Saranan yang diungkapkan de­­ngan penggunaan istilah ‘me­rakyatkan’ khidmat kaunseling ini mengesyorkan agar khidmat kaunseling yang diberi oleh ahli-ahli psikologi dalam perkhidmatan awam diperluaskan penawarannya kepada masyarakat umum tanpa mengira bangsa, agama, dan status sosial.

Saranan beliau ini boleh disifatkan sebagai satu langkah peneguhan kepada pengisytiharan sambutan bulan kaunseling kebangsaan oleh kerajaan, pada Oktober nanti. Persoalannya, ba­gaimana saranan ini boleh diterjemahkan dalam bentuk tindakan?

Walaupun saranan ini boleh dianggap suatu usul yang sangat bernas, namun, jika diperhalusi daripada sudut profesionalisme, terserlah sedikit kejanggalan dalam syor tersebut. Pengamal profesional kaunseling dikenali sebagai kaunselor, bukannya ahli psikologi. Dalam erti kata lain, kaunselor dan ahli psikologi adalah dua kelompok profesional yang berbeza.

Sehubungan itu, meminta ahli psikologi ‘merakyatkan’ khidmat kaunseling bukanlah satu konotasi yang tepat. Seorang sarjana tempatan yang boleh dianggap sebagai pakar dalam bidang, secara terbuka pernah menegaskan bahawa psikologi dan kaunseling adalah ibarat ‘minyak dan air’ yang selamanya tidak akan bercampur.

Selain itu, Akta Kaunselor 580 yang telah diluluskan dan diwartakan hampir dua dekad yang lalu bakal disaingi kerana dikhabarkan Akta Psikologi juga sedang dibangunkan untuk pemben­tangan di Parlimen dalam jangka masa terdekat.

Hakikat ini dengan jelas me­nunjukkan bahawa bentuk khid­mat bantuan yang diberi oleh kedua-dua golongan profesional ini adalah berbeza. Justeru, langkah pertama yang wajar diambil dalam usaha untuk ‘merakyatkan’ khidmat kaunseling adalah dengan memberikan penjelasan tentang takrif dan definisi per­khidmatan yang sebenar agar tidak menimbulkan sebarang kekeliruan dalam masyarakat umum.

Langkah seterusnya yang ha­rus dipertimbangkan adalah memberi penerangan terperinci kepada masyarakat umum tentang peranan serta ciri-ciri perkhidmatan yang ditawarkan oleh kaunselor profesional agar ia tidak disalah tafsir. Perkara ini wajar dilakukan kerana wujud pelbagai kefahaman tentang khidmat kaunseling yang ditawarkan oleh agensi kerajaan dan badan berkanun yang berbeza-beza.

Sebagai contoh, ahli ma­syarakat yang lazim berurusan di hospital-hospital kerajaan sering diberi khidmat nasihat berkaitan ubat-ubatan di bilik ‘kaunseling ubat’. Selain itu, individu-individu yang dibelenggu masalah kewangan mungkin pernah menerima khidmat runding cara pengurusan kewangan daripada Agensi Kaunseling Pengurusan Kewangan (AKPK).

Natijahnya, inisiatif ‘merakyat­kan’ khidmat kaunseling seharusnya menjelaskan tentang perkhidmatan kaunseling yang bersifat sukarela serta menyeluruh, bukannya berfokus kepada dimensi isu-isu tertentu semata-mata.

Sekiranya kedua-dua langkah yang diusulkan dapat dicapai, usa­ha untuk ‘merakyatkan’ ­khidmat kaunseling sebenarnya bukanlah sesuatu yang sukar untuk direalisasikan. Ini kerana, dalam praktis profesion kaunseling terdapat satu strategi khusus yang dilaksana bertujuan untuk menyebar luas maklumat perkhidmatan kepada masyarakat umum.

Strategi yang dikenali sebagai outreach ini dilaksana dengan matlamat untuk memperkenalkan hal ehwal berkaitan perkhidmatan kaunseling kepada komuniti, di mana para kaunselor akan mendekati ahli-ahli masyarakat untuk berkongsi maklumat terperinci tentang fungsi dan bentuk perkhidmatan yang ditawarkan.

Dalam erti kata lain, sekiranya strategi ini dilaksanakan secara terancang, amalan kaunseling profesional sememangnya merupakan khidmat yang sentiasa ‘dirakyatkan’, dulu, kini, dan selamanya.

Inisiatif ‘merakyatkan’ khidmat kaunseling perkhidmatan awam ini akan menjadi lebih mudah sekiranya semua pihak berkepentingan seperti Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang menaungi badan kawal urus profesion kaunseling tempatan iaitu Lembaga Kaunselor Malaysia, Bahagian Psikologi dan Kaunseling Jabatan Perkhidmatan Awam yang menyelaras semua aktiviti kaunseling perkhidmatan awam, serta persatuan-persatuan berkaitan profesion kaunseling seperti Persatuan Kaunselor Malaysia (PERKAMA), Persatuan Kaunselor Berdaftar dan Persatuan Kaunseling Syarie Malaysia, bersepakat menggembleng tenaga dan daya usaha untuk mendekati masyarakat umum bagi memberi penerangan tentang kaunseling dengan sejelas-jelasnya.

Lt. Kdr Dr. Abu Yazid Abu Bakar

Pensyarah Kanan 
(Bimbingan dan Kaunseling)

Jabatan Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)