Bagi mereka yang belum terpilih, insya-Allah mereka akan dijemput sebagai dhuyufurrahman (tetamu Allah) pada tahun-tahun mendatang. Hikmah tersirat di sebalik ‘pemilihan’ ini hanyalah Allah yang mengetahuinya dan marilah kita sama-sama mengambil kebaikan daripadanya.

Sebelum berangkat, jemaah haji seharusnya telah mempelajari ilmu-ilmu ibadah haji semasa menghadiri kursus-kursus haji yang dianjurkan oleh Tabung Haji. Kursus-kursus yang diadakan bertujuan untuk memberi suatu gambaran jelas tentang bagaimana cara untuk melakukan ibadat haji sebagaimana diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada kita untuk diamalkan.

Fahamilah hukum-hakam dengan betul dengan merujuk kepada Pengkursus Ibadat Haji Tanah Air yang bertauliah semasa di Tanah Air dan Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci pula semasa di Tanah Suci.

Kefahaman ibadat haji adalah sangat penting kerana ia akan membawa ke arah haji yang mabrur. Penghayatan falsafah haji akan memberi impak kepada pelaksanaan ibadat haji yang betul dan sempurna sebagaimana maksud hadis Rasulullah SAW bermaksud:

“Ambillah amalan haji kamu seperti apa yang saya lakukan”.

Semasa di Tanah Suci, jemaah haji perlulah memberi kerjasama kepada Tabung Haji terutama semasa pergerakan ke Arafah, Muzdalifah dan Mina supaya mengikut jadual ditetapkan serta mendengar dengan jelas penerangan serta panduan petugas Tabung Haji.

Di samping itu, jemaah haji dilarang merokok di kawasan Masjidilharam kerana ia telah diwartakan sebagai zon larangan merokok. Di sini juga saya menasihatkan supaya jemaah haji berhemah dalam perbelanjaan seharian.

Jemaah haji seharusnya memiliki kemahiran kendiri yang mantap dan jangan mudah terpengaruh dengan pegangan selain aliran Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Juga perlulah mengamalkan adab-adab sebagai tetamu Allah SWT.

Dengan subsidi haji tinggi diberikan oleh TH, diharapkan jemaah haji dapat memanfaatkan peluang yang bukan mudah untuk diperoleh ini serta membetulkan niat menunaikan haji ikhlas kerana Allah SWT dan bukannya semata-mata untuk meraih gelaran ‘haji’ atau ‘hajah’ setelah pulang ke Tanah Air.

Selain itu, semasa di Tanah Suci, jemaah haji hendaklah menjaga kesihatan dengan mematuhi nasihat yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia yang berada di sana dan memastikan pengambilan ubat secara berterusan seperti mana diambil di Malaysia.

Perlu diingatkan juga supaya bakal jemaah haji untuk memperbanyak meminum air yang mencukupi bagi menghalang daripada kejutan cuaca panas di Tanah Suci.

Seperti kita semua maklum mengenai situasi keselamatan di rantau Asia Barat termasuk di Tanah Suci, Kerajaan Arab Saudi akan mengambil langkah-langkah kawalan keselamatan yang lebih ketat. Diharap para jemaah haji lebih berwaspada dan memberi kerjasama kepada petugas-petugas Tabung Haji dan pihak berkuasa. Elakkan diri daripada terlibat atau berada di dalam kawasan di mana ada tunjuk perasaan.

Adalah diharapkan para bakal haji membuat persediaan secukupnya dari aspek ilmu mental, spiritual dan fizikal supaya dapat menyempurnakan ibadah dengan lengkap dan berada di sana nanti dalam keadaan selesa, selamat serta sihat.

Betulkan niat kita dan tunduk kepada Allah SWT sebagai seorang hamba-Nya yang taat dan bersyukur.

Hayatilah slogan jemaah haji ini:

“Hadirku sebagai dhuyufurrahman, kembaliku dengan kemabruran”.

Semoga mendapat haji mabrur.