Bertepatan dengan itu, baru-baru ini, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) cawangan Bukit Damansara menganjurkan Program Amal Kebajikan Bersama Masyarakat Satun, Thailand.

Ia disertai seramai 32 ahli Perkim Bukit Damansara terdiri daripada kariah masjid, komuniti Bukit Damansara, tokoh korporat dan dermawan.

Pengerusinya, Datuk Abdul Hanif Harun berkata, program itu bertujuan untuk melihat sendiri kedaifan kehidupan masyarakat negara itu dan menghulurkan sumbangan kepada mereka yang memerlukan, sekali gus mengeratkan silaturahim.

“Program ini tercetus sewaktu lawatan kerja ke beberapa tempat di negara tersebut dan membuatkan saya terdetik untuk membantu beberapa madrasah dan masjid yang masih memerlukan dana untuk disiapkan,” katanya.

Rombongan menaiki bas dari Masjid Saidina Umar Al-Khattab (MSUA), Bukit Damansara, Kuala Lumpur melalui pintu sempadan Wang Kelian, Perlis untuk tiba di Satun, Thailand yang mengambil masa selama 10 jam perjalanan dengan jarak sejauh 564 kilometer.

Rombongan kemudiannya menaiki feri untuk tiba ke Kampung Tammalang dan dihimpunkan di Madrasah Tahfiz al-Quran Kampung Tammalang Hilir.

Seramai 30 pelajar tahfiz al-Quran menuntut di madrasah yang merupakan masjid lama setelah terbinanya masjid baharu bernama Masjid Kampung Tammalang Hilir.

Masjid Kampung Tammalang yang tersergam indah dengan kubah biru dibina pada tahun 2007. Menurut penduduk, 60 peratus daripada kos pembinaan masjid tersebut adalah dana yang diinfakkan oleh rakyat Malaysia manakala selebihnya daripada Kerajaan Thailand.

 

KHIDMAT KEPADA PENDUDUK

Perkim turut membawa sukarelawan yang terdiri daripada doktor dan jururawat bagi menjalankan pemeriksaan kesihatan percuma kepada penduduk kampung bertempat di Klinik Desa Tammalang.

Seramai 65 orang penduduk kampung mendapat khidmat tersebut yang diketuai Dr. Mohazmi Mohamed, seorang doktor di Rawatan Utama Klinik Am, Pusat Perubatan Universiti Malaya.

Antara pemeriksaan kesihatan yang dijalankan ialah tekanan darah, ujian gula dalam darah, paru-paru, nadi, kawalan pernafasan, pemeriksaan demam, batuk, selesema dan lain-lain .

 

ZIARAH PUSAT PENGAJIAN AGAMA TERSOHOR

Perjalanan seterusnya ke Yayasan Madrasah Darulmaaref yang merupakan pusat pembelajaran agama Islam tersohor di daerah Satun.

Mudirnya, Ahmad Mohamad Zaki berkata, madrasah tersebut diasaskan 70 tahun lalu oleh Mohamad Zikir Abdul Manan yang berasal dari Minangkabau, Indonesia.

Katanya, ia bukan sekadar sekolah atau madrasah tetapi lebih daripada itu kerana berperanan sebagai organisasi Islam seperti Perkim, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia untuk menjaga hak kesucian agama Islam dan Muslim.

Madrasah itu memuatkan 138 pelajar berusia 13 hingga 18 tahun yang mempelajari mata pelajaran hafazan al-Quran, Matematik, Sains, Bahasa Thailand dan pelajar juga wajib mengikuti kokurikulum seperti kelab sukan, kelab sains dan kelab cinta negara.

Jelas Ahmad, madrasah tersebut dinaik taraf daripada sistem pondok kepada sistem akademik agama.

“Pelajar juga diberi peluang oleh pihak yayasan untuk mempelajari kaedah penyampaian dan menyebarkan dakwah kepada golongan bukan Islam,” katanya.

 

MEMARTABATKAN PERANAN RUMAH ALLAH

Masjid Abu Bakar As-Siddiq tersergam indah yang mempunyai kubah kilauan perak di hadapan madrasah dapat memuatkan seramai 500 orang menjadi tempat bagi pelajar menunaikan solat fardu dan menuntut ilmu.

Masjid itu dilengkapi pusat siaran radio Islam al-Quran Radio Satun Thailand berfrekuensi 105.25 FM di mana ia adalah satu-satunya radio yang menjadi pusat sebaran ilmu Islam di seluruh daerah Satun.

“Idea tersebut tercetus setelah mendapat permit untuk menyampaikan slot agama dengan menyewa radio swasta selama dua jam. Lalu kami memutuskan untuk memiliki radio sendiri,” ujar Ahmad.

Kata beliau, dengan mengambil contoh siaran radio Islam di Malaysia IKIM.fm, pihaknya dapat menyiarkan hadis dan al-Quran sebelum azan dikumandangkan dengan membawa penceramah-penceramah undangan khas.

SUMBER PENDAPATAN TAMBAHAN

* Antara sumber pendapatan madrasah ialah melalui kedai jahit Khairiah yang membekalkan perkhidmatan menjahit pakaian seragam sekolah, sukan dan lain-lain.

* Khairiah Mart membekalkan barang-barang runcit selama 24 jam dan produk air mineral Khairiah yang diproses 1,000 dozen sehari daripada sumber air perigi dengan menggunakan teknologi penapisan canggih dan terkini.

“Kami kagum dengan usaha yang diperjuang iaitu sedaya upaya melaksanakan dakwah walaupun dalam negara bukan majoriti beragama Islam,” kata Abdul Hanif dalam ucapan aluannya semasa melawat Yayasan Madrasah Darulmaaref.