Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, penajaan yang melibatkan penggunaan suratkhabar dalam pembelajaran itu juga adalah salah satu tanggungjawab sosial korporat bagi meningkatkan kecemerlangan memandangkan Tutor UPSR mempunyai banyak soalan-soalan percubaan dan teknik-teknik menjawab soalan dalam pelbagai subjek.

"Tutor UPSR merupakan sesuatu yang digalakkan untuk dibaca pelajar-pelajar Tahun 5 dan Tahun 6 di samping mendedahkan mereka dengan isu semasa dalam dan luar negara. Yayasan Eco World menaja Tutor UPSR memandangkan ia amat selaras dengan objektif Program Bantuan Pelajar kami yang membantu pelajar kurang berkemampuan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan penajaan itu di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Besi, di sini hari ini. Yang turut hadir Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad; Pengarang dan Pengurus Pendidikan Utusan Malaysia, Wahid Hashim dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Eco World, Datuk Liew Siong Sing.

Tajaan bernilai RM15,840 itu melibatkan 60 naskhah sebanyak 22 terbitan bermula bulan ini sehingga September depan ke sekolah kebangsaan terpilih di Perlis, Pulau Pinang, Lembah Klang dan Johor. - UTUSAN ONLINE