Sejarah revolusi industri abad ke-17, 18 dan 19 mengambil lebih 100 tahun. Teknologi transistor mengambil puluhan tahun, namun Internet telah mengubah pelbagai aspek kehidupan dalam masa kurang 10 tahun!. Revolusi industri keempat bakal menggandingkan lebih banyak teknologi dan pastinya akan mengubah pelbagai status quo dalam jangka masa lebih pendek, dianggarkan kurang daripada lima tahun.

Teknologi, khususnya komunikasi dan maklumat (ICT), secara dasarnya adalah bebas nilai (value-free). Internet boleh digunakan untuk menyebarkan dakwah, tetapi pada masa sama ia juga digunakan untuk memfitnah dan mengadu-domba. Semuanya bergantung kepada niat dan tujuan masing-masing.

HADAPI, BUKAN ELAK TEKNOLOGI

Sambutan dan tindak balas masyarakat kepada teknologi baharu juga berbeza-beza. Selagi ia belum difahami, respon awalnya ialah kebimbangan (anxiety) dan berhati-hati. Setelah teknologi mampu dikuasai, ia boleh dimanfaatkan sebaik mungkin oleh masyarakat. Bagaimanapun sering juga berlaku segelintir ahli masyarakat yang melarikan diri daripada serangan teknologi baharu. Ternyata ia bukanlah satu langkah yang cerdik. Apa yang lebih bijaksana ialah berani berhadapan dengan cabaran teknologi baharu itu, sekali gus berusaha menguasainya untuk dimanfaatkan.

Lihat sahaja teknologi digunakan Uber dan Grab terhadap pengangkutan awam. Untuk beberapa ketika masyarakat termasuk pihak berkuasa bimbang dan tidak pasti bagaimana untuk bertindak. Akhirnya, semakin jelas serangan teknologi tidak dapat dibendung lagi. Pada hari ini, tentunya ramai pemandu teksi bertukar menjadi pemandu Uber atau Grab, di samping kepuasan pelanggan hasil daripada peraturan dan kawal selia yang semakin matang terhadap industri tersebut.

Hari ini, kita tidak dapat mengelak daripada mendengar dan menyaksikan bagaimana serangan teknologi ke atas industri kewangan yang menjadi semakin rancak. Fenomena ‘fin-tech’ atau ‘financial-technology’ (teknologi kewangan) adalah amat menarik di samping terdapat juga kebimbangan. Produk dan perkhidmatan baharu seperti pinjaman secara p2p (peers-to-peers atau rakan sebaya), crowdsourcing (pencarian sumber kelompok), tawaran duit syiling awal (initial coin offering) adalah sebahagian daripada gejala fenomena fin-tech ini.

Lazimnya, produk dan perkhidmatan kewangan baharu ini disediakan oleh syarikat-syarikat kecil, ini kerana saiz dan ketangkasannya lebih cepat menguasai penggunaan teknologi itu. Untuk mengeruhkan keadaan, digemburkan bahawa bakal wujud pertembungan antara syarikat-syarikat berkenaan dengan gergasi kewangan seperti bank dan syarikat insurans. Sudah tentu keluh kesah itu tidak benar kerana syarikat gergasi kewangan sentiasa mencari-cari dan melabur dalam syarikat-syarikat kecil baharu. Pertembungan tidak seharusnya berlaku, sebaliknya sinergi yang dihasilkan.

FENOMENA MATA WANG KRIPTO

Di tengah-tengah kerancakan fenomena fin-tech, timbul pula satu produk yang lebih menggemparkan industri kewangan iaitu apa yang dipanggil ‘mata wang digital’. Ia juga dikenali sebagai ‘mata wang kripto’ kerana teknologi utama yang digunakan di sebalik mata wang ini berlandaskan kepada bidang ilmu yang dipanggil kriptografi.

Gandingan bidang kriptografi, pangkalan data dan Internet menghasilkan satu teknologi baharu yang dipanggil ‘blockchain’ (rantaian blok). Seperti mana masyarakat mendapat manfaat dalam transformasi industri pengangkutan awam, masyarakat juga boleh menikmati manfaat daripada teknologi blockchain dan mata wang digital apabila penggunaan teknologi ini mampu diurus serta dikawal selia dengan baik oleh pihak berkuasa.

Hari ini sudah terdapat lebih 1,200 mata wang digital di seluruh dunia dengan nilai pasaran melebihi AS$200 bilion (RM820 bilion). Jumlah perniagaan hariannya pula melebihi AS$5 bilion (RM20.5 bilion). Jumlah ini tentunya bukan remeh walaupun pihak berkuasa kewangan di seluruh dunia masih belum pasti bagaimana untuk menangani dan mengawal selia penggunaan mata wang ini.

Antara mata wang digital itu, Bitcoin adalah yang paling popular dengan penguasaan pasaran sebanyak 60 peratus daripada nilai keseluruhan. Ia diikuti oleh berpuluh mata wang digital yang lain. Dalam masa yang amat pantas nilai 1 Bitcoin telah meningkat hari ini menjadi lebih AS$8,000 (RM32,800).

Penggunaan mata wang digital semakin meluas termasuk di negara-negara majoriti umat Islam seperti di Timur Tengah khususnya Emiriah Arab Bersatu dan di Asia, khususnya Malaysia dan Indonesia. Baru-baru ini Bank Pembangunan Islam (IDB) Jeddah mengumumkan rancangannya untuk menggunakan mata wang digital termasuk di negara-negara Islam di mana IDB beroperasi. Di Malaysia memang terdapat pelbagai tempat yang bersedia menerima penggunaan mata wang digital, khususnya Bitcoin.

ADAKAH PATUH SYARIAH?

Jawapan bagi persoalan ini ialah, masih belum ada kata putus!. Organisasi penyelidikan khususnya yang berlandaskan Islam di seluruh dunia masih di peringkat meneliti pelbagai aspek berkaitan mata wang digital termasuk teknologi yang digunakan dan segala aspek berkaitan dengan pematuhan syarat-syarat untuk diterima sebagai patuh syariah.

Belum ada negara, apatah lagi negara Islam yang memperakukan penggunaan mata wang digital sepertimana lakunya mata wang sedia ada.

Di pusat pengajian tinggi, usaha juga telah dimulakan untuk menambah baik kurikulum kursus berkaitan perbankan dan kewangan, termasuk perbankan serta kewangan Islam.

Akibat daripada fenomena fin-tech, produk, perkhidmatan perbankan dan kewangan masa depan akan berbeza dengan produk serta perkhidmatan masa kini. Oleh itu profil dan ketrampilan graduan masa depan harus dicanai daripada sekarang. Pelbagai aktiviti persidangan, seminar dan woksyop diadakan ke arah menjawab persoalan di atas.

Sebagai satu daripada rantaian usaha ini, Kulliyah ICT di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bersama-sama dengan beberapa badan penyelidikan Islam dan badan bukan kerajaan bakal menganjurkan seminar bertajuk ‘Cryptocurrency, Blockchain & Distributed Ledger Technology – Synergizing Technology & Shariah’ pada 29 November ini di Kampus Gombak UIAM.

Seminar ini bertujuan menjelaskan teknologi yang digunakan, risiko dan kesannya. Turut akan dibincangkan ialah isu-isu terbaru akibat fenomena fin-tech dan mata wang digital serta pandangan pakar-pakar terhadap isu-isu tersebut.