Kesemua mereka tiba menerusi 41 penerbangan dengan kemasukan ke setiap maktab di Mekah berjumlah 2,000 jemaah setiap hari.

Menurut Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, setakat ini satu kematian jemaah dicatatkan di Madinah pada 22 Julai lalu.

Katanya, jemaah wanita berasal dari Pahang berusia 67 tahun itu meninggal dunia akibat pendarahan dan warisnya telah dimaklumkan mengenai berita tersebut.

“Jenazah diuruskan oleh Tabung Haji bersama pihak muassasah, disolatkan di Masjid Nabawi dan dikebumikan di Perkuburan Baqi’.

“Seramai 37 jemaah pula ditahan di wad iaitu 30 orang di pusat rawatan Tabung Haji manakala empat orang di hospital di Mekah dan tiga orang di Madinah,” katanya dalam sidang akhbar mengenai perkembangan terkini operasi haji, di sini sebentar tadi.

Menurut Syed Saleh, kebanyakan jemaah yang mendapatkan rawatan adalah bagi masalah paru-paru dan batuk selain sakit sendi dan menerima rawatan sebagai pesakit luar.

Beliau memberitahu, selepas 8 Ogos ini semua kemasukan jemaah adalah menerusi penerbangan terus ke Jedah.

“Kemasukan jemaah ke tanah suci sekarang menerusi dua gelombang iaitu dari Madinah ke Mekah melibatkan 1,000 jemaah setiap hari dan terus dari Jedah ke Mekah kira-kira 2,000 orang setiap hari,” katanya.

Menurutnya, bagi jemaah yang mengikuti 20 pakej swasta yang dilesenkan sebagai pengendali jemaah haji termasuk sebuah anak syarikat Tabung Haji, sebanyak 40 hotel disediakan untuk mereka di Mekah dan sembilan di Madinah.

Mengenai aspek persiapan, katanya, semua operasi berjalan lancar cuma menunggu hari wukuf yang dijangka pada 20 Ogos.

“Walaupun begitu, tarikh wukuf akan dimuktamadkan oleh Arab Saudi dengan melihat anak bulan pada 11 Ogos ini.

“Ia bagi menentukan sama ada 12 Ogos akan menjadi 30 Zulkaedah atau 1 Zulhijah, maka kita akan tahu bila tarikh wukuf,” katanya.

Beliau seterusnya menasihatkan jemaah agar menjaga kesihatan dengan tidak mendedahkan diri kepada cuaca panas supaya mereka sihat menjelang wukuf.

Jemaah berusia pula dinasihatkan mendapatkan rawatan segera jika sakit kerana mereka mengambil lebih masa untuk pulih - UTUSAN ONLINE