Pernah seorang murid saya bercerita ketika syarikatnya baru bertapak, beliau digoda oleh seseorang yang kononnya berkuasa meluluskan sebuah projek. Alhamdulillah, tauhid murid saya ini seteguh gunung. Dengan tenang dijawabnya:

“Saya percaya Allah adalah satu-satunya Tuhan Pemberi rezeki dan bukannya awak atau mana-mana makhluk ciptaan Allah. Jika sejak azali ditulis Allah bahawa projek ini milik saya, tanpa sogok awak dengan apa-apa pun saya pasti akan dapat projek ini.

“Jika ditulis sejak azali projek ini bukan milik saya, walaupun saya sumbat sebanyak mana rasuah dalam mulut awak, saya tak akan dapat projek ini. Bahkan kalau dapat pun selepas sumbat perut awak dengan rasuah, hasil keuntungannya tak ke mana. Boleh hangus terbakar, boleh hilang dirompak, boleh licin dijoli.\

“Begini sajalah! Saya serahkan borang seperti biasa dan berserah kepada Allah sebagai Yang Maha Pemberi Rezeki.”

Jawapan tegas lagi tuntas murid saya ini melambangkan kepentingan ilmu agama sebagai penyelamat manusia daripada ‘syirik rezeki’ kerana ia memang ditegaskan Allah dalam al-Quran:

“Dan tiadalah sesuatu pun daripada makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Luh Mahfuz) yang nyata (kepada malaikat yang berkenaan) (Hud [11:6]).

Bahkan perkara sama turut ditegaskan oleh Rasulullah SAW dalam sabda Baginda: “Allah menetapkan takdir semua makhluk 50,000 tahun sebelum penciptaan langit dan bumi. Dan Arasy-Nya pada waktu itu berada di atas air,” - Sahih Muslim.


JANGAN BERSIFAT SEPERTI DUBUK

Walaupun begitu, hidup adalah ujian dan ujian pula kadangkala datang daripada orang lain yang rakus bak dubuk menanti peluang rezeki orang lain. Dubuk jijik dalam tubuh manusia ini kadangkala berasa dirinya sebagai Tuhan yang mampu mengawal rezeki orang lain sedangkan mereka hanya pencuri murahan yang dipinjamkan kuasa untuk seketika sahaja di dunia ini.

Jika mahu ditarik, mudah sahaja Allah bertindak. Ada yang tersungkur diserbu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, ada yang disentap kesihatannya dengan strok atau pelbagai penyakit lain, ada yang merudum dirundung rugi.

Oleh itu, semua Muslim wajib yakin bahawa susah, senang dan aturan rezeki adalah hak Allah bukannya manusia. Pahatlah ayat ini dalam hati agar ia kekal seumur hidup:

“Apa jua jenis rahmat yang dibukakan oleh Allah kepada manusia, maka tidak ada sesuatu pun yang dapat menahannya; dan apa jua yang ditahan oleh Allah maka tidak ada sesuatu pun yang dapat melepaskannya sesudah itu. Dan (ingatlah) Dialah sahaja yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana,” (Fatir [35:2]).
Juga ayat ini:

“Dan jika Allah mahu timpakan kamu dengan sesuatu yang berbahaya, maka tiada sesiapapun yang dapat menghapuskannya melainkan Dia; dan jika Dia mahu kamu beroleh sesuatu kebaikan, maka tiada sesiapapun yang dapat menghalang limpah kurnia-Nya. Allah melimpahkan kurnia-Nya itu kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dalam kalangan para hamba-Nya, dan Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani,” (Yunus [10:107]).


BUKAN ISU ENTENG!

Sungguh! Isu rezeki bukan isu enteng, ia berkait rapat dengan akidah atau tauhid kerana hanya Allah yang melimpahkan manusia dengan rezeki. Manusia hanyalah wasilah atau perantara. Ini ditegaskan Allah dalam kalam Nabi Ibrahim a.s. kepada kaumnya:

“Sesungguhnya benda yang kamu sembah selain daripada Allah itu, tidak berkuasa memberi rezeki kepada kamu; oleh itu carilah rezeki daripada sisi Allah, dan sembah serta bersyukurlah kepada-Nya (sahaja); (ingatlah), kepada Allah jualah kamu akan dikembalikan,” (al-Ankabut[29:17]).

Penegasan Allah sebagai Tuhan yang berkuasa Mutlak melimpahi rezeki turut ditegaskan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah doa wirid Baginda setiap kali selesai solat fardu:

“Tiada Tuhan yang patut disembah, melainkan hanya Allah satu-satunya. Tidak ada sekutu bagi-Nya, milik-Nya seluruh kerajaan dan pujian, dan Dia berkuasa di atas segala-galanya. Wahai, Allah! tiada yang sanggup menghalang pemberianmu, dan tiada pula yang sanggup memberikan apa yang Engkau halang, tiada manfaatnya di hadapan-Mu kekayaan orang kaya,” - Sahih Bukhari dan Muslim.

Logiknya, solat yang dilakukan seumur hidup dalam kitaran lima kali sehari dengan diiringi wirid tersebut bertujuan mengingatkan semua Muslim bahawa Allah adalah Tuhan sebenar alam ini.

Jangan pula tersilap menyembah ‘Tuhan yang lain’ dalam bentuk tukang lulus tender atau majikan di pejabat.

Ya Allah Ya Tuhan kami, selamatkan umat Islam daripada ‘musibah syirik pemberi rezeki’.