Sudah tentu, sebulan berpuasa memotivasikan diri untuk terus melakukan lebih banyak amal ibadah dan kebajikan. Di samping menunaikan amalan fardu, pelbagai amalan sunat seperti solat sunat tarawih, tahajud, istighfar dan membaca al-Quran turut dilaksanakan.

Malah pada Ramadan juga, amalan sedekah turut subur dalam kalangan masyarakat Islam demi membantu golongan memerlukan.

Namun begitu, mampukah semangat ini bertahan atau akan hilang dengan berakhirnya Ramadan? Jawapan bagi soalan ini ada pada diri kita sendiri kerana jawapan itu bergantung kepada tahap keimanan individu.

Yang pasti, Allah SWT memerintahkan umat Islam supaya sentiasa teguh dan istiqamah berada di atas jalan petunjuk dan hidayah-Nya.

Sebagaimana firman Allah maksudnya: “Oleh itu, hendaklah Engkau (Wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh atas jalan yang betul sebagaimana diperintahkan kepada-Mu, dan hendaklah merujuk kembali kepada kebenaran mengikut mu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas hukum-hukum Allah; Sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan,” (Hud: 112)

Sepanjang Ramadan lalu, kita berjaya melakukan puasa pada waktu siang dan menghidupkan malamnya dengan amal ibadah. Ini tentunya telah menambahkan kesuburan iman dan menyebabkan rasa sedih tatkala Ramadan berakhir.

Menyedari hakikat ini, maka kita perlu terus menjaga hidayah Allah dan memperkukuh kekuatan iman supaya kental menghadapi segala ujian. Bagi mengekalkan nilai istiqamah ini, kita perlu bermujahadah dan bersungguh-sungguh melaksanakan ketaatan kepada Allah.

Oleh itu, janganlah kita menjadikan Aidilfitri dan Syawal sebagai medan untuk lalai sehingga terlupa bahawa baru sahaja keluar daripada madrasah Ramadan yang banyak mendidik kita erti hamba kepada Allah.

PERBANYAKKAN AMALAN

Antara amalan yang dapat membantu dalam meneruskan misi istiqamah ialah:

 1. Menginsafi bahawa Aidilfitri adalah perayaan ibadah yang disambut kerana kejayaan umat Islam mentaati perintah dan membesarkan Allah melalui ibadah puasa, ibadah solat, berzakat dan bersedekah.

  • Allah menggalakkan hamba-Nya agar memperbanyakkan berzikir dengan bertakbir, tahmid, tahlil dan tasbih setelah selesai menyempurnakan Ramadan dan memasuki 1 Syawal tanpa dicemari dengan perkara melampaui batasan syarak.

2. Melakukan puasa sunat enam hari dalam bulan Syawal yang pahalanya menyamai puasa selama setahun.

  • Puasa sunat ini mampu melatih diri untuk sentiasa istiqamah mengamalkan puasa sunat pada bulan lain.

3. Melazimkan diri dalam pelaksanaan solat fardu secara berjemaah di masjid atau surau-surau.

  • Ini kerana tuntutan melaksanakan solat fardu berjemaah adalah jauh lebih besar kebaikannya daripada solat bersendirian.

4. Mengekalkan amalan dan ibadah sunat yang dilaksanakan dalam bulan Ramadan pada bulan lain.

5. Tidak putus berdoa kepada Allah supaya dikurniakan istiqamah dan hidayah berpanjangan dalam kehidupan.

  • Firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran ayat 8 maksudnya:

“Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisi-Mu; Sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberian-Nya.”

Sumber  Jabatan Kemajuan Islam Malaysia