Memang diakui ada sesetengah pusat tahfiz mempunyai kelemahan, namun ia tidak menghalalkannya untuk didesak agar ditutup terus, sepatutnya kelemahan itu perlu sama-sama diperbaiki.

Setidak-tidaknya, apa yang boleh dijanjikan kepada pelajar menghafaz al-Quran ini adalah jaminan masa depan cerah di akhirat nanti.

Inilah sebenarnya sasaran sebenar setiap umat Islam, berjaya di dunia dan lebih utama di akhirat.

Pada masa sama, pusat tahfiz juga tidak hanya mementingkan kemahiran agama semata-mata, tetapi turut memfokuskan kepada kecemerlangan akademik seperti yang dilaksanakan oleh Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Darul Quran sejak penubuhannya pada 1966 hingga 2018 telah melahirkan seramai 7,134 lulusan huffaz (30 juzuk) melalui Program Diploma Tahfiz al-Quran dan al-Qiraat (sama ada dari kampus Darul Quran atau Maahad Tahfiz al-Quran Negeri), Persijilan Tahfiz al-Quran Jakim - Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Kolej Universiti Perubatan Cyberjaya (CUCMS).

Wartawan Mega Mimbar menemu bual beberapa bekas pelajar Darul Quran yang berjaya dalam bidang profesional dan kemampuan menjunjung tinggi al-Quran menjadi nilai tambah terbaik kepada majikan mereka.

MENGHAFAZ al-Quran jika terlupa berdosa, jika salah boleh ‘memakan diri’. Itu antara stigma segelintir umat Islam terutama masyarakat Melayu apabila membicarakan tentang mempelajari al-Quran.

Bekas pelajar Darul Quran, Mohammad Azziyadi Ismail berkata, tanggapan songsang itu perlu dihapuskan terutama hukum yang direka-reka sehingga menjadi kepercayaan ramai.

Menurut Pegawai Tadbir Dan Diplomatik (PTD), di Kementerian Hal Ehwal Ekonomi itu, hal itu hanya menakut-nakutkan keinginan umat Islam untuk menguasai dan menghafal al-Quran.

“Apa yang saya perhatikan, cabaran sekarang ialah beberapa pemikiran yang perlu diperbetul. Fikiran ini hanya memandulkan Melayu-Islam daripada mempelajari al-Quran.

“Sedangkan Allah SWT berfirman:“Bacalah” (al-Alaq: 1) malah Nabi Muhammad juga bersabda: “Orang yang membaca al-Quran secara mahir, maka dia bersama para malaikat yang mulia, sedangkan yang membaca al-Quran secara merangkak-rangkak dan kesulitan, maka baginya dua pahala,” - Riwayat Bukhari.

“Kemudian kita diajar “Bertanyalah kepada ahlinya jika kamu tidak mengetahui,” (An-Nahl: 43). Mengapa perlu dimomokkan dengan perkara seperti ini,” katanya yang kini bertugas sebagai Setiausaha Sulit Kanan kepada Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Tambah Azziyadi, begitu juga dengan persepsi ceburi bidang tahfiz tidak mempunyai masa depan cerah juga tidak berasas.

“Siapa boleh jamin sesuatu bidang diceburi itu menjanjikan masa depan cerah dan pasti mendapat pekerjaan dalam bidang itu selepas tamat belajar? Malah, dalam aliran profesional sekalipun tiada siapa dapat menjamin.

“Masa depan bergantung bagaimana seseorang mampu berusaha untuk hidup.

“Hakikatnya, ramai lepasan tahfiz berjaya bersaing bersama masyarakat pelbagai jurusan malah ada yang menjadi jutawan dengan menjalankan perniagaan.

“Setidak-tidaknya, apa yang boleh dijanjikan kepada pelajar tahfiz adalah jaminan masa depan cerah di akhirat nanti.

“ Inilah sebenarnya sasaran sebenar setiap umat Islam, bukan sahaja berjaya di dunia tetapi lebih utama di akhirat,” jelasnya.

Tegas beliau, persepsi itu perlu dihapuskan daripada terus menular dalam kalangan umat Islam bagi membolehkan pengajian al-Quran diangkat setaraf dengan jurusan lain.

“Tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa hampir semua pelajar lepasan tahfiz berakhlak mulia dan tiada masalah akhlak yang serius. Ini kerana minda mereka penuh dengan mukjizat al-Quran yang memandu mereka melakukan sesuatu pekerjaan dengan amanah.

“Malah, jika kita perhatikan individu yang cerdik sekalipun jika tidak berakhlak dan berdisiplin akan gagal dalam hidup, berbeza dengan pelajar yang tidak begitu hebat pendidikannya tetapi berdisiplin, pasti menunjukkan pencapaian lebih baik daripada individu cerdik tadi,” tegasnya.

Lebih berdisiplin kerana hafaz Quran

BENARKAH budaya hafazan al-Quran sukar dikekalkan dalam kalangan pelajar lepasan tahfiz apabila mereka bekerja atau melanjutkan pengajian dalam bidang tiada kaitan dengan agama?

Ini kerana diakui, tiada lagi sesi khusus untuk ulang kaji hafazan. Begitu juga dengan ketiadaan guru atau rakan sepengajian yang boleh menilai tahap hafazan.

“Jika berasaskan senario itu, ia menampakkan seolah-olah satu kebenaran,” kata bekas pelajar Darul Quran, Dr. Nisar Mohammad Ahmad ketika ditemui di USIM, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Namun bagi Pengarah Pusat Alumni dan Kerjaya USIM itu, lepasan pelajar tahfiz yang berada dalam senario berkenaan seharusnya bersikap terbuka dengan berusaha menyesuaikan budaya hafazan al-Quran dengan suasana semasa.

Tambahnya, mereka tidak boleh lagi menunggu atau mencari masa seperti ketika belajar dahulu untuk mengulang kaji hafazan al-Quran.

“Sama ada usaha mengekalkan budaya hafazan itu satu bebanan atau tidak, ia bergantung kepada sikap diri pelajar itu sendiri.

“Hanya kekuatan semangat dalam diri untuk mengekalkan hafazan al-Quran itu akan menjadikan mereka lebih berdisiplin dan komited sepanjang masa,” kata Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang USIM itu.

Bagi Nisar Mohammad, cabaran mengekalkan budaya itu bermula apabila menerima tawaran melanjutkan pengajian ijazah dalam bidang Syariah dan Kehakiman di Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM) kini USIM.

Beliau mengakui bidang pengajian itu memerlukannya memperuntuk masa yang banyak bagi mempelajari dan memahami bidang perundangan.

Keadaan sama turut dialaminya ketika menyambung pengajian ke peringkat sarjana dan PhD, bahkan ketika memasuki alam pekerjaan.

Dalam masa sama, Nisar mengingatkan pelajar tahfiz agar membuang stigma bahawa budaya hafazan al-Quran seharusnya dihadkan untuk dibaca semasa solat fardu atau tarawih sahaja.

“Tanggapan itu akan memberikan mereka alasan untuk melupakan hafazan apabila menyambung pengajian atau bekerja di luar institusi Islam,” katanya.

Malah, tambahnya, ia juga bakal mengehadkan manfaat al-Quran yang boleh disumbangkan dalam gerakan dakwah sama ada kepada komuniti Muslim, mahupun bukan Islam.

“Pelajar tahfiz tidak harus tanam dalam diri mereka bahawa jemaah mereka di masjid atau surau sahaja kerana komuniti di luar institusi Islam berkenaan juga mahu merasai manfaat al-Quran.

“Budaya hafazan al-Quran itu boleh memberi nilai tambah kepada bidang pengajian atau kerjaya selain daripada yang berkaitan dengan pengajian Islam,” katanya.

Jiwa terdidik kenali Allah di Darul Quran

“SEJUJURNYA, saya dipaksa oleh ayah, Wan Mohd. Noh Wan Hamat atau lebih dikenali dengan Ustaz Wan Noh dalam kalangan masyarakat di Bangi, Selangor untuk ikuti kursus persijilan Tahfiz Darul Quran UIAM biarpun hati begitu teruja untuk menyambung pengajian ke luar negara seperti kawan-kawan lain selepas keputusan Sijil Pelajaran Malaysia.

“Namun kini saya anggap keputusan ayah itu adalah antara perkara paling manis untuk saya dan amat bersyukur kerana paksaan itu menyebabkan saya meraih sesuatu yang terbaik hari ini,” kata Wan Najran Wan Mohd. Noh, 35, yang juga bekas anggota kumpulan nasyid terkemuka, Saujana.

Berkhidmat sebagai jurutera dengan sebuah syarikat kontraktor minyak dan gas terkemuka dunia, anak kedua daripada tujuh adik beradik itu berkata, dia mengikuti kursus itu selama setahun setengah, sebelum menyambung pengajian di UIAM dalam bidang kejuruteraan pembuatan.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang (SMAP Kajang) itu berkata, pelbagai pengalaman indah dikecapi ketika berada di Darul Quran, malah jiwanya begitu terdidik dengan suasana dan sistem pendidikan yang ada di gedung ilmu al-Quran itu.

Katanya, dalam tempoh setahun setengah di Darul Quran, dia bukan sahaja dapat menghafaz dan menjalani tasmik 30 juzuk al-Quran malah berkat pengajian di situ, dia berjaya mengikuti jejak langkah bapanya menjadi guru mengajar al-Quran.

“Alhamdulillah, saya dapat tauliah mengajar al-Quran dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS),” katanya yang turut dilantik menjadi imam di Surau Ar-Raudhah, Saujana Impian, Kajang.

Tambah Wan Najran, Darul Quran banyak mengajar dirinya menjadi insan yang lebih baik meskipun masih banyak benda perlu diperbetul dalam diri, selain terus istiqamah berkongsi ilmu al-Quran kepada orang ramai.

Sehubungan itu, beliau merasakan satu perkara yang tidak masuk akal apabila ada pihak bersungguh-sungguh mahukan pusat tahfiz di negara ini ditutup, sedangkan institusi tahfiz dilihat mampu melahirkan modal insan hebat dalam bidang agama dan profesional.

“Di sini anak-anak dididik untuk kenali Allah, dekatkan diri dengan al-Quran, lebih berintegriti dan amanah. Jadi saya tidak nampak di mana kelemahan ketara sehingga pusat tahfiz perlu ditutup.” katanya.

Beliau amat berharap agar masyarakat terus menyokong usaha murni pihak yang mengendali dan menguruskan pusat tahfiz di negara ini, biarpun pelbagai tanggapan negatif cuba dilontarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Semangat timba ilmu lebih menebal

BIARPUN 1,001 surat tawaran ke pusat pengajian tinggi diterima, namun dia tekad untuk meneruskan pengajian di Darul Quran dalam kursus persijilan al-Quran.

Sebagai generasi kelima kursus itu yang mendaftar pada 2004, Dr. Hasan Firdaus Mohd. Zaki berkata, beliau langsung tidak membuka surat tawaran yang diterima dan memutuskan untuk berada di Darul Quran sehingga tamat pengajian.

Dia yang kini berkhidmat sebagai pensyarah di Jabatan Mekatronik, Kulliyyah Kejuruteraan UIAM berkata, biarpun menyedari bakal ketinggalan selama setahun setengah berbanding rakan-rakan lain yang menyambung pelajaran di pusat pengajian tinggi dalam dan luar negara, namun itu tidak menjadi masalah besar kepadanya.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Hamidiah, Kajang itu berkata, dia begitu tertarik dengan suasana pembelajaran di Darul Quran dan berasa hatinya sangat tenang mendalami ilmu al-Quran.

Malah tidak keterlaluan katanya, semangat menimba ilmu semakin menebal dalam diri biarpun sebelum ini agak ‘liat’ meneruskan pengajian dalam bidang akademik.

“Besar hikmah saya berada di Darul Quran, saya bukan sahaja saya dapat menghafaz al-Quran sehingga 30 juzuk, malah semangat menimba ilmu mula berkembang,” katanya.

Mengulas lanjut, pemegang ijazah doktor falsafah (PhD) dari University Western Australia (UWA) itu berkata, kelebihan menuntut di Darul Quran digunakan olehnya untuk memberi sumbangan kepada masyarakat Islam di Perth, Australia apabila diberi peluang menjadi imam solat tarawih di UWA.

Katanya, kelebihan sedikit yang dimilikinya itu dikongsi bersama jemaah Islam UWA, sekali gus diharap memberi manfaat kepada komuniti di universiti itu.

Jelas Hasan Firdaus, kredibiliti pelajar Darul Quran sememangnya dipandang tinggi dan diiktiraf masyarakat, bukan sahaja dalam negara tetapi juga di luar negara.