Segala usaha itu dilakukan bagi menjatuhkan parti lawan tanpa mengambil kira batasan agama. ‘Maqasid’ mereka hanya satu iaitu, parti aku wajib menang!. Ditambah dengan kemajuan teknologi komunikasi terkini khususnya media sosial, pelbagai berita palsu atau tidak pasti benar aktif ditularkan menerusi senjata baharu itu sehingga tidak dapat disekat. Fenomena itu seperti tragedi ‘kepala air’ yang rakus menyapu sesiapa sahaja yang berada dalam laluannya.

Berikut temubual Mega Mimbar, Utusan Malaysia bersama Penasihat Agama Kepada Perdana Menteri merangkap Pengerusi Institut Wasatiyyah Malaysia, Tan Sri Abdullah Muhammad Zin bagi membincangkan senario politik hari ini mengikut garis panduan syariah atau siasah syariah:

Mimbar: Bagaimana Islam melihat amalan politik kepartian dalam konteks syariah?

Abdullah: Islam memberi garis panduan dalam amalan politik iaitu dibolehkan untuk berbeza pandangan dalam beberapa perkara:

  1. Furu’iyyah Ijtihadiyyah iaitu masalah cabang yang ada ruang untuk berbeza pendapat, sebagai contoh dalam urusan pentadbiran, ekonomi dan sosial.
  2. Perbezaan yang tidak menimbulkan perpecahan dan permusuhan sesama Islam.

Jangan kerana mahu mengejar kuasa kita sanggup mengamalkan politik tidak beretika kerana matlamat sesekali tidak menghalalkan cara walaupun bertujuan baik.

Sebaliknya, umat Islam perlu mengamalkan politik dakwah iaitu bukan sahaja inginkan kuasa atau kemenangan semata-mata, tetapi dalam masa sama menjadi pemimpin yang berkongsi nilai murni sesama umat Islam dan bukan Islam.

Konsep dakwah itu luas, bukan menyebarkan ajaran agama secara langsung sahaja, tetapi dalam setiap perkara kita boleh menunjukkan kebaikan Islam dan melakukan perubahan daripada buruk kepada baik serta baik kepada 
lebih baik.

Segelintir ulama berpendapat perbezaan pandangan adalah satu rahmat, bagaimanakah umat Islam ingin mencari titik rahmat dalam perbezaan pandangan politik?

Abdullah: Dalam konteks ini, tidak kira pemimpin mahupun penyokong hendaklah mengamalkan politik matang. Walaupun berlainan ideologi, kita perlu akui jika cadangan atau pelaksanaan itu betul demi memastikan kestabilan dan keselamatan rakyat, serta paling utama ialah selari dengan syariat Islam.

Islam tidak menghalang perbezaan pendapat namun ada adab-adab yang perlu dipatuhi agar tidak membawa kesan lebih buruk. Tidak semua perkara yang diusulkan parti lawan perlu ditolak, jika benar kita perlu terima. Wujudnya sikap politik matang ini dalam kalangan ahli politik pasti akhirnya akan membawa kebaikan kepada rakyat dan negara.

Politik telah wujud sejak zaman Rasulullah SAW, bagaimanakah amalan Baginda dan para sahabat dalam berpolitik?

Abdullah: Firman Allah SWT maksudnya: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua lebih mengetahui akan orang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah petunjuk.” (An-Nahlu: 125)

Sebaik-baik akhlak adalah Rasulullah dan akhlak Baginda adalah al-Quran. Begitulah amalan Rasulullah menangani perbezaan iaitu dengan hikmah dan bijaksana.

Begitu juga sebagaimana hadis riwayat Muslim maksudnya: “Sesungguhnya aku tidak diutuskan untuk melaknat, tetapi diutuskan sebagai rahmat.”

Apakah ukuran terbaik dalam memilih parti politik?

Abdullah: Dalam konteks negara Malaysia iaitu sistem demokrasi, pemilihan parti politik yang tepat adalah sangat penting. Oleh itu, kita hendaklah memilih parti yang menunjukkan track record pencapaian yang baik bukan sekadar menabur janji palsu. Pengukurnya adalah sejauh mana pencapaian dalam memperjuangkan maqasid syariah iaitu menjaga:

  • Agama
  • Keselamatan jiwa
  • Akal atau pendidikan
  • Keturunan atau keluarga
  • Ekonomi

Apakah garis panduan kepada pemimpin dan penyokong parti dalam berbeza pendapat?

Abdullah: Dalam berbeza pendapat, kita harus mengutamakan beberapa perkara yang digariskan dalam Islam mendahului hal lain iaitu:

1. Meraikan ukhuwah Islamiah

  • Sebagaimana firman Allah maksudnya: “Sesungguhnya orang Mukmin itu bersaudara, maka damaikanlah antara dua saudara kamu (jika mereka berselisih)...” (al-Hujurat: 10)

2. Meraikan ukhuwah Insaniah

  • Menjaga persaudaraan dalam kalangan seluruh warganegara tanpa mengira agama dan bangsa.

3. Meraikan fiqh al-Ta’ayush (kewujudan bersama)

  • Kaedah bagi menangani cabaran umat Islam yang hidup dalam konteks negara pelbagai agama dan budaya. Antaranya adalah dengan mengamalkan akhlak Islamiah iaitu:
  • Bekerjasama bukan perkelahian
  • Rundingan bukan konfrontasi
  • Toleransi bukan menekan
  • Kesederhanaan bukan melampau
  • Dialog bukan keputusan sebelah pihak
  • Perkongsian bukan dominasi
  • Terbuka bukan tertutup
  • Praktikal bukan retorik
  • Beradab bukan biadab
  • Objektif bukan sempit
  • Berimbang bukan kroni
  • Mendaulatkan agama bukan manipulasi agama.