Saya terpegun seketika ketika membaca kata-kata hikmah diucapkan oleh Imam Hasan Basri yang dikutip daripada kitab al-Zuhd karangan Imam Ahmad bin Hanbal dan buku Qimah al-Zaman ‘Indal ‘Ulama’ (nilai masa di sisi para ulama) susunan Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah. Ternyata kalam hikmah itu sangat tepat bagi menggambarkan kehidupan manusia.

Bagi orang yang masih diberikan usia pada hari ini (1 Januari 2018) ketika bangkit daripada tidur, maka pujilah Allah dengan sebanyak-banyaknya kerana bukan semua manusia bertuah diberi usia sehingga menjengah awal tahun 2018.

Masuk sahaja tahun baharu, senaraikan nama teman, sahabat handai, saudara mara yang terlebih dahulu dijemput Allah ke alam barzakh. Pastinya kita yang masih berpeluang meneruskan hidup pada tahun ini mempunyai kelebihan untuk beribadat berbanding mereka. Perhatikan hadis perihal dua sahabat yang berbeza tahun matinya ini:

Talhah bin Ubaydillah r.a. menceritakan, pada suatu hari dua lelaki dari Suku Baliyy datang bertemu Rasulullah SAW. Kedua-dua mereka memeluk Islam secara serentak. Seorang daripada mereka begitu bersemangat untuk berjihad berbanding yang seorang lagi, lalu dia menyertai perang dan gugur syahid. Kemudian yang seorang lagi terus hidup selepasnya selama setahun kemudian dia pun meninggal dunia.

Talhah menyambung: “Pada suatu hari aku bermimpi bersama mereka berdua berada di pintu syurga, kemudian keluar malaikat dari syurga lalu menjemput lelaki yang lewat mati memasuki syurga, kemudian malaikat tadi keluar lagi dan menjemput lelaki yang gugur syahid lebih awal itu memasuki syurga.

Malaikat kemudiannya datang semula kepadaku dan berkata: “Pulanglah dahulu, kerana giliranmu memasuki syurga masih belum sampai.” Menjelang pagi Talhah menceritakan mimpinya itu kepada orang ramai. Mereka berasa hairan dengan mimpinya itu. Lalu perkara itu sampai kepada Rasulullah SAW dan mereka menceritakannya kepada Baginda.

Tanya Baginda: “Apa yang menghairankan kamu semua?” Mereka menjawab: “Wahai Rasulullah SAW! Lelaki ini lebih bersemangat berjihad berbanding seorang lagi, kemudian dia memperoleh syahid, akan tetapi mengapa kawannya yang mati selepasnya lebih dahulu memasuki syurga.” Jawab Nabi SAW: “Bukankah lelaki ini telah hidup selepas kawannya yang mati syahid itu selama setahun?” Jawab mereka: “Benar.”

Sambung baginda lagi: “Bukankah dia telah mendapat bulan Ramadan dan berpuasa dalamnya dan telah mendirikan banyak rakaat solat dalam setahun itu?” Jawab mereka: “Benar.” Sabda Nabi SAW lagi: “Maka beza antara mereka lebih jauh daripada langit dan bumi,” (Sunan Ibn Majah)


HIDUP MANUSIA SEPERTI BATERI

Jika hidup ini seperti bateri sebuah telefon, sukatan tenaganya semakin berkurang saban hari. Perkara ini berlaku dalam tiga fasa menurut Allah:

“Allah yang mencipta kamu bermula dengan keadaan lemah (ketika bayi dan kanak-kanak), selepas lemah itu Dia jadikan kamu kuat (ketika usia remaja dan dewasa). Setelah itu Dia jadikan kamu lemah pula serta tua beruban. Dia cipta apa yang dikehendaki-Nya, dan Dia lah jua yang Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa,” (al-Rum [30:54]).

Secara adat hidup manusia, setelah mencecah usia tua kita akan dijemput Allah meninggalkan jasad yang semakin rapuh dimamah usia. Setelah roh dipindahkan ke alam barzakh, jasad kesayangan kita yang sudah sekian lama didiami ini akan bersebati dengan unsur asalnya iaitu tanah sebagaimana firman Allah:

“Allah berfirman lagi: “Di bumi itu kamu hidup dan di situ juga kamu mati, dan daripadanya pula kamu akan dikeluarkan (dibangkitkan hidup semula pada hari kiamat),” (al-A’raf [7:25]).


TUA BUKAN SYARAT UTAMA UNTUK MATI

Pun begitu, perlu diingatkan bahawa syarat untuk mati bukan hanya tua berusia. Berapa banyak buah muda yang gugur mencium bumi kerana pukulan ribut atau terjahan sang tupai. Ada sahaja orang muda yang dijemput pulang kerana kemalangan yang menimpa dan sakit yang menyinggah.

Oleh kerana mati adalah rahsia Allah yang sulit, buanglah falsafah songsang yang dianuti ramai orang iaitu ‘tunggu tua baru taubat’ kerana umur bukan hak kita. Ia hak Allah semenjak azali. Bahkan menurut Islam, manusia paling bijak bukanlah yang menyandang ijazah berjela atau memiliki sanad berdepa-depa tetapi orang yang sentiasa bersedia menghadapi hidup selepas mati. Sabda Rasulullah SAW:

“Orang yang bijaksana adalah orang yang menjaga (mengawal) diri (daripada melanggar arahan Allah) dan bersedia untuk kehidupan selepas mati. Si lemah (bodoh) pula adalah orang yang mengikut nafsunya dan berangan-angan agar Allah (mengampunkannya),” - Sunan Tirmizi, Sunan Ibn Majah.

Jangan pula rasa gementar apabila bicara umur atau usia dikaitkan dengan mati. Mati adalah makhluk ciptaan yang pasti ditemui semua makhluk bernyawa. Usahkan kita, manusia paling dikasihi Allah pun mati:

“Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudah didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau dia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka dia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun; dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu),” (Ali ‘Imran [3:144]). 


APA BEKALAN KITA?

Bukan mati yang perlu kita gusari apabila umur semakin tinggi angkanya, tetapi apa yang kita bawa untuk bertemu Allah selepas kita mati. Apa bekal kita? Ingat pesan Rasulullah SAW ini:

“Tidak akan berganjak kaki seorang hamba Allah pada hari kiamat (daripada audit akhirat sama ada ke syurga atau ke neraka) sehingga dia disoal tentang umurnya bagaimana dia habiskan, tentang ilmunya sejauh mana dia beramal (dengannya), tentang hartanya dari mana dia peroleh serta pada apa dibelanjakannya dan tentang tubuh badannya bagaimana dia gunakannya,” - Sunan Tirmizi.

Sempena tahun baharu 2018 ini, marilah kita sama-sama bermuhasabah melihat betapa peluang hidup yang sekali di dunia ini sangat berharga dan tidak patut dibazirkan dengan aktiviti remeh lagi tidak berfaedah.