Malah, sekembali ke tanah air, persoalan itu juga banyak diajukan kepada penulis.

Dengan matlamat untuk mengurangkan kesesakan dan meningkatkan keselamatan perjalanan jemaah haji, pembinaan MMMSL dijangka mampu menggantikan penggunaan lebih 53,000 bas di jalan raya sepanjang musim haji di sekitar Arafah, Muzdalifah dan Mina.

Jurutera tren Prasarana, Ahmad Fitry Ramlan berkata, sebaik berakhir operasi tren haji MMMSL, semua tren akan menjalani pemeriksaan membabitkan bahagian bawah kerangka badan, atas dan dalam. Bahagian bawah membabitkan boggie atau ‘tayar’, sistem brek dan sistem cengkaman.

Pemeriksaan juga dilakukan pada bahagian atas membabitkan pantograph iaitu alat penyalur tenaga elektrik ke kereta api, sistem pendingin hawa dan gangway.

Pemeriksaan ketiga membabitkan dalaman seperti peralatan elektrik dan elektronik, pintu, sistem penggera kebakaran, kamera liter tertutup dan kemudahan tempat duduk dan pemegang keselamatan.

“Selepas itu kita akan mulakan penyenggaraan berkala mengikut manual disediakan. Ada yang dua minggu, tiga bulan dan tahunan.

“Apabila dekat musim haji akan ada penyenggaraan pra musim haji seperti menukar minyak kotak gear, penuras sistem pemampatan dan jajaran pantograph.

“Kita juga membuat ujian dinamik sama ada menggerakkan tren ke landasan operasi atau landasan ujian bagi mengesan sebarang kejanggalan kepada sistem dan ditukar jika perlu.

“Proses penggantian perlu dibuat awal kerana ada ketikanya proses mendapatkan alat ganti mengambil masa lama kerana diimport dari luar negara. Kesimpulannya, bagi bahagian kejuruteraan kerja tetap diteruskan,” katanya.