Naib Canselor UTP, Datuk Abdul Rahim Hashim berkata, sasaran tersebut lebih tinggi berbanding kutipan dua tahun lepas yang digunakan menampung perbelanjaan aktiviti pelajar dalam pelbagai bidang seperti akademik, kesenian dan sukan.

“Dana yang diperoleh dapat digunakan untuk perbelanjaan kursus latihan, pertandingan, dan juga peralatan serta kemudahan yang diperlukan oleh pelajar.

“Sebagai contoh, ramai daripada pelajar kami berjaya ke pertandingan peringkat antarabangsa seperti ke Korea dan Melbourne. Jadi segala perbelanjaan untuk aktiviti ini ditampung oleh kutipan konsert amal yang diadakan,” katanya pada sidang akhbar penganjuran konsert amal tersebut di sini hari ini.

Menurut Abdul Rahim, konsert amal itu bukan sahaja untuk mencari dana bagi menampung aktiviti pelajar, malah memberi peluang kepada mereka mengasah bakat yang ada.

“Konsert ini mampu dijadikan sebagai landasan bagi pelajar untuk mencungkil bakat mereka di samping membina keyakinan diri.

“Tambahan pula, graduan yang bakal dilahirkan bukan sahaja pakar dalam bidang kejuruteraan, malah melahirkan lebih ramai graduan yang mempunyai pelbagai kebolehan dan bakat,” ujar Abdul Rahim.

Konsert amal tersebut akan diadakan di Dewan Filharmonik Petronas itu membawa konsep lagu dan tarian daripada pelbagai budaya, sama ada dalam dan luar negara.

Seramai 200 pelajar daripada peringkat asasi sehingga pelajar sepenuh masa dan alumni UTP terlibat menjayakan konsert amal tersebut.

Konsert itu bakal menampilkan artis jemputan, Dayang Nurfaizah yang akan menyampaikan empat buah lagu.

Antara persembahan yang bakal dipersembahkan adalah muzik gamelan, kumpulan orkestra Cina, tarian tradisional Melayu daripada Sanggar Kirana dan juga tarian tradisional etnik Mozambique daripada pelajar antarabangsa di universiti tersebut. - UTUSAN ONLINE