Merrepak hari ini memperhalusi soal perpaduan daripada sudut sedikit berbeza iaitu dari sudut stereotaip Semenanjung terhadap Sabah dan Sarawak. Berikut adalah 10 stereotaip yang anda patut tanya jika tidak tahu:


1 Mengapa ada Hari Kemerdekaan, Hari Malaysia?
Berbezakah kedua-duanya? Secara teknikal, ya. Hari Kebangsaaan 31 Ogos disambut sempena perisytiharan Tanah Melayu bebas daripada British. Masalahnya, Sabah dan Sarawak hanya bebas daripada British pada 1963. Jadi atas faktor ini, Malaysia ada dua sambutan hari bebas dari penjajah. Ada orang bertanya, bagaimana hendak ada integrasi nasional bila Hari Kebangsaan pun tidak diraikan bersama di seluruh negara? Inilah keunikan Malaysia. Fakta sejarah Tanah Melayu merdeka 1957. Sabah dan Sarawak 1963. Takkan mahu dipinggirkan 1963? Apa pun, 31 Ogos sebagai Hari Kebangsaan tetap disambut di kedua-dua negeri Borneo itu.

2 Mengapa masih kena pakai pasport ke Sabah, Sarawak?
Orang yang baru sampai, memang merungut besar. Bagaimana mereka yang isteri/suami orang Semenanjung? Lagi kuat merungut. Tak sangka bernikah dengan ekspatriat asing. Ada juga pertikai kenapa orang Sabah dan Sarawak bebas ke mana-mana di Semenanjung tetapi sebaliknya orang Semenanjung tidak. Ini adalah sebahagian daripada perjanjian 20 Perkara pembentukan Malaysia pada 1963 iaitu hak untuk mengadakan kuasa imigresen sendiri. Namun, tidak ketat mana pun macam anda hendak memasuki Australia. Cukup sekadar kad pengenalan dan isi borang IMM yang ada mudah di isi.

3 Apakah penggunaan pasport akan dimansuhkan?
Ada yang berkata sudah tiba masanya agar aspek ini dikaji semula, seiring dengan perubahan politik yang berlaku di seluruh negara sekarang. Kedua-dua Sabah dan Sarawak tidak lagi bersama Barisan Nasional. Dan semangat kerajaan baharu Pakatan Rakyat ialah merubah semua yang dianggap lapuk. Namun, pemansuhannya memerlukan kesungguhan politik daripada para penggubal undang-undang di Sabah dan Sarawak. Ramai tidak tahu Sabah dan Sarawak berstatus autonomi sejak pembentukan Malaysia. Jadi setakat desakan Semenanjung, ia tidak mengubah apa-apa. Lainlah bila rakyat kedua-dua negeri itu sendiri bersuara, maka sesuatu akan dilakukan. Lagipun, banyak lagi hal penting perlu diselesaikan dengan Kerajaan Pusat seperti royalti minyak 20 peratus.

4 Dekat saja Sabah dengan Sarawak!
Tanggapan sebegini bila disua kepada anak Sarawak dan Sabah, pasti mencetuskan ketawa. Dekat macam Negeri Sembilan dan Melaka? Bukan Sabah dan Sarawak, sebelah-menyebelah? Dekatlah tu! Maaf, tolong tengok peta. Untuk perspektif, jarak Kuching dengan Kota Kinabalu ialah sejauh 1,125.92 kilometer. Bandingkan pula Johor Bahru dengan Kangar, hanya 676km. Untuk menyamai jarak Kuching-KK itu, anda harus memandu dari JB melangkaui sempadan Thailand, hingga ke Krabi kira-kira 1,143.24 km.

5 Ada masjid di Sabah, Sarawak?
Ya, soalan sebegini masih kedengaran. Mungkin salah Sabah, Sarawak sendiri sebab dalam promosi melancong ke negeri, tidak mengetengahkan sangat aspek tersebut. Imej rumah panjang dan Gunung Kinabalu lebih terang dan nyata dipaparkan.
Pada Januari 2009, seorang sarjana berasal dari Sarawak dilantik sebagai mufti Perlis, Dr. Juanda Jaya yang berkhidmat sehingga akhir 2014. Selain berjaya mencetuskan bibit-bibit silatur rahim antara orang Sarawak dengan orang Perlis sehingga kini, kisah Dr. Juanda tersebut membantu menjawab soalan-soalan berkaitan syiar dan amalan agama yang teguh serta mekar di sana.

6 Masih tinggal di atas pokok?
Setelah beberapa lama tinggal di Kuala Lumpur, bila ada insan bertanya soalan ini, reaksi saya akan pantas ketawa. Bukan kerana lucu tetapi kasihankan kecetekan minda. Sepantas itu juga insan itu disarankan untuk melawat Sabah dan Sarawak. Yang tinggal atas pokok hanyalah orang utan. Pilihlah manamana syarikat penerbangan. Tiket 'belon' sekarang murah-murah. Silalah berziarah, buka sikit minda.

7 Benarkah toleransi kaum lebih kuat pada orang Sabah/Sarawak?
Secara umumnya, benar. Ini kerana dari kecil, kawasan perumahan mengandungi pelbagai kaum, sehinggalah ke alam persekolahan. Malah dalam kelompok orang Melayu Islam itu sendiri terdapat pecahan kumpulan etnik seperti di Sarawak iaitu Melayu, Melanau, Kedayan dan Jawa. Medan makanan popular Top Spot di Kuching contohnya, dikendalikan hampir 100 peratus peniaga Cina. Namun, ramai orang Islam makan di situ. Ini kerana peniaga Cina mengakui tidak menggunakan bahan masakan yang tidak sesuai kepada orang Islam. Kalau di Semenanjung, mungkin lambat sikit hendak meyakinkan.

8 Kenapa orang Sabah/Sarawak fasih berbahasa Inggeris?
Secara umumnya, ia bergantung kepada individu itu sendiri. Jika bersahabat ramai dengan pelbagai kaum, individu itu akan menguasai atau paling tidak, memahami sepatah dua perkataan kaum lain. Namun dalam urusan rasmi, penggunaan bahasa Inggeris masih kuat digunakan terutama dalam surat menyurat. Tanpa meminggirkan bahasa Melayu, keadaan ini mendorong individu menguasai bahasa Inggeris dari segi perbualan dan penulisan.

9 Perkahwinan campur
Perkahwinan campur adalah satu ciri istimewa masyarakat di kedua-dua negeri yang membuktikan sikap mereka amat terbuka dalam soal jodoh. Yang penting anak bahagia. Kahwinlah apa kaum sekali pun, agama. Tidak menjadi masalah. Jarang sekali mendengar wujud kisah membantah perkahwinan luar kaum atau agama sehingga membawa kepada pergaduhan besar. Generasi kedua, ketiga hasil perkahwinan campur inilah merupakan sahabat anda hari ini dan mungkin mendidik anda definisi sebenar tolak-ansur dan integrasi nasional.

10 Kenapa ramai orang Sabah/Sarawak putih-putih?
Orang Sarawak sendiri tidak pasti hendak anggap pernyataan itu satu pujian atau sebaliknya. Ini kerana ada juga yang kuningkuning, coklat-coklat, sawo matang. Seorang sahabat menunjukkan gambar Kumang Gawai/Unduk Ngadau. Itu pertandingan ratu cantik. Haruslah. Tetapi jangan tidak tahu, kaum lelaki Sabah dan Sarawak pun tidak kurang tarikannya.