Pengurus Pusat Khidmat Pe­langgan Mekah 1438 Hijrah, Zor Mohd. Poat berkata, itu adalah kes tertinggi yang dilaporkan di pusat itu dan pihaknya telah membuat tindakan segera menggantikan lencana yang hilang kerana ia penting dalam urusan jemaah haji.

“Kita melakukan proses penggantian segera di pusat khidmat ini. Lencana ini penting untuk pelbagai tujuan antaranya pengeluaran wang dan sebagai dokumen diri di Tanah Suci,” katanya kepada wartawan Malaysia di Pusat Perkhidmatan Khidmat Pelanggan, di Hotel Abraj Al-Janadriyah, di sini hari ini.

Katanya, selain laporan kehilangan lencana itu, pihaknya turut merekodkan sebanyak 90 kes kehilangan bagasi dan 60 kes lagi melibatkan jemaah tersasar dari kumpulan mereka.

“Dalam hal beg ini, Tabung Haji boleh meng­gantikan dengan wang selepas 48 jam beg berkenaan tidak ditemukan. Bagaimanapun, jika ditemukan, bagasi akan diberikan semula kepada jemaah,” jelasnya.

Bagi yang tersasar pula, Zor memberitahu, unit peronda Tabung Haji akan memberikan bantuan terbaiknya untuk menunjukkan arah pulang ke maktab masing-masing.

Dalam pada itu, pusat tersebut akan beroperasi selama 24 jam untuk memberikan perkhidmatan kepada jemaah haji.

“Fungsi kita adalah menguruskan maklum balas dan pelbagai aduan jemaah haji, menguruskan talian pusat bantuan Tanah Suci, menyediakan pasukan peronda di Masjidilharam melalui tujuh stesen strategik di situ,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua jemaah haji supaya sentiasa mengikut arahan Lembaga Tabung Haji bermula di tanah air lagi dalam soal penjagaan barangan peribadi itu.

“Saya percaya, jika arahan itu diikuti, barangan seperti lencana pengenalan diri tidak akan hilang.

“Saya mengesyorkan juga, kepada jemaah haji yang masih berada di tanah air, eloklah membalut bagasi dengan kain atau sarung beg serta ditulis nama dan maklumat penting peribadi. Ada kes di mana beg rosak dan koyak setibanya di Mekah,” ujarnya.

Mengenai beg sandang yang hilang, pihaknya juga akan menggantikan dengan yang baharu.
Jemaah yang ditemui, Mohamed Ismail Harun, 44, dari Seremban berkata, dia memuji langkah cepat yang dilakukan petugas Tabung Haji.

“Contoh­nya saya hendak ke klinik untuk rawatan, saya ta­nya rakan jemaah haji tapi jawapan yang diberikan berbeza. Jadi saya terus ke pusat khidmat ini dan mereka terus meminta saya ke lokasi yang betul.

Seorang lagi, Rahillah Hussin, 63 dari Batu Pahat yang tersasar dari maktab penginapan 87 di hotel Rehab Al-Janadriyah sebaliknya teksi yang dinaikinya membawa ke Abraj Al-Janadriyah.

“Saya terus ke pusat khidmat ini dan Alhamdulillah, petugas di sini membantu dan mereka akan menghantar saya balik ke maktab,” katanya.– UTUSAN