Dalam tempoh 24 jam, lebih 75 input diterima termasuk daripada medium lain seperti WhatsApp iaitu sahabat yang atas alasan tersendiri tidak mahu rakan sepejabat mereka membacanya. Lebih 100 pula LIKE walaupun sudah saya nyatakan 'tak perlu klik LIKE tapi beri input’.

Kaji selidik ini bukan berbentuk ilmiah, jadi tidaklah saya akan menganalisis input secara median atau kualititatif/kuantatif. Sebaliknya, data yang diperoleh ini diproses mengikut formula Merrepak. Ia bermaksud suatu bentuk analisis bukan secara saintifik (non scientific methods).

Beberapa rakan sekerja di pejabat bimbang akan menyinggung perasaan sesama mereka jika turut serta. Mungkin benar, ini kerana pengurus kanan sumber manusia bila berjumpa dengan saya akan memetik perenggan tertentu Merrepak pada hari Isnin. Mujurlah esok cuti umum Hari Pekerja.

Tetapi saya tegaskan analisis hari ini tidak merujuk khusus kepada sesiapa pun. Janganlah bayangkan saya dengan rakan sepejabat, apa lagi anda dengan rakan sepejabat anda. Kaji selidik ini bersifat umum, sebab itu input diperoleh daripada kaji selidik dalam Facebook iaitu daripada pelbagai pihak, industri dan peringkat pekerjaan.

Semua input yang diterima telah dianalisis dan dihimpunkan mengikut kategori. Berikut adalah 11 hal yang paling anda tidak suka mengenai rakan sekerja anda:

Bodek

Berdasarkan input yang diterima, kategori ini merupakan paling tinggi diluahkan sebagai perkara yang dibenci mengenai rakan sepejabat. Insan ini digambarkan sebagai 'PR dengan bos cukup hebat tetapi kerja dia dibuat oleh rakan sepejabat lain’, 'kipas bos sekuat pendingin hawa berkuasa 3.0 kuasa kuda’, 'pura-pura sibuk bila bos lalu, main Facebook bila bos tiada’.

Jika anda memiliki ciri-ciri disebut di atas, ramai akan menjangkakan anda tidak lama lagi dilantik sebagai ketua unit dan pada masa sama, rakan-rakan anda minta dipindahkan ke jabatan lain atau berhenti kerja sama sekali.

Ronaldoisme

Ia merujuk pemain bola sepak tersohor dunia, Cristiano Ronaldo yang menganggap tanpa dirinya, pasukan Real Madrid dan Portugal tidak akan berjaya. Berdasarkan rekod, ada kebenarannya untuk Ronaldo menganggap dirinya sedemikian penting. Tetapi apakah anda juga Ronaldo? Kategori ini berkisar mengenai kerja berpasukan. Aspek ini menyamai kategori bodek daripada segi peratusan responden. Luahan hati mereka ialah ada manusia yang tidak memahami makna 'kerja berpasukan’.

Ada yang menganggap 'kerja berpasukan’ ialah kerja dia dibuat oleh orang lain. Ada juga yang lantang dan kaya dengan idea 'di luar kotak’ semasa mesyuarat tetapi bab pelaksanaan memberi pelbagai alasan agar kita pula yang kena membuatnya. Selain itu, sangat berkira bila diberi peranan. Ini bukan kerja hakiki. Ada juga yang buat kerja sekerat jalan, untuk orang lain sempurnakan. Tetapi bila siap kerja, dia mengaku itu hasil kerjanya.

Bodoh Sombong

Ini adalah situasi di mana seseorang melakukan sesuatu tanpa kebenaran, tanpa diketahui sebaliknya, memandai-mandai sendiri demi mendapat pujian bos. Kalau lancar, kita tidak kisah. Masalah timbul bila kerja dia mengakibatkan kegawatan sistem. Lazimnya, spesies ini sudah buat salah, tidak pernah mahu mengaku salah, jauh sekali meminta maaf.

Dengki/Menyibuk

Ini kanser organisasi. Berada di kedudukan keempat mengisyaratkan tingginya isu dengki ini dalam kalangan pekerja. Tidak memeranjatkan sebenarnya kerana ia adalah elemen politik pejabat sejak azali. Bila seseorang naik pangkat, muncul propaganda mempersoalkan kewibawaannya. Orang yang merungut itu, kita kenal sebagai memiliki tiga ciri yang disebut di atas iaitu bodek, ronaldoisme dan bodoh sombong.

Mereka ini suka mengintai gerak-geri anda di dalam Facebook, apa anda buat di luar waktu kerja, anda jumpa siapa, anda makan apa, anda pergi mana, kereta dan rumah besar atau sederhana. Anda mana tahu. Dia tak pernah LIKE atau komen Facebook anda.

Taichi

Ini seni mengelak daripada kena kerja lebih. Bayangkan Matrix. Cara dia mengelak begitu licik, pantas selaju peluru. Satu cara pakar taichi ini ialah mengular iaitu menghalimunankan diri tiap kali bos cari. Bila bos tidak dapat jumpa, maka tugasan itu diberi kepada orang lain.

Satu lagi seni taichi ini ialah tidak mahu membantu orang lain yang terbeban dengan dua projek sekali gus. Selamba saja menolak.

Kategori umum:

 1. Perangai Diva

Dalam pembentangan mesyuarat, dia tidak mahu jadi jurucakap tetapi berkeras mahu namanya disebut paling atas. Mahu orang memanggilnya 'Datin' walaupun ramai tahu suaminya membeli 'Datuk' di warung mamak.

 2. Drama Queen

Serba serbi hal akan dihebahkan ke seluruh alam maya. Hal dia dengan ibu mentua pun diceritakan kepada rakan sepejabat. Belum lagi dia cerita ibu mentua bos. Mana dia dapat sumber?

3. Bungkus Makanan Selepas Mesyuarat

Saya tidak pasti apakah ini suatu kesalahan kerana bagi mengelak pembaziran, elok dibungkus bawa balik. Tetapi janganlah bungkus semasa majlis masih berlangsung dan ketika ramai lagi beratur mengambil makanan.