Menurut jurucakap Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Ja­kim), program tersebut menerima sambutan menggalakkan oleh penduduk ne­geri ini serta pengunjung dari luar.

“Setakat ini, majlis berkenaan berjalan dengan lancar. Pihak pe­nganjur telah merancang perjalanan majlis ini sejak lima bulan lalu dengan kerjasama daripada kerajaan negeri dan agensi-agensi lain.

“Terdapat pelbagai lapisan masyarakat yang hadir pada maj­lis ini sama ada pelajar sekolah sehinggalah golongan profesional dan perkara itu memeriahkan lagi majlis keagamaan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini, malam tadi.

Sebanyak tiga qari dan empat qariah telah memperdengarkan bacaan masing-masing malam tadi yang turut dihadiri kira-kira 1,700 pengunjung.

Turut hadir menyaksikan maj­lis tilawah itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron dan isteri, Datin Seri Fadilah Abdullah.

Sementara itu, seorang pengunjung, Muhammad Amirul Aiman Zahari, 25, yang hadir bersama isteri dan bayinya berasa teruja kerana dapat melihat program tersebut secara langsung buat kali pertama.

“Kami datang dengan niat yang baik untuk memeriahkan lagi majlis keagamaan ini dan pada masa sama dapat mende­ngar dengan lebih dekat bacaan ayat-ayat suci al-Quran oleh para peserta yang berbakat,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi pengunjung, Norhidayati Sya­wal, 27, memberitahu, dia datang membawa anak-anaknya bagi memberikan pendedahan awal kepada mereka berhubung aktiviti keagamaan.

“Sekurang-kurangnya mereka akan terbiasa mendengar ayat suci al-Quran dibacakan, ter­utama dengan alunan yang menarik. Penganjuran program sebegini adalah sesuatu yang baik dan kami bersyukur kerana berpeluang untuk menyaksikannya secara langsung,” ujarnya.

Menurut suaminya pula, Mohd Zaiful Abd. Hamid, 31, program tersebut yang kali berjalan serentak antara tilawah dan hafazan benar-benar menarik minat mereka untuk hadir bagi menyaksikan sendiri penganjuran majlis itu.

“Kami bukan sekadar datang pada malam ini untuk me­nyaksikan tilawah, namun turut mengambil peluang untuk hadir pada sesi hafazan kerana kedua-duanya adalah menarik bagi kami yang sebelum ini hanya menonton di televisyen sahaja,” jelasnya.