Ini kerana, tokoh yang berasal dari Wasij, wilayah Transosiana, Turkestan itu tidak pernah menulis riwayat hidupnya dan enggan ‘mendedahkan’ dirinya kepada khalayak, sebaliknya apa yang didedahkan adalah ilmu dan sumbangannya.

Selain itu, al-Farabi yang dilahirkan pada 870 Masihi iaitu pada pemerintahan kerajaan Samaniyah juga dikatakan memiliki daya fikiran yang tinggi sejak dari kecil. Ketika usia muda lagi beliau telah belajar dan mampu menguasai pelbagai jenis ilmu.

Beliau mendapat pendidikan awal daripada guru-guru persendirian, sama ada menuntut di rumah guru berkenaan atau belajar secara formal di masjid yang terdapat di Wasij.

MENGUASAI PELBAGAI ILMU

Al-Farabi juga dikatakan dapat menguasai beberapa bahasa asing antaranya Syria, Arab dan Greek. Penguasaan ini tidak akan dapat dicapai tanpa keinginan dan usaha yang bersungguh-sungguh.

Beliau juga turut menguasai pelbagai bidang dalam ilmu keagamaan, termasuk ilmu nahu, tafsir, hadis dan fikah. Selain itu beliau juga mahir dalam pelbagai cabang falsafah, ilmu lingkungan, ilmu ketenteraan dan ilmu muzik.

Meskipun mahir dalam pelbagai bidang tetapi beliau lebih tertarik atau lebih memberikan perhatian pada bidang falsafah dan logik.

Al-Farabi juga lebih dikenali sebagai ‘guru kedua’ selepas Aristotle yang digelar sebagai ‘guru pertama’. Ini kerana beliau sentiasa mengkaji buku-buku yang dihasilkan oleh ahli falsafah terkemuka Barat itu, selain mengkaji mengenai diri Aristotle. Beliau dikatakan mempunyai ramai guru, namun guru paling masyhur ialah Ibn Hailan dan Matta ibn Yunus. Kedua-dua guru beliau ini mahir dalam bidang falsafah dan logik.

KEMBARA ILMU

Beliau memulakan pengembaraan pertama ke negara luar pada tahun 900M di Baghdad bersama gurunya Ibnu Hailan bagi mempelajari dan mendalami ilmu logik.

Seterusnya pada 908M, beliau meninggalkan Baghdad bersama gurunya untuk ke Harran sebelum ke Constantinople (Istanbul), Turki. Beliau ke sana untuk mendalami ilmu falsafah dengan bantuan gurunya Ibnu Hailan sebagai penyelianya dalam pembelajaran tersebut.

Pada 910M, beliau kembali ke Baghdad untuk belajar, mengajar dan mengkaji buku-buku yang ditulis oleh Aristotle serta menghasilkan karya baharu. Pada tahun 942M, al-Farabi berpindah ke Damsyik, iaitu satu daerah di negara Syria akibat kekacauan dan ketidakstabilan politik yang berlaku di Baghdad.

Manakala, pada 944M, beliau dikatakan pergi ke Mesir. Menurut seorang ahli sejarah, Abi Usaibiyah, al-Farabi telah mengarang sebuah karya mengenai politik ketika berada di Mesir.

Seterusnya pada 949M, al-Farabi bermastautin semula di Damsyik. Kembalinya beliau ke sana adalah untuk menghabiskan sisa-sisa hidup sebagai seorang cendekiawan di sebuah istana di Aleppo semasa pemerintahan baharu Syria, iaitu seorang putera Handaniyah bergelar Saf al-Daulah, yang tertarik dengan kebijaksanaan dan kepandaian beliau serta kehidupannya sebagai seorang ahli sufi.

Tokoh agung ini menghembuskan nafas terakhir pada 950M di Damsyik ketika itu berusia 80 tahun. Beliau dikebumikan di sebuah perkuburan di bahagian luar pintu selatan atau pintu sampingan kota tersebut.

Saf al-Daulah sendiri yang mengetuai para pembesar negeri menyembahyangkan jenazah al-Farabi, seorang cendekiawan yang terulung dan termasyhur dalam kalangan sarjana serta tetamu di istana Saf al-Daulah.