Persoalan ini bukan dituju kepada sesiapa, tetapi dilemparkan kepada penulis sendiri. Bukan satu juzuk, satu surah sederhana panjang, kadangkala mengambil masa hampir seminggu untuk dihabiskan. Namun, berpeluang bertemu dan berbual bersama seorang penerima Anugerah Kecemerlangan Hafazan al-Quran, Darul Quran (DQ), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Kuala Kubu Bharu, Selangor, ibarat satu kejutan baharu.

Bukan sahaja perlu menghabiskan bacaan al-Quran, malah pelajar perlu memperdengar ayat tanpa melihat al-Quran bermula huruf pertama sehingga akhir sebanyak 30 juzuk dalam masa 22 jam. Itulah ujian baharu yang diperkenal DQ kepada pelajar Persijilan Tahfiz al-Quran.

Seorang penerima, Siti Ameerah Fauzi, 19, berkata, baki masa yang ada hanya digunakan untuk berehat, makan, mandi dan tunaikan keperluan asas.

Beliau yang juga seorang daripada empat penerima anugerah itu berkata, selebihnya pelajar perlu memperdengar (tasmik) bacaan al-Quran kepada penilai bermula dari Surah al-Fatihah sehingga an-Nas dalam tempoh ditetapkan.

“Alhamdulillah, berkat usaha dan doa ibu bapa serta bimbingan guru, saya berjaya menerima anugerah ini.

“Saya sendiri tidak sangka dan meletakkan apa-apa harapan tetapi sekadar sasaran peribadi untuk menyempurnakan ujian sebaik mungkin.

“Namun, proses ini bukan mudah. Saya selesai menghafaz 30 juzuk al-Quran dalam tempoh 14 bulan berakhir Februari lalu. Selepas tempoh itu, saya perlu memperdengar bacaan al-Quran selama 22 jam ini sebanyak dua kali,” katanya ketika ditemui Mega Mimbar selepas menerima anugerah tersebut pada Majlis Istiadat Konvokesyen DQ Jakim ke-27, baru-baru ini.

Seramai 732 graduan dari lapan program pengajian ditawarkan oleh DQ menyempurnakan konvokesyen pada majlis tersebut.

Majlis itu adalah istiadat pertama bagi Persijilan Tahfiz al-Quran Jakim-Kolej Universiti Perubatan Cyberjaya (CUCMS) dan Program Sijil Asas Tahfiz Kategori Luar Negara (Vietnam).

Sejak ditubuhkan pada 1966 sehingga 2017, DQ melahirkan seramai 6,472 lulusan hufaz melalui Program Diploma Tahfiz al-Quran dan al-Qiraat DQ, Jakim; Pensijilan Tahfiz al-Quran DQ, Jakim-UIAM; dan Pensijilan Tahfiz al-Quran DQ, Jakim-Uniten.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan graduan pada tahun ini seramai 7,134 dengan penambahan Program Pensijilan Tahfiz al-Quran. Jakim-CUCMS.

Istiadat itu disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusuf. Yang turut hadir Ketua Pengarah Jakim merangkap Pengerusi Lembaga DQ, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim serta Pengarah DQ, Dr. Nordin Ahmad.

Siti Ameerah, anak pertama daripada lima adik beradik dari Kota Bharu, Kelantan itu berkata, tiada apa-apa rahsia, tetapi memerlukan sedikit pengorbanan untuk menghafaz al-Quran.

“Apa sahaja yang kita lakukan perlu istiqamah, begitu juga dengan menghafal al-Quran. Kita perlu berterusan mengulang baca al-Quran setiap masa dan paling penting kurangkan masa bersama telefon bimbit.

PERLU BIJAK 
BAHAGI MASA

“Begitu juga perlu menjaga adab bersama ibu bapa dan guru sebaik mungkin kerana punca keberkatan adalah daripada mereka.

“Bagaimanapun, saya akui yang lebih sukar adalah untuk mengekalkan hafazan selepas keluar dari sini. Apatah lagi saya akan menyambung pelajaran dalam bidang perubatan di UIAM pada peringkat asasi,” katanya.

Sementara itu, penerima Anugerah Perdana Menteri, Aimi Mohd. Ashari, 21, berkata, seorang huffaz perlu bijak membahagikan masa dalam kurikulum dan kokurikulum bagi menjadi pelajar serba boleh.

“Anugerah ini menilai pencapaian pelajar dalam aspek akademik dan kegiatan berpersatuan. Ketika dalam kelas, saya akan menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajaran, manakala selepas itu saya perlu menjalankan tanggungjawab sebagai Pengerusi Kelab Maahad Tahfiz.

“Tidak dinafikan agak sukar, tetapi kita perlu menyesuaikan diri dan belajar membahagikan masa sebaiknya agar tidak ketinggalan dalam kedua-dua bidang. Ini penting sebagai nilai tambah kepada seseorang pelajar untuk mengasah kemahiran yang ada,” katanya yang bersekolah di Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah, Kelantan.

Perkasa tahfiz, tambah baik dasar

KERAJAAN bakal memperkenal dasar baharu di samping menambah baik dasar sedia ada dalam memantapkan institusi tahfiz negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr. Mujahid Yusuf berkata, skim pendidikan tahfiz sedia ada seperti Skim Pembiayaan Hafiz (SPH) dan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) akan diteruskan dengan penambahbaikkan dari semasa ke semasa.

“Suara yang mendakwa kita akan menutup institusi tahfiz adalah tidak menepati aspirasi kerajaan baharu. Kita akan terus memperkasa institusi tahfiz dalam negara dengan menggalakkan kajian berkenaan pendidikan tahfiz sehingga berjaya memperkenal Kaedah Hafazan Manhaj Malizie.

“Di samping itu, kita akan bekerjasama dengan Menteri Pendidikan supaya DQ dapat menjalankan program ijazah sendiri biarpun masih dikawal selia oleh Jakim.

“Ini berdasarkan peranan DQ sebagai Ketua Teras Pengiktirafan dan Persijilan Khusus dalam bidang tahfiz sebagaimana dipertanggungjawab melalui DPTN,” katanya.

Tambah Mujahid, pelajar tahfiz juga memainkan peranan penting dan mempunyai tanggungjawab besar dalam pembangunan negara agar maju dan mendapat keampunan Tuhan.

“Ini sebagaimana ditunjukkan oleh Khulafa al-Rasyidin iaitu Abu Bakar al-Siddiq, Umar al-Khattab, Uthman al-Affan dan Sayidina Ali k.w., walaupun mereka seorang huffaz, namun mampu mentadbir negara serta menjadi khalifah bagi umat Islam ketika itu.

“Generasi al-Quran yang unik seperti inilah yang sepatutnya dicontohi. Generasi yang bukan semata-mata mendampingi al-Quran tetapi mempunyai pakej intelek tinggi, berdaya saing dan berakhlak mulia.

“Natijahnya, dengan lahirnya lebih ramai generasi ini, akan mewujudkan kembali wajah kedamaian serta keindahan Islam yang sering kali dipandang negatif oleh masyarakat pelbagai kaum dan agama,” katanya.