Allah bukan sejenis ‘dewata khayalan’ manusia yang bertambah kuasa dan hayat kerana berjaya menyerap kuasa sembahan para pemujanya. Allah adalah Tuhan Tunggal yang tidak perlukan bantuan sesiapa. Ini ditegaskan dalam banyak ayat, antaranya:

“Dan katakanlah: “Segala puji tertentu bagi Allah yang tiada mempunyai anak, dan tiada bagi-Nya sekutu dalam kerajaan-Nya, dan tiada bagi-Nya penolong disebabkan sesuatu kelemahan-Nya; dan hendaklah engkau membesarkan serta memuliakan-Nya dengan bersungguh-sungguh!” (al-Isra’ 17:111).

Ketika manusia berkorban haiwan sempena Aidiladha lalu, Allah tegaskan Dia tidak menerima daging atau darah haiwan yang disembelih, sebaliknya menerima sifat ikhlas dan takwa hamba yang berkorban:

“Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa daripada kamu. Demikianlah Dia tundukkan binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjuk-Nya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan ganjaran besar) kepada orang yang berusaha supaya baik amalnya,” (al-Hajj 22:37).

TAKWA TIDAK ‘KENYANGKAN’ ALLAH

Jangan pula disangka ikhlas dan takwa adalah sejenis makanan yang mengenyangkan Allah. Tidak! Tidak sama sekali.

Takwa adalah anugerah Allah kepada hamba-Nya. Manusia yang miliki ikhlas dan takwa akan teratur hidupnya. Bahkan sebarang amal baik atau buruk tidak menjadi stok simpanan kuasa Allah. Ia kembali sebagai saham berguna atau peluru merobek kepada manusia:

“Sesiapa yang mengerjakan amal soleh, maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya sendiri; dan sesiapa yang melakukan kejahatan, maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Tuhan kamu,” (al-Jathiyah 45:15).

Nabi Musa a.s. juga pernah menegaskan perkara yang sama kepada Bani Israel:

“Dan Nabi Musa berkata: “Kalau kamu dan sesiapa jua yang ada di muka bumi seluruhnya berlaku kufur ingkar, maka (hal yang demikian tidak merugikan Allah), kerana sesungguhnya Allah adalah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji,” (Ibrahim 14:8)

Seperti yang disebut, tanpa ibadah atau pengabdian makhluk, Allah tetap unggul dengan ketuhanan-Nya. Perhatikan firman Allah dalam hadis Qudsi ini:

“Abu Dhar r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW berkata Allah berfirman:

“Wahai hamba-Ku, Aku haramkan kezaliman ke atas diri-Ku dan aku jadikan ia juga haram untuk kamu, maka janganlah kamu menzalimi antara satu sama lain.”

“Wahai hamba-Ku, kamu semua sesat (tiada petunjuk) melainkan sesiapa yang Aku bimbing, maka mohonlah panduan-Ku, nescaya akan Aku bimbingnya.”

“Wahai hamba-Ku, kamu semua kelaparan melainkan sesiapa yang Aku beri makan, maka mohonlah makanan (rezeki) daripada-Ku, nescaya akan Aku berikannya.”

“Wahai hamba-Ku, kamu semua tidak berpakaian melainkan sesiapa yang Aku berinya pakaian, maka mohonlah pakaian daripada-Ku, nescaya akan Aku berikannya pakaian.”

“Wahai hamba-Ku, kamu selalu melakukan kesilapan pada waktu malam dan siang, sedangkan Aku mengampunkan semua dosa, maka mohonlah ampunan daripada-Ku, nescaya akan Aku ampunkan.”

“Wahai hamba-Ku, kamu semua tidak mungkin memberi mudarat atau manfaat pada-Ku (kerana Aku berkuasa mutlak atas segalanya).”

“Wahai hamba-Ku, jika semua makhluk (terdiri daripada manusia dan jin yang pernah wujud di alam ini) semuanya berhati mulia penuh takwa, ia tidak akan menambah kuasa-Ku sedikit pun (kerana Allah langsung tidak perlukan ibadah makhluk-Nya). Begitu juga, jika semua makhluk melakukan dosa atau derhaka, ia tidak akan mengurangkan kuasa-Ku sedikit pun (kerana Allah langsung tidak terjejas dengan maksiat makhluk).”

“Wahai hamba-Ku, jika semua makhluk memohon kurnia-Ku lalu Aku kurniakan setiap seorang manusia permintaannya, ia langsung tidak mengurangkan kekayaan-Ku sedikit pun melainkan ia cuma sekadar celupan sebatang jarum ke dalam lautan.”

“Wahai hamba-Ku, hanya amalanmu yang Aku hitung dan Aku kembalikan pahala (serta manfaatnya) kepadamu. Sesiapa yang mendapati faedah amalannya maka pujilah Allah, manakala sesiapa yang mendapati selain itu (dosa dan kesan amalan buruknya), maka salahkan dirinya sendiri,” - Sahih Muslim.


Hadis Qudsi ini seiring maknanya dengan firman Allah:

“(Oleh kerana Allah menguasai segala-galanya, maka) wahai umat manusia, kamulah yang sentiasa berhajat kepada Allah (dalam segala perkara), sedang Allah Dia lah sahaja Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji,” (Fatir 35:15).


HANYA HAMBA YANG HINA

Kita hanyalah manusia kerdil yang menumpang teduh di bumi Allah. Kewujudan kita di alam semesta seumpama seekor kuman halus. Ada tidak bermakna, tiada pun tak dicari.

Sangat ajaib jika kuman ini mahu mengangkat kepala sombong tidak mengiktiraf ketuhanan Allah. Boleh sahaja Allah mengarahkan bala tentera-Nya yang ramai untuk mengajar dan merenggut nyawa kita.

Boleh sahaja Allah arah sang kilat menyambar kita dengan renjatan kuasa eletriknya. Boleh sahaja Allah arah sang nyamuk aedes mencucuk jarum bisanya.

Boleh sahaja Allah arah angin ribut menyambar kita dengan keras. Allah boleh lakukan apa sahaja, namun Dia tetap membela dan membelai kita dengan segala rahmat-Nya.

Adakah kita bersyukur atas kasih sayang Allah ini?