Selepas sahaja selesai solat sunat tarawih, (itupun jika ada yang benar-benar pergi), kumpulan ini akan bersiap-siaga di kubu untuk mula meledakkan meriam buluh masing-masing.

Tujuannya, untuk melihat meriam buluh buatan anak kampung mana yang paling kuat. Jika kuat dan hebat, maka mereka akan dikagumi tetapi jika sebaliknya, hanya akan menjadi bahan ketawa sahaja.

Menyingkap memori ketika zaman kanak-kanak, Fazierul Annuar Musa, 34, yang berasal dari Rompin, Pahang berkata, kemuncak ‘peperangan’ antara kampung biasanya akan berlaku seminggu sebelum tibanya Hari Raya Aidilfitri. Lebih meriah dua tiga malam sebelum itu.

“Boleh dikatakan, ketika itu, satu kampung bergegar. Ada yang berlarutan sehingga lewat malam. Dahsyat juga apabila letupan meriam buluh disahut pula dengan letupan meriam dari kampung sebelah.

“Namun, itulah suasana yang membangkitkan kemeriahan setiap malam Ramadan, lebih-lebih lagi pada malam Aidilfitri. Kenangan itu pasti tidak akan dilupakan oleh sesiapa juga,” katanya.

Fazierul Annuar berkata, semasa di tingkatan empat, beliau masih ingat satu malam Ramadan, selepas berbuka puasa dan menunaikan solat tarawih, dia dan enam lagi rakannya berkumpul di ‘pangkalan’ untuk memulakan peperangan dengan tiga lagi kampung jiran.

Pada mulanya, hanya letupan kecil-kecilan kedengaran dari kampung sebelah dan ia tidak diendahkan kerana itu hanyalah dianggap sebagai ‘pembuka’ suasana.

“Kumpulan kami kali ini cuba untuk melawan satu kumpulan lain dari kampung sebelah yang terdiri daripada rakan-rakan sekolah juga. Mereka ini memang terkenal kerana mampu membuat meriam yang meletup kuat iaitu terkuat di antara kampung-kampung lain.

“Boleh dikatakan tiada yang dapat menandingi mereka buat masa itu. Meriam buluh mereka ketika itu yang paling kuat sehingga kadang-kala membuatkan kampung lain tidak mampu membalas dentuman meriam buluh sendiri kerana berasa malu,” katanya.

Oleh sebab itu katanya, ada kampung yang berpakat dengan kampung lain untuk melawan dengan kampung yang sukar ditandingi itu.

Katanya, peperangan berlarutan sehingga pukul 3 pagi pada ketika itu. Semuanya gara-gara setiap kumpulan mahu menunjukkan kehebatan dan kepakaran masing-masing mempamerkan meriam buluh paling dahsyat sekali.

Tambah Fazierul Annuar, itu merupakan nostalgia ketika zaman remajanya yang paling manis ketika melalui bulan Ramadan sama seperti kebanyakan kanak-kanak dan remaja lelaki lain terutama yang tinggal di kawasan kampung.

“Ketika itu, ramai yang pakar membuat meriam buluh. Tetapi pelik juga kenapa zaman sekarang banyak kejadian-kejadian tidak diingini berlaku apabila kanak-kanak bermain meriam buluh atau mercun.

“Mungkin mereka ini tidak cukup ‘ilmu’ membuat meriam buluh yang betul. Kemungkinan juga mereka hanya belajar dari pembacaan dan tiada yang benar-benar pakar untuk menunjukkan cara yang betul dan selamat untuk membuatnya,” katanya.