KHAIRUL ANUAR: Sebagaimana dalam penulisan sesebuah buku, tarikh keluarannya (cetakan) amat penting untuk membuktikan keasliannya dan bukan diambil daripada orang lain.

Tarikh Nuzul Quran itu masih dikaji oleh ulama sehingga kini supaya umat Islam bukan hanya kagum tetapi tidak akan jemu-jemu untuk membaca dan mengkajinya (al-Quran).

Bagaimana al-Quran diturunkan?

Terdapat dua pandangan, iaitu ada menyatakannya berlaku dalam dua dan tiga peringkat.

Untuk tiga peringkat - daripada Allah SWT ke Loh Mahfuz, dari Loh Mahfuz ke Baitul Izzah (langit dunia) dan dari Baitul Izzah kepada Rasulullah SAW, manakala dua peringkat pula, dari Loh Mahfuz ke Baitul Izzah, dan dari Baitul Izzah kepada Nabi.

Tetapi penurunan al-Quran kepada Rasulullah SAW berlaku dalam tiga cara iaitu melalui jiwa Baginda, mengajar (bercakap) dengan Nabi SAW dan Jibril a.s. menyerupai manusia, sebagaimana dalam Surah al-Syura: 51 bermaksud,

“Dan tidaklah layak bagi seseorang manusia bahawa Allah berkata-kata dengannya kecuali dengan jalan wahyu (dengan diberi ilham atau mimpi), atau dari sebalik dinding (dengan mendengar suara sahaja), atau dengan mengutuskan utusan (malaikat) lalu utusan itu menyampaikan wahyu kepadanya dengan izin Allah akan apa yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi keadaan-Nya, lagi Maha Bijaksana.”

DIKTIRAF KEASLIANNYA

Adakah cara penurunan itu memberi makna tersendiri?

Al-Quran sebenarnya cukup agung di sisi Allah SWT. Justeru, urutan penurunannya melalui saluran terbaik. Hasilnya, al-Quran diiktiraf keasliannya walaupun sudah berusia lebih 1,400 tahun.

Malaikat terbaik yang diamanahkan membawanya turun adalah Jibril a.s. Samalah dengan bulan yang dipilih-Nya, iaitu Ramadan, iaitu bulan terbaik dalam kalendar Islam.

Ia turun pada malam yang mulia iaitu malam Lailatul Qadar dan penerimanya di dunia adalah nabi dan rasul terbaik, iaitu Rasulullah SAW. Umat manusia yang menerimanya pula diangkat sebagai terbaik iaitu umat Muhammad.

Ini sejajar dengan Surah Ali Imran: 110 bermaksud,

“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)...”

Jadi, peristiwa Nuzul Quran ini bukan sekadar penghias kalendar Islam sahaja?

Kelebihan Ramadan memang banyak dan antaranya, sebagaimana hadis Nabi SAW iaitu:

“Pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup dan syaitan dibelenggu,” - Riwayat al-Nasa’i.

Jika diperhalusi, ia adalah satu dorongan supaya kita banyakkan amalan ibadat wajib dan sunat sepanjang bulan mulia ini. Kita biasanya tidak berkira untuk bersolat, bertadarus, sedekah, zakat dan sebagainya kerana sedar tentang ganjarannya.

Cuma, sikap itu tidak berterusan hingga hujung Ramadan dan kealpaan tersebut berterusan selepas Ramadan. Ekoran itu, timbul nasihat ulama iaitu jadilah kamu hamba Allah SWT dan bukannya hamba Ramadan.

Kenapa ia berlaku?

Kealpaan kita kepada rutin hidup sepanjang Ramadan menyebabkan nafsu kembali berkuasa, sedangkan sebelum itu, ia mudah dikekang atau alami penyusutan. Kita juga kena ingat nafsu cukup rapat dengan syaitan dan iblis.

Ini jelas dalam surah Asy-Shams ayat 9 hingga 10 bermaksud:

“Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan). Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).”

Bolehlah dikatakan Nuzul Quran sebagai peringatan cabaran selepas Ramadan?

Saya setuju kerana selain mencari malam Lailatul Qadar, ia juga sebagai ingatan agar rutin hidup sepanjang Ramadan berterusan sehingga akhir hayat.

Ramai ulama tersohor menyatakan, Ramadan sebenarnya bulan bagi mendidik jiwa untuk berdepan cabaran dan kegetiran bulan-bulan seterusnya. Rutin baik sepanjang Ramadan sepatutnya dijadikan panduan untuk terus mengekang nafsu daripada terus berkuasa.

Selari dengan fitrah manusia

WALAUPUN terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan ulama tentang tarikh penurunan al-Quran tetapi wujud kesepakatan bahawa ia turun kepada Nabi SAW secara beransur-ansur iaitu selama 13 tahun di Mekah dan bakinya, di Madinah.

“Manfaat di sebalik penurunan al-Quran secara beransur-ansur itu lagi penting untuk diketahui kerana jika ada tarikh tepat pada peristiwa itu, maka kita beribadat pada tarikh tersebut sahaja,” kata Datuk Dr. Zahazan Mohamed.

Lulusan doktor falsafah bidang tafsir dari Universiti Malaya (UM) itu berkata demikian ketika ditemui pejabatnya di Sungai Buloh, Selangor, baru-baru ini.

Zahazan berkata, kaedah penurunan itu menunjukkan keistimewaan al-Quran dalam mengubah gaya hidup jahiliah kepada kehidupan yang diredai Allah.

Ini kerana, tambah beliau, penurunan itu dilakukan berdasarkan persoalan dan keadaan masyarakat yang wujud sama ada di Mekah mahu pun di Madinah.

“Penurunan al-Quran sedemikian adalah menepati fitrah manusia yang boleh berubah tetapi ia perlu dilakukan secara beransur-ansur dan bukannya sekali gus.

“Seperti pengharaman arak yang ambil masa beberapa kali sebelum diharamkan sepenuhnya. Kalau turun dan terus haramkan, sudah pasti ia sukar kerana orang Arab ketika itu begitu rapat dengan minuman tersebut,” katanya.

BUKAN SEKADAR AYAT PERTAMA

Surah al-Alaq bukan sekadar surah pertama diturunkan kepada Nabi SAW atau menceritakan tentang situasi yang dialami Baginda ketika menerima ayat itu di Gua Hira.

Signifikan penurunan surah itu sebagai usaha Allah SWT untuk menamatkan zaman kegelapan syirik manusia yang dikatakan berlaku lebih kurang 600 tahun.

Ini kerana, jarak rasul terakhir sebelum Nabi SAW adalah Nabi Isa a.s. lebih kurang 600 tahun. Jadi, selama itu manusia tiada Rasul untuk membimbing mereka.

“Pemilihan Ramadan yang begitu dimuliakan oleh Allah SWT itu sudah cukup membuktikan hanya dengan ilmu pengetahuan sahaja boleh membawa manusia keluar daripada kegelapan syirik itu.

“Kalau kita baca tafsir ayat 1 hingga 5 surah itu bukan hanya kena baca al-Quran tetapi juga teroka dan mendalami ilmu-ilmu lain,” kata Zahazan.

Beliau menambah, penekanan tersebut sejajar dengan kekuatan ilmu yang bukan hanya menjadi asas kepada pembinaan tamadun, tetapi apa yang lebih penting adalah mendekatkan diri kepada Allah SWT.

“Ini kerana, pada hujung ayat pertama itu mengingatkan kita tentang kedudukan manusia selaku hamba-Nya walaupun mempunyai ilmu yang banyak,” katanya.