Bukan tidak rindukan kampung halaman tapi setiap kali balik, pasti ada sahaja kata-kata sindiran yang diterima.

Macam-macam tuduhan dan cemuhan dilemparkan. Bersubahat dengan ‘pendajal-pendajal’ yang dilaknat, makan duit haram, makan rasuah dan banyak lagi sudah menjadi bahan ejekan untuk dirinya.

Bidin tak tahu apa salahnya. Hanya kerana menyatakan sokongan kepada satu parti, dia dihina sedemikian rupa. Bagi Bidin, tidak salah mempunyai persepsi berbeza kerana dia juga punya hak untuk menilai parti mana yang sehaluan dengan prinsipnya.

Bidin makin keliru. Kenapa sering dipersalah walhal yang buat kerja-kerja tidak senonoh dalam parti bukan dirinya. Baginya, mana-mana parti politik sama sahaja. Kalau parti A terima rasuah, apa kurangnya parti B dan C?

Itu semua bagi Bidin adalah kesilapan individu, tiada kaitan dengan parti. Kalau buruk tingkah laku individu yang mewakili parti-parti tertentu, maka buruklah individu itu. Kepimpinan parti sewajarnya mengambil tindakan ke atas individu terlibat.

Jadi kenapa dirinya dipersalah? Salahkah menjadi penyokong parti-parti tertentu? Jijik sangatkah dirinya kalau tidak sehaluan dengan parti yang disokong oleh kakaknya?

Paling menyakitkan apabila status Islamnya sering dipertikai. Ideologi apa yang sedang merosakkan masyarakat hari ini? Kenapa perlu dipalitkan dengan akidah seseorang? Bukan manusia yang menilai beriman atau tidaknya seseorang itu kepada Allah SWT. Sebaliknya, setiap orang itu dinilai Allah dari segi amal dan ketakwaan.

Apakah adil apabila orang yang kuat beramal, menjaga ibadahnya, banyak bersedekah, sentiasa menjaga pergaulannya dan menjaga sahsiah dirinya, tapi hanya kerana menyokong sesuatu parti, maka terlondeh semua amalannya pada mata Allah?

Kenapa susah sangat nak faham bahawa yang buat jahat itu individu. Maka hukumlah individu itu dan janganlah dipukul rata.

 

TIP KAUNSELOR

* PERBEZAAN pandangan bukan perkara baharu dalam masyarakat. Bahkan pada zaman Rasulullah SAW, sahabat hatta imam empat yang tersohor juga berbeza pandangan dalam beberapa perkara. Namun ia diraikan tanpa menempelak pihak tidak sependapat. Justeru, berlapang dada adalah sebaik-baik tindakan.

* Jangan sesekali memaksa orang lain menerima pandangan kita. Sebaliknya, saling bertolak-ansur saat berhadapan dengan perbezaan pandangan.

* Keikhlasan dalam memberikan pandangan mampu mengelak berlakunya perbalahan.

* Orang yang ikhlas akan sentiasa mendahului kepentingan syariat Islam berbanding kepentingan diri. Bahkan akan sentiasa mementingkan kebenaran, sekalipun ia datang daripada pihak musuhnya.

* Sabda Rasulullah SAW: “Dan jadilah hamba-hamba Allah yang bersaudara. Orang Muslim ialah saudara bagi orang Muslim lain. Dia tidak boleh menzaliminya, membelakanginya dan menghinanya. Ketakwaan terletak di sini (lalu Baginda menunjukkan kepada hatinya, sebanyak tiga kali). Sudah memadai keburukan pada seseorang lelaki apabila dia menghina saudara Muslimnya. Setiap Muslim adalah haram ke atas Muslim yang lain dari sudut darah, harta dan maruah,” - Riwayat Muslim.

 

PANDANGAN KAUNSELOR

Rumit! Dari dulu hingga kini, kes perbezaan ideologi politik tidak pernah berubah. Masing-masing ada sahaja provokasi yang dibuat. Lebih malang apabila ia melibatkan perpecahan dalam ahli keluarga sendiri. Semuanya tidak bertegur sapa hanya kerana perbezaan pegangan parti politik.

Sewajarnya, biarlah pegangan politik individu tidak menjadi titik noktah dalam perhubungan. Harus menghormati antara satu sama lain kerana masing-masing punya prinsip dan pegangan berbeza. Benar, air dicincang tak akan putus, namun pernahkah kita memikirkan, bagaimana dengan perasaan pihak yang pernah kita lukakan dek kerana lidah tak bertulang?

Adakala kita sukar mengawal emosi apabila berbicara. Demi menegakkan pandangan dan prinsip, kita terlepas pandang tentang perasaan seseorang.

Janganlah hanya kerana mahukan kepuasan diri, maka ada hati-hati terluka yang kita abaikan. Hal-hal seumpama ini bukan mengeratkan silaturahim bahkan akan lebih menjarakkan perhubungan antara satu sama lain.

Cubalah bersikap rasional saat berbeza pendapat. A, mungkin ada alasan kenapa dia memilih sesuatu parti politik. Begitu juga bagi B, C, D, E, F dan seterusnya.

Hakikat yang perlu difahami, apa sahaja parti politik yang dipilih, ia menjadi hak individu. Janganlah kerana perbezaan yang wujud ini, mencetuskan permusuhan dan perselisihan yang berpanjangan.

Ambil pendekatan Sayidina Umar Abdul Aziz apabila mengatakan: “Tidak aku sukai jika para sahabat tidak berbeza pendapat kerana jika mereka semuanya mempunyai pandangan yang sama maka manusia akan berada dalam kesempitan.”

Dan ingatlah, Imam Shafie pernah berkata: “Pendapat kita betul, ada kemungkinan ia salah dan pendapat orang lain salah, ada kemungkinan betul.”

Justeru berhati-hatilah saat berbicara sebagaimana yang diingatkan oleh Rasulullah SAW kepada seorang sahabat yang bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah itu ghibah? Lalu jawab Baginda, Menyebut sesuatu yang tidak disukai saudaramu di belakangnya!. Kemudian Baginda ditanya lagi, Bagaimana jika apa yang disebutkan itu benar? Jawab Baginda, Kalau sekiranya apa yang disebutkan itu benar, maka itulah ghibah, tetapi jika hal itu tidak benar, maka engkau telah melakukan buhtan (kebohongan besar).” - Riwayat Muslim, Abu Daud dan Tirmizi.