Soalan yang saya terima daripada seorang teman yang bergiat aktif membantu umat Islam di luar negara kelihatan sangat keras bunyinya. Kufur nikmat! Bagi menenangkan gelojak jiwanya, saya memujuk:

“Perkataan kufur nikmat tampak agak keras. Bagi saya perkataan yang lebih lunak dan sesuai untuk mereka ini adalah lupa. Sebagai manusia biasa, kita selalu lupa lebih-lebih lagi pada perkara yang tidak kelihatan pada mata.”

Benar! Manusia mudah lupa terutama pada apa yang tidak kelihatan. Kita tak lupa berkaitan wang ringgit kerana ia keperluan harian yang selalu ada dalam poket. Kita selalu lupa dosa pahala kerana ia adalah mata wang akhirat yang hanya mampu ditatap oleh mata hati.

Oleh kerana selalu lupa pada yang tak kelihatan pada mata zahir, Allah mahu kita selalu diingatkan: “Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang yang beriman,” (al-Dhariyat 51:55).

Apabila mengenang nasib malang saudara se-Islam kita di luar negara yang dibakar api perang tak kunjung padam, barulah kita faham mengapa ‘aman’ menjadi doa utama Nabi Ibrahim a.s. setelah baginda membina Kaabah:

“Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Mekah) ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki daripada berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat antara mereka,” (al-Baqarah 2:126).


KEPELBAGAIAN REZEKI

Rezeki kurniaan Allah itu sangat luas! Rezeki bukan hanya wang ringgit sebagaimana dianuti ramai manusia tak berpengetahuan. Dalam sesetengah keadaan wang ringgit telah menjadi musibah apabila ia menjadi rebutan sehingga ada yang sanggup tikam menikam dan tindas menindas.

Berapa ramai si kaya mandul yang kepingin zuriat untuk mewarisi segala kekayaannya? Berapa ramai jutawan yang terkecur air liurnya melihat juadah sedap di depan mata tapi tak mampu makan kerana hambatan berbagai penyakit kronik.

Apabila melihat nasib malang tak kunjung padam umat Islam di negara asing, baru kita sedar betapa keamanan dikecapi Malaysia adalah rezeki paling mahal yang dikurniakan Allah. Pada kala umat Islam Myanmar, Palestin dan Syria bermandi darah, berselimut sejuk, berdendang lagu takut, kita di Malaysia masih boleh bersuka ria pada Aidilfitri. Namun begitu, cukupkah jika kita hanya bergembira menikmati nikmat hari raya tanpa pedulikan nasib saudara Islam yang lain?

Sepatutnya, rasa gembira menyambut raya di Malaysia nan aman ini disertai rasa cakna kepada orang lain kerana kita semua disifatkan oleh Nabi SAW sebagai suatu binaan:

“Al-Nu’man bin Basyir r.a. berkata Rasulullah SAW bersabda: Kamu lihat perasaan kasihan belas (tulus kerana agama), kasih sayang (tulus dengan ziarah menziarahi serta bertukar hadiah) dan lemah lembut sesama orang beriman itu seperti satu tubuh yang sama. Apabila satu anggota mengalami sakit, seluruh tubuh menderita sehingga sukar tidur dan mengalami demam panas,” - Sahih Bukhari dan Muslim.

REZEKI MAHA HEBAT

Memang mereka di luar sana diuji dengan perang dan kesusahan. Pun begitu mereka dikurniakan Allah satu rezeki yang jauh lebih hebat daripada rezeki lain. Rezeki mereka begitu istimewa kerana ia kekal tanpa putus dan dinikmati selepas mati:

“Dan jangan sekali-kali engkau sangka orang terbunuh (yang gugur syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki,” (Ali ‘Imran 3:169).

l Perihal rezeki selepas mati dalam ayat ini dijelaskan Nabi SAW sejurus selesai perang Uhud: “Apabila saudara kamu dibunuh di Uhud, Allah letakkan roh mereka dalam perut burung hijau yang sentiasa menelusuri sungai syurga, ia makan buah-buahan syurga dan pergi mendapatkan sarangnya (qanadil) daripada emas tergantung di bawah bayangan arasy.

“Apabila mereka (yang mati syahid itu) dapati betapa enaknya makanan, minuman dan tempat rehat mereka, mereka berkata, “Siapakah yang akan menyampaikan berita kepada saudara kita tentang kita, bahawa kita sedang hidup dalam syurga dengan mendapat rezeki. Supaya dengan itu mereka tidak akan berzuhud (terhalang) daripada jihad dan tidak akan undur daripada berperang.

“Allah lalu berfirman: Aku akan menyampaikan perihal kamu kepada mereka.. lalu Allah menurunkan ayat ini (Ali ‘Imran[3:169]),” - (Sunan Abu Dawud dan dengan riwayat yang seakan sama dalam Sahih Muslim).

Jika kita rasa kita diberi rezeki melimpah ruah kerana nikmat aman yang kita miliki, mereka turut mendapat rezeki syahid yang khusus daripada Allah berkat kesabaran mereka. Walaupun rezeki syahid mereka sangat hebat, janganlah pula mahu diuji seperti mereka yang bermandi darah dan keringat dalam cuaca panas perang.

Berhati-hati dengan apa yang anda mohon. Pertahankan rezeki keamanan ini kerana ia adalah nikmat yang tak ternilai harganya.

Pedulikah kita dengan nasib saudara seagama yang ditindas, dibunuh negara jiran?

Manusia selalu lupa lebih-lebih lagi pada perkara yang tidak kelihatan pada mata seperti dosa dan pahala.

Pengertian rezeki amat luas, bukan terhad kepada wang semata-mata, malah dalam keadaan tertentu ia menjadi malapetaka kepada manusia.

Rezeki mati syahid amat istimewa iaitu kekal tanpa putus dan dinikmati selepas mati (Ali ‘Imran 3:169).

Memang rezeki syahid amat hebat, namun pula kita mohon dengan Allah supaya turut sama diuji seperti dialami saudara seagama.

Berhati-hati dengan apa yang anda mohon. Pertahan rezeki keamanan ini kerana ia adalah nikmat yang tak ternilai harganya.