Jasa dan bakti beliau dalam usaha dakwah turut disanjung tinggi apabila beliau telah mengislamkan hampir 5,000 mualaf sejak 1997.

Beliau ditemui setelah menerima anugerah tersebut anjuran Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan kerjasama Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa (IPSI) bertempat di Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Bukit Mertajam, Pulau Pinang, baru-baru ini.

“Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT kerana dipilih untuk menerima anugerah ini dan ribuan terima kasih kepada pihak penganjur serta IPSI yang memberikan pengiktirafan,” katanya.

Penyampaian sijil pengiktirafan, trofi dan wang tunai disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Rashid Hasnon dan Exco Agama Pulau Pinang, Datuk Abdul Malik Abul Kassim.

Amran Anbarasu bertekad dengan anugerah yang diraihnya itu dapat menggiatkan usaha dakwah dan memantapkan keimanan serta ketakwaan, sekali gus melahirkan lebih ramai pendakwah dalam kalangan saudara baharu.

Beliau yang lebih mesra dipanggil Ustaz Amran berkhidmat di Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan sejak 21 tahun lalu bagi menyampaikan dakwah dan pelajaran agama Islam khususnya kepada saudara baharu.

Beliau turut menjadi tempat rujukan utama bagi mualaf yang memerlukan bantuan, kaunseling, kebajikan, informasi, perkahwinan, rumah tangga dan pendidikan.

MENDAPAT HIDAYAH

Pergaulan dengan keluarga Melayu membuatkan Amran Anbarasu tertarik dengan agama Islam, sekali gus menarik minatnya untuk memeluk agama Islam pada usia 13 tahun.

“Setelah selesai tingkatan lima, saya diajak oleh rakan untuk mendalami ilmu agama di Pondok Dusun Pelaga, Pujud, Pattani, Thailand selama tiga tahun dan meneruskan pengajian di Pondok Pasir Tumbuh, Kelantan selama empat tahun,” ujarnya.

“Alhamdulillah bahagianya saya apabila disunting oleh Perkim untuk bertugas sebagai Penolong Pegawai Dakwah setelah menjadi peserta terbaik ketika mengikuti ‘Kursus Intensif Peningkatan Islam Perkim pada 1995,” tambahnya yang nama asalnya ialah Anbarasu Ramoo.

Jelas beliau: “Keperluan utama saudara baharu ialah ilmu kerana melaluinya mereka mudah memahami peranan sebagai seorang hamba Allah SWT dan sesama insan lain.

“Mungkin ramai tersilap mendapat maklumat mengenai agama Islam sehingga tidak lagi menjalin hubungan rapat dengan keluarga setelah memeluk Islam, sedangkan Islam tidak menyuruh hubungan kekeluargaan diputuskan walaupun berlainan agama.”

Amran Anbarasu yang berasal dari Kulim, Kedah berkata, sokongan dan penerimaan masyarakat sekeliling tanpa prejudis terhadap mualaf penting untuk memberi keyakinan kepada mereka.

“Ikutilah cara Rasulullah SAW yang amat berhikmah dalam menyampaikan dakwah dan menjadi contoh peribadi terbaik. Baginda berdakwah dengan perbuatan, bukan sekadar lisan dan cara terbaik untuk mengajak orang kepada Islam ialah dengan menunjukkan akhlak Islamiah,” katanya yang juga Pengerusi Biro Dakwah Perkim Bahagian Wilayah Persekutuan.

Amran Anbarasu adalah penyelaras kepada beberapa program bagi melatih dan memperkasa mualaf antaranya Kelas Pengajian Harian Perkim sejak 1997 hingga 2015, Program Ijtimak Saudara Muslim Peringkat Zon, Program Syura Pendakwah Saudara Muslim Cina dan India serta Program Usrah Ziarah Dakwah Saudara Muslim di setiap negeri.

Beliau turut berbangga kerana pernah mengislamkan dua saudara baharu yang menjadi tokoh Maal Hijrah iaitu Adam Corrie Lee Abdullah, penerima Tokoh Maal Hijrah 1439H Saudara Kita peringkat Negeri Selangor dan Firdaus Wong Wai Hung penerima Tokoh Pendakwah Maal Hijrah 1439H peringkat Pulau Pinang.

Selain itu, Amran juga terlibat dalam menyampaikan kuliah dalam majlis ilmu sebagai penceramah, ahli panel, pemudah cara dan hos anjuran agensi kerajaan mahupun swasta termasuk masjid serta surau.

Selain menjadi penerima Anugerah Khas Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan 2014, Amran masih menyandang jawatan Pengerusi Pertubuhan Mualaf Malaysia, Ahli Lembaga Yayasan Mualaf Malaysia, Penolong Setiausaha Agung Malaysian Indian Reverted Association (MIRA) dan Setiausaha Koperasi Permodalan Mualaf Malaysia.