Dia yang bersekolah di Maahad Tahfiz al-Quran Wal Qiraat, Pulai Chondong, Kelantan memperoleh 12A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016, sekali gus dinobatkan sebagai pelajar terbaik keseluruhan Yayasan Islam Kelantan.

“Rumah kami tiada televisyen. Tetapi dibenarkan bermain komputer mengikut masa yang ditetapkan.

“Baba belajar di Universiti Madinah bermula dari peringkat ijazah hingga doktor falsafah menjadikan rumah kami seperti kedai buku. Keadaan ini mendorong kami sekeluarga menjadikan membaca sebagai hobi utama,” katanya.

Sejak kecil Amir dan kesemua adik-beradik diajar al-Quran oleh ibu mereka, Datin Nik Zulaili Nik Yaacob, seorang mahasiswa Undang-Undang lulusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Namun, beliau lebih selesa menjadi seorang suri rumah untuk menumpukan perhatian kepada keluarga.

“Walaupun kami membenarkan anak-anak bermain tetapi saya akan pastikan anak-anak tidak terlalu leka. Mereka perlu dilatih mengenai pengurusan masa supaya dapat menjaga dan mengulang hafazan dengan teliti, sekurang-kurangnya tiga juzuk sehari,” sambung Nik Zulaili.

Pendedahan dan persediaan untuk menjadi pendakwah sebenarnya telah diterap dan dibentuk oleh bapanya, Dr. Abdul Basit Abdul Rahman, Pengetua Pondok Sungai Durian, Kuala Krai; Pensyarah Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra, pendakwah bebas dan penulis buku agama.

Peranan Maahad Tahfiz tempat Amir belajar juga banyak menyumbang. Sejak dari tingkatan tiga beliau diamanahkan sebagai imam solat fardu dan solat sunat tarawih di sekolah serta masjid-masjid berhampiran.

Pengalaman mengikuti program bapanya ke seluruh negara banyak mengasah bakat sebagai pendakwah. Selain itu, Amir sering mengikuti pelbagai program dakwah anjuran tempat tinggalnya, Pondok Sungai Durian.

Bagi memantapkan pengajian agama, Amir sedang meneruskan pelajaran untuk persediaan Sijil Tinggi Tahfiz al-Quran (STTQ) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia(STAM) di Maahad Tahfiz al-Quran Wal Qiraat.

Semoga kehebatan remaja ini menjadi contoh ikutan terbaik dalam mewujudkan masyarakat madani yang memartabatkan ilmu dan amal sebagai tonggak kehidupan.

Jaga hubungan dengan allah, manusia

“JAGA hubungan dengan Allah, ibu bapa, guru-guru dan rakan-rakan,”. Itulah lontaran kalimah daripada Husna Mardhiyyah Mohd. Fauzi yang mencapai keputusan 11A+ SPM 2016, sekali gus dinobatkan sebagai Pelajar Terbaik SPM Terengganu 2016.

Beliau yang mengikuti pengajian aliran perdana dan hafazan di Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu, Kemaman merupakan pelajar yang cukup aktif dan berkebolehan dalam akademik serta kokurikulum.

Melihat kepada kejayaan dan anugerah yang dicapai telah membuka mata masyarakat bahawa pelajar aliran agama dan tahfiz bukan sekadar menadah kitab mengikuti pengajian agama serta memberi tumpuan kepada bidang hafazan semata-mata.

Selain menjuarai pertandingan hafazan, Husna juga hebat dalam gelanggang tae kwan do, petah berpidato dan berkarisma dalam kepimpinan.

“Husna boleh membaca al-Quran dan buku seawal usia empat tahun. Dalam masa dua tahun, dia sudah khatam,” ujar ibunya, Dahliana Mohd. Dagang.

Sebagai seorang hafizah, Husna meletakkan pergantungan yang tinggi kepada Allah dalam setiap perkara. Selain usaha gigih yang berterusan, keyakinan dan tawakal kepada Allah perlu diutamakan.

Baginya, seseorang pelajar yang inginkan kejayaan dan keredaan Allah hendaklah sentiasa memperbanyak istighfar untuk membersihkan hati dan menyucikan jiwa. Bila hati sudah bersih, ilmu mudah melekat di minda.

Beliau yang bercita-cita menjadi seorang pensyarah sedang mengikuti program Pensijilan Tahfiz di Darul Quran Jakim - UIAM.

Semoga segala impian Husna akan terlaksana dan dapat memartabatkan ummah dengan perkongsian ilmu dan kebolehan yang dianugerahkan Ilahi.

Berkat hafaz al-quran

BENARLAH bahawa peranan ibu bapa sangat penting dalam membina acuan didikan anak-anak. Merekalah yang mencorakkan masa depan anak-anak berdasarkan amalan dan nilai hidup yang diterapkan sejak kecil.

“Kami amat menitikberatkan solat berjemaah setiap kali masuk waktu. Amalan ini disemai sejak kecil supaya ia menjadi sebati dalam diri anak-anak. Kami juga mewajibkan semua ahli keluarga membaca al-Quran selepas waktu maghrib,” kata Wan Mariati Abdul Kadir.

Seawal usia tiga tahun, Siti Ameerah dan adik-adiknya diajar al-Quran oleh ayahnya sendiri, Fauzi Iberahim, Pemilik Pusat Tahfiz Nur Iman di Kota Bharu, Kelantan. Bimbingan al-Quran sejak dari kecil dapat menyemai minat dan penguasaan yang lebih mendalam dari segi bacaan, taranum, fasahah dan tajwid.

Beliau belajar di Sekolah Menengah Ugama (Arab) Maahad Muhammadi Perempuan, Kota Bharu. Mengikuti pengajian di sekolah aliran agama menjadikan Siti Ameerah, anak sulung daripada enam beradik, sudah terbiasa belajar sehingga 20 mata pelajaran termasuk mata pelajaran mengikut sukatan sekolah menengah aliran kebangsaan dan mata pelajaran agama berteraskan bahasa Arab.

“Tanggungjawab sebagai anak sulung, saya sentiasa mencari setiap ruang dan suasana untuk mengulang kaji pelajaran di samping membantu ibu menguruskan kerja rumah. Saya harus menjadi contoh ikutan adik-adik,” kata Siti Ameerah yang memperoleh 12A dalam SPM 2016.

SEIMBANG DALAM PELAJARAN DAN KOKURIKULUM

Biarpun memegang beberapa jawatan penting di sekolah, ia tidak menghalangnya daripada menyertai pelbagai pertandingan terutama yang berkaitan dengan hafazan dan ilmiah. Bahkan penglibatan dalam bidang akademik dan kokurikulum itu banyak membantu meningkatkan keyakinan diri dan daya juang serta persaingan yang sihat.

“Waktu petang kami galakkan anak-anak beriadah. Otak yang cerdas lahir daripada badan yang cergas. Dengan cara ini anak-anak boleh melepaskan tekanan belajar di sekolah. Mereka bermain ping-pong dan memanah. Malah anak-anak saya sering memenangi kejohanan dalam beberapa acara sempena pesta kokurikulum di sekolah,” ujar bapanya, Fauzi.

KAWAL PENGGUNAAN TELEFON DAN TELEVISYEN

Ibu bapa yang hebat ini sentiasa memantau pergerakan dan aktiviti anak-anak. Mereka hanya dibenarkan menonton beberapa rancangan tertentu sahaja dalam tempoh yang ditetapkan. Anak-anak juga tidak dibelikan telefon bimbit semasa di bangku sekolah.

Sekiranya mereka perlu menggunakan telefon, mereka boleh meminjam daripada ibu bapa. Mereka berpandangan bahawa faktor gejala sosial yang melanda masyarakat sekarang banyak berpunca daripada penggunaan media sosial dan hiburan yang tidak terkawal.

Biarpun cemerlang dalam semua mata pelajaran termasuk yang berteras sains tulen, Siti Ameerah lebih berminat untuk menjadi pensyarah bahasa Arab kerana ia merupakan bahasa al-Quran. Semakin dipelajari dan dikaji, semakin mendalam kecintaan kepada uslub dan gaya bahasa Arab yang cukup tinggi nilai kesusasteraannya.