Kisahnya, baru-baru ini pesawat yang saya naiki ketika dalam perjalanan ke Kota Bharu, Kelantan disapa mesra tentera Allah yang berkuasa di udara. Pesawat kami bergegar kuat seperti sebuah kenderaan jatuh ke dalam lubang besar berkali-kali. Sapaan sang angin ini dipanggil ‘air pocket.’

Pada waktu itu, ingatan saya terus kembali kepada Allah yang menjadi Tuhan manusia dan angin. Segera berdoa agar sentiasa dijaga Allah di bumi atau di langit. Sabda Rasulullah SAW:

“Seorang hamba yang membaca doa ini sebanyak tiga kali pada waktu pagi dan petang tidak akan ditimpa apa-apa mudarat: “Dengan nama Allah yang tidak akan memberi mudarat (bahaya dan kesusahan) bersama nama-Nya sesuatu apa pun baik di bumi atau di langit, dan Dialah (Allah) Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui,” - Sunan Tirmizi dan Sunan Abu Dawud.

Ketika menghuraikan makna “mudarat yang wujud di langit,” para ulama hadis memaksudkannya - Allah mampu lindungi kita daripada bencana yang mungkin turun dari langit (‘Awn al-Ma’bud Syarh Sunan Abu Dawud).

MUKJIZAT NABI DAHULUI TEKNOLOGI

Saya pula berpandangan, Nabi SAW seolah-olah tahu (melalui saluran mukjizat Allah kepada Baginda) bahawa suatu hari nanti manusia mungkin akan terbang di langit atau di udara dan boleh terdedah dengan berbagai bahaya udara seperti sapaan keras sang angin.

Oleh itu, baginda mahu kita sentiasa bergantung pada Allah tanpa mengira masa dan lokasi.

Siapa tahu, suatu hati nanti manusia mungkin mendiami langit atau angkasa lepas selain bumi, maka doa ini tetap relevan untuk kita. Perhatikan ayat ini yang menyebut kemungkinan ada makhluk melata di langit:

“Dan antara tanda kekuasaan-Nya ialah kejadian langit dan bumi serta segala yang Dia biakkan pada kedua-duanya daripada makhluk yang melata; dan Dia Maha Kuasa menghimpunkan mereka semuanya apabila Dia kehendaki (melakukannya),” (al-Syura 42:29).


PATUH PERINTAH MAJIKAN!

Berbalik kepada isu angin. Ketika ia bertiup sama ada kencang atau halus mulus, jangan ingat ia sekadar hembusan biasa sebaliknya ia adalah tentera Allah yang setia patuh pada sebarang arahan Allah. Jika Allah arah musnah, maka angin akan menajamkan tiupannya dan menggandakan kelajuannya. Jika Allah arah bantu, maka pacuannya kenal mana musuh Allah dan mana kekasih Allah.

Sebenarnya, bukan hanya angin, tentera Allah sangat banyak dan ramai sehingga tidak terjangkau pemikiran manusia:

“Dan tiada yang mengetahui (siapa dan berapa jumlah) tentera Tuhanmu melainkan Dialah sahaja. Dan (ingatlah, segala yang diterangkan berkenaan dengan) neraka itu tidak lain hanyalah menjadi peringatan bagi manusia,” (al-Muddaththir 74:31).

Dalam bicara lain Allah SWT menegaskan bahawa tentera-Nya meliputi langit dan bumi:

“Dan Allah menguasai tentera langit dan bumi (untuk menyeksa orang yang derhaka); dan Allah adalah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana,” (al-Fath 48:7).

Bukti angin pernah bertugas sebagai komando utusan Allah adalah kisah kemusnahan kaum ‘Ad. Mereka sangat bangga dengan kekuatan fizikal yang dimiliki, lantas Allah hancurkan kesombongan mereka dengan tiupan tentera-Nya selama hampir seminggu. Maka habislah riwayat bangsa sombong yang pernah menguasai dunia:

“Adapun ‘Ad (kaum Nabi Hud a.s.), maka mereka telah dibinasakan dengan angin ribut yang kencang, yang melampau kencangnya, - Yang diarahkan menyerang mereka tujuh malam lapan hari terus-menerus; (kalaulah engkau menyaksikannya) maka engkau akan melihat kaum itu bergelimpangan mati, seolah-olah mereka: batang pohon kurma yang (tumbang dan) lompang,” (al-Haqah 69:6-7).


KENAL LAWAN, KAWAN

Ternyata tentera Allah ini kenal ‘akidah anutan’ manusia. Ia pernah membantu umat Islam yang pasrah dikepung musuh pada tahun kelima Hijrah di Madinah. Serangan angin langsung melumpuhkan dan menewaskan tentera bersekutu dalam perang Ahzab:

“Wahai orang yang beriman, ingatlah nikmat Allah kepada kamu. Semasa kamu didatangi tentera (bersekutu dalam perang Al-Ahzab), lalu Kami hantarkan kepada mereka angin ribut (yang kencang) dan angkatan tentera (daripada malaikat) yang kamu tidak dapat melihatnya. Dan (ingatlah) Allah sentiasa melihat apa yang kamu lakukan,” (al-Ahzab 33:9).

Jauh sebelum manusia menemui ‘hukum Bernoulli’ yang mengatakan objek berat boleh terapung di udara dengan manipulasi kuasa enjin dan angin, Allah pernah menundukkan angin kepada Nabi Sulaiman a.s. Dengan bantuan angin, Baginda sudah menerokai teknologi penerbangan ribuan tahun dahulu:

“Dan Kami kurniakan kepada Nabi Sulaiman kuasa menggunakan angin untuk perjalanannya: sepagi perjalanannya menyamai perjalanan biasa sebulan, dan sepetang perjalanannya menyamai perjalanan biasa sebulan....” (Saba’ 34:12).

Bukan setakat itu, Allah juga tegaskan kepada manusia yang kufur betapa Dia boleh renggut nyawa mereka dengan cengkaman dan serbuan sang angin:

“(Amalkanlah segala ibadat itu) dengan tulus ikhlas kepada Allah, dan tidak mempersekutu sesuatu pun dengan-Nya; dan sesiapa yang mempersekutu sesuatu yang lain dengan Allah, maka seolah-olah dia jatuh dari langit lalu disambar oleh burung, atau dihumbankan oleh angin ke tempat yang jauh (yang membinasakan),” (al-Hajj 22:31).

Angin adalah tentera Allah yang unik dan hebat. Ia boleh jadi mesra sebagai agen pendebungaan, pembawa hujan dan penggerak kapal di lautan (al-Hijr 15:22 dan al-Syura 42:32-33), dan ia juga mampu bertukar rupa menjadi pemusnah yang dahsyat. Perhatikan tentera Allah ini, mudah-mudahan iman kita kepada Allah sebagai Tuhan kita semua dan Tuhan sang angin akan bertambah teguh, Insya-Allah.