujur menilai setiap permohonan.

Apa hukum makan jamuan sempena maulid Nabi?

Jamuan makan sempena maulid Nabi adalah halal dan harus dimakan. Ia makanan yang disediakan, sama seperti makanan yang disediakan sempena sambutan hari jadi, kenduri kahwin dan sebagainya.

Dalam acara sambutan maulid, ada tiga perkara yang dilakukan:

Pertama, selawat beramai-ramai.

Kedua, ceramah atau forum iaitu majlis ilmu.

Ketiga ialah jamuan makan, ia baik kerana menjamu orang makan.

Kami bekerja di makmal uji kaji. Pelbagai bahan digunakan untuk diuji kaji. Adakah alatan uji kaji perlu disertu jika ada bahan diperbuat daripada bahan terlarang dalam agama?

TIDAK perlu disertu. Ini kerana alatan uji kaji tidak digunakan sebagai alatan untuk solat dan sebagainya. Apa yang penting ialah mematuhi standard piawaian uji kaji yang ditetapkan.

Apa hukum menziarahi rumah ibadat bukan Islam untuk tujuan kerja kursus universiti?

ADALAH harus bagi Muslim menziarahi rumah ibadat bukan Islam jika terdapat tujuan yang baik. Contohnya untuk menyiapkan kerja kursus, bertemu dengan pemimpin agama di kuil dan gereja serta tujuan yang lain.

Pada masa sama, individu Muslim hendaklah berkeyakinan bahawa hanya Islam sahaja sebagai agama yang benar dan diredai di sisi Tuhan.

Juga individu Muslim tidak seharusnya terlibat dengan apa-apa acara keagamaan ketika lawatan tersebut.

Apa hukum seorang wanita muda bermusafir bersama dengan keluarga bakal mentua?


MUSAFIR adalah perjalanan yang jauh. Contohnya umrah. Seeloknya terdapat mahram bagi wanita. Jika tiada mahram maka wanita dibenarkan bermusafir dengan kumpulan wanita yang dipercayai. Dalam hal ini, bakal ibu mentua dan kakak ipar termasuk dalam kategori wanita yang dipercayai. Maka tidak mengapa jika wanita bermusafir bersama bakal ibu mentua.