Ini kerana, dalam agama Islam sendiri telah tertulis bahawa dalam setiap rezeki yang diperoleh terselit bahagian mereka yang memerlukan dan barang siapa yang berkongsi, maka mereka memperoleh ketenangan dan rezeki melimpah ruah.

Itu jaminan yang telah disediakan buat mereka yang memahami apa itu erti perkongsian, atas dasar itu juga pengasas kepada jenama produk kosmetik dan kesihatan popular, Almas Beauty & Health, Datin Maziah Mohamed menjadikan aktiviti kemasyarakatan sebagai platform untuk syarikatnya menyumbang dan berkongsi keuntungan bersama.

Tidak dilahirkan dalam keluarga yang susah kehidupannya, malah tidak mempunyai pengalaman hidup yang sukar, bukan penghalang kepada wanita itu menyelami kesusahan hidup masyarakat di luar sana.

Akui ibu kepada lima anak itu, sejak Almas ditubuhkan, syarikat berkenaan sentiasa mengadakan pelbagai program kemasyarakatan dalam pelbagai bentuk aktiviti sama ada memberi sumbangan kewangan, perkongsian ilmu serta projek-projek amal lain.

Kata wanita berasal dari negeri Cik Siti Wan Kembang itu, memfokuskan golongan yang memerlukan, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dijalankan syarikatnya itu dilaksanakan sepanjang tahun dan sejumlah peruntukan disediakan bagi menjayakan program-program berkenaan.

“Berada di atas, tidak bermakna kita tidak boleh merasai denyut nadi kesusahan mereka yang memerlukan. Kerana pada saya, setiap manusia akan merasai saat-saat sukar masing-masing dan bagaimana kita menguruskannya adalah amat penting.

“Oleh itu, walaupun saya tidak pernah melalui kesukaran seperti mereka lalui tetapi saya tahu bagaimana rasa erti sukar dan dari situ saya belajar erti berkongsi bukan sahaja kewangan semata-mata malah berkongsi rasa kasih sayang dan mengambil berat,” jelasnya.

Biarpun telah memiliki lebih 30 produk bawah jenama Almas antaranya yang popular seperti Jus Nusantara, Charisma, Jus Kasih Sayang, Jamu Seri Dara, Almas Cafe dan Slimdah Fiber Sol Cafe, beliau percaya, melalui kerja-kerja kebajikan yang dijalankan itu sekali gus dapat membantu melariskan produknya pada masa yang sama.

Tidak mahu terlalu bangga dengan pencapaian yang dimiliki ketika ini, apa yang penting buat beliau melahirkan rasa syukur dengan apa yang diperoleh dan terus menyediakan produk-produk terbaik buat pelanggan.

Rancang tubuh Maahad Tahfiz al-Almas

Tidak terhenti dengan hanya berkongsi rezeki bersama golongan yang memerlukan, Maziah dan suami yang juga Pengarah Urusan Almas, Datuk Hassanal Bolkiah Abd. Wahab, mahu usaha gigihnya dalam bidang perniagaan menjadi ladang pahala buat seluruh ahli keluarga.

Yakin bahawa setiap keuntungan yang diperoleh daripada hasil jualan produk syarikat itu terselit bahagian buat mereka yang tidak berkemampuan, Maziah mahu rezeki itu terus dikongsi selagi mana syarikat itu mampu bertahan di pasaran.

Selain mengadakan pelbagai program CSR sepanjang tahun, Maziah turut memaklumkan, beliau ketika ini sedang dalam perancangan membina sebuah maahad tahfiz berdekatan kawasan kediamannya di Bukit Beruntung, Selangor.

“Saya sudah lama memasang impian untuk menubuhkan sekurang-kurangnya sebuah sekolah tahfiz yang diselenggarakan oleh syarikat ini, malah salah seorang anak saya juga pernah belajar agama di Yemen selama dua tahun.

“Bagi permulaan, sasaran kita membina sekolah berkenaan dengan kapasiti 30 hingga 50 pelajar sahaja dan untuk itu, kita akan sediakan bangunan khas dua tingkat bagi menempatkan mereka. Saya tidak pasti bila projek ini akan siap, namun  yakin impian ini akan tercapai tidak lama lagi,” ujarnya yang mahu kanak-kanak sentiasa mengingati mereka dengan penubuhan maahad tahfiz berkenaan.

Mengakui legasi syarikat itu akan diuruskan oleh anak-anak, Maziah mahu program-program CSR yang telah dimulakan ini akan terus diteruskan anak-anak beliau suatu hari nanti.

“Saya tahu  bukan selamanya akan menguruskan syarikat ini, jadi apa yang saya tinggalkan sekarang adalah untuk bekalan mereka meneruskannya. Saya bukan mahu diingati sebagai usahawan yang menyediakan produk terbaik dan berkualiti sahaja tetapi juga mahu masyarakat ingat bahawa kami  berkongsi kegembiraan dengan membantu golongan yang memerlukan,” jelasnya.

Mahu legasi Almas terus menyumbang

Walaupun anak-anaknya tidak dilahirkan dalam keluarga yang tidak berkemampuan, namun wanita itu mahu lima anaknya iaitu Nurul Afiqah, 22; Mohd. Nasrul Afiq, 21; Muhammad Haziq, 18; Puteri Nadia, 13; dan Muhammad Danish, 5, merasai denyutan nadi golongan yang memerlukan agar mereka dapat menyelami perasaan golongan berkenaan.

Sehubungan itu, setiap kali syarikat itu mengadakan program-program CSR, beliau tidak pernah lupa membawa anak-anaknya bersama-sama.

Mengakui hal itu, anak sulung pengasas Almas, Nurul Afiqah Hassanal Bolkiah, memberitahu, bahawa adik-beradiknya telah terbiasa menemani ibu dan bapa setiap kali syarikat itu mengadakan program CSR sejak dari usia muda lagi.

Jelas Nurul Afiqah, dia tidak mahu terus dibuai rasa mewah dan mengakui program-program kemasyarakatan yang diadakan membuatnya rasa lebih bersyukur dengan segala kesenangan yang diperoleh.

Ujar bakal pewaris legasi Almas itu, dia akan terus mengadakan program-program bersama masyarakat agar impian ibu dan bapanya untuk menjadikan Almas sebagai lubuk pahala buat mereka sekeluarga tercapai.

“Sejak kecil ibu telah bawa kami adik-beradik mengikuti program CSR yang dianjurkan Almas, jadi kami tidak kekok bersama masyarakat kerana kami sudah terbiasa,” ujarnya.

Mengakui baru berjinak-jinak dalam dunia perniagaan keluarganya itu, Nurul Afiqah juga memasang impian untuk mempunyai pertubuhan kebajikan  sendiri suatu hari nanti.

Ujarnya, dia mahu Almas terus dikenali bukan sahaja sebagai sebuah syarikat yang berjaya dalam bidangnya, malah menjadi penyumbang terbesar dalam program-program kebajikan.

“Saya baru memulakan langkah dalam bidang perniagaan ini dan pada saya adalah amat tepat langkah saya dimulakan dengan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan kerana dari situ kita dapat mengenali siapa mereka yang selama ini menyokong produk kita.

“Ini kerana, tanpa pembeli iaitu masyarakat perniagaan ini tidak akan berada pada tahap ini dan disebabkan itu kita harus berkongsi bersama rezeki yang diperoleh,” ujarnya.

Rai anak yatim, asnaf

Bulan Ramadan merupakan bulan berkat yang sering menjadi tumpuan masyarakat untuk melakukan amalan sedekah terutama kepada mereka yang kurang berkemampuan dan bernasib baik, bagi bersama-sama berkongsi nikmat rezeki.

Meskipun sibuk dengan pelbagai tugas dan aktiviti, namun Maziah sempat meraikan golongan kurang bernasib baik antaranya anak yatim dan asnaf dari Sekolah Rendah Agama Bukit Sentosa Fasa Satu, Rawang dan penghuni Rumah Titian Kasih yang terletak di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut Maziah, beliau menerima banyak jemputan menaja majlis berbuka puasa, namun beliau lebih gemar memilih penajaan yang melibatkan golongan anak yatim dan asnaf yang memerlukan.

“Kami berharap dengan sumbangan ini dapat menggembirakan  serta membolehkan mereka meraikan Ramadan dan Syawal dengan lebih bermakna,” katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa di Sekolah Rendah Agama Bukit Sentosa Fasa 1, Rawang, Selangor, baru-baru ini.

Almas merupakan syarikat tetap yang sering menyumbang kepada sekolah berkenaan setiap tahun dan pada tahun ini buat pertama kalinya satu majlis berbuka puasa diadakan di sekolah berkenaan bagi meraikan 180 penerima sumbangan Almas.

Baru-baru ini, Almas turut menyumbang RM10,000 kepada 95 anak-anak yatim dan anak-anak istimewa serta 45 orang ibu tunggal penghuni Rumah Titian Kasih sempena program amal di sebuah stesen televisyen.