Pengarah Eksekutif YWP, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, dana yang digerakkan sejak beberapa tahun lalu itu telah memberi manfaat kepada lebih 300 buah sekolah di bawah Wilayah Persekutuan.

“Bantuan pada tahun ini akan diteruskan dan sebanyak RM10 juta diperuntukkan dan ia lebih tertumpu dalam bentuk program pendidikan dan aktiviti sekolah.

“Saya berharap pengetua dan guru besar mengambil peluang dengan dana yang disediakan ini untuk mengenal pasti dan me­­rancang aktiviti-aktiviti yang berfaedah serta dapat memberikan impak yang baik kepada semua pelajar dan guru,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Jamuan Awal Tahun 2018 dan Program Sumbangan Sekolah Angkat Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) di Dewan Utama Pusat Rekreasi Cheras, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sumbangan itu telah disempurnakan oleh Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Rusni Abd. Jalil.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Datuk Ros­lan Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif YPC, Ismail Md. Noor.

Dalam program itu, sebanyak 35 sekolah angkat YPC masing-masing menerima bantuan seba­nyak RM5,000.

Syed Ali yang juga Pengerusi YPC berkata, program itu menunjukkan keprihatinan dan komitmen YPC untuk membantu sekolah-sekolah ang­katnya melaksana dan menjayakan program pendidikan yang meliputi program kecemerlangan akademik, kokurikulum, sukan dan lain-lain yang menjurus kepada pembangunan modal insan.

“YPC akan terus berusaha untuk mencari dana bagi membantu pembangunan pendidikan di semua sekolah angkat, terutamanya kejayaan dalam bidang akademik, kokurikulum dan sahsiah diri,”katanya.

Sejak ditubuhkan pada tahun 2000, sekolah angkat YPC yang terletak di Zon Pudu merangkumi 12 sekolah menengah, 18 sekolah kebangsaan, dua sekolah kebangsaan pendidikan khas, sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, dua buah Sekolah Rendah Agama (SRA), sebuah Tabika Kemas dan sebuah Tabika Perpaduan.