Pasti akan ada yang tertanya-tanya, apakah yang begitu misteri dengan Bitcoin? Di manakah plot menarik tentang mata wang yang begitu hangat dibicarakan seluruh dunia sehingga mampu memberi revolusi baharu dalam sistem mata wang dunia?

Pastinya kisah pengasas Bitcoin itu sendiri iaitu, Saitoshi Nakamoto. Beliau merupakan sebuah misteri yang perlu diketahui oleh orang ramai kerana secara tiba-tiba bertindak menarik diri daripada terlibat dengan ciptaannya itu selepas beberapa tahun memperkenalkannya.

Menjadi persoalan, kenapa perlu beliau menarik diri sedangkan perniagaan Bitcoin yang diciptanya itu bakal menjadi satu revolusi mata wang di seluruh dunia dan boleh menjana pendapatan yang sangat lumayan?

Tindakan Nakamoto itu ternyata menimbulkan tanda tanya bukan sahaja kepada masa depan mata wang digital tersebut, malah kepada identiti sebenar dirinya.

Pengerusi Virtue Fintech, Dr. Wan Muhammad Hasni Wan Sulaiman berkata, dia begitu ‘mencurigai’ siapakah insan yang bernama Saitoshi Nakamoto kerana pencipta Bitcoin itu seakan-akan zero identity atau identiti sifar setelah melenyapkan diri daripada khalayak awam.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif syarikat kewangan berpangkalan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu berkata, Nakamoto sekadar muncul dalam bentuk e-mel, malah kehadirannya itu juga tidak boleh ditentukan menerusi IP Address.

“Kehadirannya sememangnya satu misteri, betul-betul misteri. Pada akhir 2008, Nakamoto telah memuat naik kod untuk Bitcoin, namun pada pertengahan 2010 dia menyatakan telah menjalankan tugasnya dan tidak mahu lagi terlibat, dia menyerahkan kepada orang lain.

“Malaikat itu nur (cahaya) dan Internet juga nur. Adakah Allah SWT mengutuskan petugas-Nya yang tidak dapat dilihat dan dijejaki bagi memperbaiki sistem mata wang dunia? Ini kerana selepas itu, Nakamoto benar-benar off line dan hilang daripada forum,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena seminar ‘Cryptocurrency, Blockchain and Distributed Ledger Technology – Synergizing Technology & Syariah’ anjuran Kuliyyah Maklumat dan Teknologi Komunikasi (KICT), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), baru-baru ini.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pengarah UIAM, Tan Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman. Yang turut hadir, Dekan KICT UIAM, Prof. Dr. Abdul Wahab Abdul Rahman.

Antara ahli panel yang hadir membentangkan kertas kerja dalam seminar tersebut ialah Ketua Kumpulan Pengkaji Islamic Fintech dan Blockchain KICT UIAM, Prof. Datuk Dr. Norbik Bashah Idris dan Ketua Pegawai Eksekutif Amanie Group, Datuk Dr. Mohd. Daud Bakar.

MISTERI ALAM 
GHAIB BLOCKCHAIN!

Mengulas lanjut, Wan Muhammad Hasni berkata, setelah membaca semua e-mel yang dikeluarkan oleh Nakamoto, dia sangat menyakini pencipta Bitcoin itu bukan dari Jepun.

Jelasnya, ayat-ayat yang digunakan oleh Nakamoto dalam Bahasa Inggeris adalah sangat bagus dan ayat yang digunakannya juga sangat singkat.

Selain itu, beliau juga mempercayai pemilik nama Nakamoto adalah melibatkan seorang individu, berdasarkan lenggok bahasa yang digunakan adalah sama dalam setiap e-mel diberikan.

Tambahnya, semua e-mel yang dikeluarkan oleh Nakamoto telah direkodkan dalam sebuah buku bagi dijadikan sebagai rujukan.

“Sebagai seorang Muslim, kita perlu melihat perkara ini sebagai satu peringatan daripada Allah SWT. Sebagaimana tugas malaikat mencatat segala amalan kita di dunia, bagaimana tugas itu dilakukan dan dicatatkan? Malah telah dinyatakan kepada kita sebagai Muslim bahawa catatan itu tidak akan berubah sehingga hari pembalasan.

“Saya begitu percaya bahawa tulang belakang kepada dunia Internet adalah dunia malaikat dan alam ghaib itu adalah komputer atau blockchain (rantaian blok),” katanya.

Menguatkan hujahnya, Wan Muhammad Hasni mempersoalkan di manakah blockchain itu berada, sedangkan segala maklumat tersimpan dalam sistem berkenaan.

Tegasnya, tanpa ada bidang kuasa dan mengetahui kedudukan blockchain, perkara tersebut menjadi persoalan dalam kalangan orang ramai selain dianggap bahaya kerana tiada siapa lagi di belakang sistem tersebut dan bertindak sendiri.

“Semua ini dikendalikan secara automatik. Selain kod yang digunakan tidak boleh digodam dan mempunyai back-up yang begitu terjamin tahap keselamatannya, sekali gus membuktikan ia adalah ‘self-repair system’.

“Ini situasi yang menggerunkan. Semuanya berhubung secara sistem. Sesiapa pun tidak boleh mengaku dia yang mengawal kod tersebut. Semuanya dikendalikan oleh robot dan tiada lagi manusia mengawalnya. Situasi ini seumpama sebuah kapal terbang sedang dibaiki di atas awan,” katanya.